Isnin, 11 November 2019 | 6:42pm
Mengenali Rasulullah SAW secara rohaniah dengan mendalami ilmu sangat dituntut kerana keyakinan dapat menerbitkan cinta yang diterjemah melalui amalan. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Pupuk rasa cinta Nabi dengan ilmu

ILMU ialah asas penting untuk mengenal dan memupuk rasa cinta bermula berkenalan secara zahir sebagai permulaan hingga lahirnya perasaan kerohanian yang meresap dalam hati.

Begitulah proses membina rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan mengenali Baginda secara lahiriah dan rohaniah daripada sumber ilmu tepat kerana pengetahuan dapat membentuk keyakinan.

Pendakwah, Ahmad Adnan Fadzil, berkata walaupun mengenali Rasulullah SAW dari sudut fizikal penting, perkenalan itu tidak sempurna kerana kita tidak hidup bersama Baginda dan hanya bersandarkan hadis serta kisah sahabat.

Oleh itu, mengenali Rasulullah SAW secara rohaniah dengan mendalami ilmu mengenai Baginda sangat dituntut kerana melalui keyakinan akan menerbitkan rasa cinta diterjemahkan melalui amalan.

“Rasulullah SAW menyebut proses mengenal agama perlu mengenal Allah SWT daripada ilmu yang sahih.

“Maka, jika kita ingin mengenal Rasulullah SAW hendaklah bermula dengan mencari dan mendalami ilmu mengenai Baginda.

“Boleh sahaja kita mengenal dan mencontohi Rasulullah SAW daripada sudut lahiriah seperti berjubah, berserban dan memakai cincin tetapi mengenali Baginda secara rohaniah lebih dituntut,” katanya.

Pendakwah, Ahmad Adnan Fadzil. - Foto NSTP

Ahmad Adnan berkata, tindakan umat Islam mencontohi Nabi SAW seperti khusyuk dalam solat dan memiliki sifat tawaduk, akan menyebabkan perkara baik lain mengikuti kerana mengenali Baginda secara rohaniah.

Beliau mengingatkan kepentingan ilmu ditekankan Imam al-Ghazali sebagai makrifat ilmu, iaitu pengetahuan lahir daripada keyakinan.

Keyakinan itu akan menimbulkan rasa cinta yang tandanya dapat dilihat melalui banyak berselawat dan melakukan amalan sunnah Baginda sebagai qudwah hasanah atau suri teladan dalam kehidupan.

Ahmad Adnan mengingatkan masyarakat supaya memberi perhatian terhadap sumber tepat untuk mendapatkan ilmu mengenai Rasulullah SAW seperti merujuk tulisan ulama daripada sahabat yang hidup serta bergaul dengan Baginda.

Beliau yang menterjemah Matan asy-Syamail al-Muhammadiyyah karya ulama hadis Imam Tirmizi berkata, berpandukan ilmu tepat, seseorang dapat menghayati keperibadian dan kerohanian sebenar Rasulullah SAW.

“Ilmu itu agama, maka perhatikan daripada mana kita mengambil agama. Apabila sudah lengkap daripada segi makrifah ilmu, amalan itu akan datang sendiri.

“Kita yang hidup pada zaman ini perlu faham pesan Nabi kerana Baginda sudah tahu apa bakal berlaku.

“Baginda berpesan bahawa sesiapa yang masih hidup dan umurnya panjang setelah kematian Baginda, perlu berpegang teguh dengan sunnah, khulafa’ dan khalifah diberi petunjuk serta hidayah selepasnya,” katanya.

Mengenali Rasulullah SAW secara rohaniah dengan mendalami ilmu sangat dituntut kerana keyakinan dapat menerbitkan cinta yang diterjemah melalui amalan. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Mengaitkan situasi semasa dan perkembangan negara masyarakat pelbagai bangsa, Ahmad Adnan berkata, semua aspek kehidupan baik sosial, ekonomi atau politik hendaklah mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Beliau berkata, untuk mengelak pertikaian atau kemunduran, umat perlu berbalik kepada contoh ditunjukkan Baginda dalam menangani dan mendepani setiap permasalahan.

“Kita perlu menghayati bagaimana Nabi SAW menyelesaikan masalah masyarakat pelbagai latar belakang di Madinah.

“Ketika peperangan, Nabi boleh menghentikan pegang senjata kerana jika ada ruang perdamaian, Nabi akan pilih untuk berdamai,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, bagi yang sudah mencapai hubungan kejiwaan dengan Rasulullah SAW, ada yang diberi kesempatan bermimpi bertemu Baginda.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW bahawa mereka bermimpi bertemunya, benarlah Baginda yang dilihat dalam mimpi itu kerana syaitan dan iblis tidak boleh menyerupai Khatimul Anbiya’ itu.

Berita Harian X