Rabu, 13 November 2019 | 1:22pm
Bersukan bukan untuk berseronok sahaja sebaliknya sebagai satu daripada cara untuk bermasyarakat. - Foto hiasan

Sukan, riadah medan dakwah

AKTIVITI sukan dan riadah antara medan dakwah yang dapat menyatukan masyarakat, malah ia juga berupaya menarik orang bukan Islam untuk melihat keindahan agama ini.

Apatah lagi sukan dan riadah sebenarnya bukan asing dalam Islam, malah Rasulullah SAW sendiri bukan sahaja menyarankan umat Islam bersukan, bahkan Baginda sendiri memiliki kecergasan dan kekuatan hebat.

Pendakwah, Mohd Elyas Ismail, berkata pemimpin Arab yang juga ahli gusti terkenal, Rukanah ibnu Abdu Yazid RA memeluk Islam selepas dikalahkan dalam pertandingan gusti dengan Rasulullah SAW.

Tokoh Quraisy itu memiliki badan tegap dan sasa yang hebat bergusti hingga mengalahkan mana-mana juara gusti di Tanah Arab pada zamannya.

Bagaimanapun, berhadapan dengan Rasulullah SAW, ternyata menjadi pengalaman mengejutkan kerana Baginda berjaya memegang badan Rukanah, lalu membantingkannya ke tanah.

Malah perlawanan itu diulang sebanyak tiga kali atas permintaan Rukanah tetapi ketiga-tiga perlawanan itu menyaksikan Rasulullah SAW berjaya mengalahkannya hingga akhirnya akur dan mengalah.

Rukanah berkata: “Wahai Muhammad, tiada siapa pernah dapat membaringkan aku hingga jatuh terlentang dalam pertarungan selain daripadamu! Sebelum ini, engkaulah paling aku benci tetapi sekarang, aku menyaksikan tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah SAW dan Nabi Muhammad SAW itu Rasul-Nya.” (HR Abu Daud dan Tirmizi)

Mohd Elyas menegaskan tindakan Rasulullah SAW itu semata-mata mengharapkan Rukanah dikurniakan hidayah dan menerima Islam.

“Apabila berlawan dengan Rasulullah SAW, Rukanah akhirnya kalah dan memeluk Islam.

“Inilah dakwah Baginda yang sangat menarik kerana membabitkan pelbagai pendekatan hingga gusti juga boleh menundukkan hati bukan Islam,” katanya.

Dalam konteks semasa, beliau berkata, tindakan Juara Lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov mengucapkan takbir apabila menang, membuka hati peminat untuk melihat Islam daripada perwatakannya sebagai Muslim.

Beliau berkata, metodologi dakwah Rasulullah SAW dengan pelbagai pendekatan perlu dijadikan contoh kerana ada kala Islam dapat diterima melalui kaedah tidak disangka.

Menjelaskan lanjut kepentingan beriadah, Mohd Elyas berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa menekankan aspek sukan sebagai cara hidup seperti ditegaskan Rasulullah SAW.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Orang beriman yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang beriman lemah. Dan masing-masing ada kebaikannya. (HR Ibnu Majah)

Beliau berkata, selain faktor kesihatan beriadah memberi peluang ahli keluarga meluangkan masa yang berkualiti dengan melakukan aktiviti bersama.

Sirah juga mencatatkan Rasulullah SAW berlumba lari dengan isteri Baginda, Saidatina Aishah RA, sekali gus membuktikan sukan merapatkan hubungan kekeluargaan.

“Kali pertama Nabi SAW kalah, manakala perlumbaan kali kedua pula menyaksikan Baginda menang.

“Boleh sahaja jika Baginda sentiasa menang tetapi sengaja kalah untuk melihat Aishah seronok.

“Banyak unsur kekeluargaan boleh diterapkan dalam sukan seperti kasih-sayang, tolak-ansur dan kegembiraan ahli keluarga,” katanya.

Tidak hairanlah, Saidina Umar al-Khattab RA juga menyarankan anak-anak diajar memanah, menunggang kuda dan berenang.

Selain itu, Mohd Elyas berkata, masjid boleh menjadi medan menyuburkan sukan sebagai landasan berdakwah dengan menyediakan gelanggang atau aktiviti riadah bersesuaian.

Masjid Nabawi pernah dijadikan gelanggang sukan melontar lembing oleh orang Habsyah dan Rasulullah SAW tidak menghalang aktiviti berkenaan.

Kini sudah banyak masjid membina gelanggang futsal dan kemudahan riadah yang lain di kawasan rumah Allah itu.

“Saya pernah berkunjung ke Singapura dan Australia, mendapati masjid menyediakan ruang untuk kanak-kanak bermain papan gelungsur dan futsal tetapi apabila azan berkumandang, mereka berhenti untuk solat.

“Sememangnya masjid bukan tempat solat sahaja kerana ia juga berfungsi sebagai pusat kemasyarakatan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa syarat dalam bersukan perlu dipatuhi seperti penepatan Rasulullah SAW bahawa haiwan dilarang daripada dijadikan sebagai sasaran.

“Begitu juga jangan lalai bersukan hingga meninggalkan kewajipan seperti solat, menghormati peraturan permainan dan berlaku adil membuat pengadilan atau keputusan,” katanya.

Mohd Elyas berkata, hadiah atau ganjaran kepada pemenang juga diharuskan sebagai penguat semangat atau galakan, apatah lagi saling memberi hadiah juga sebagai tanda kasih-sayang.

Beliau berkata, falsafah sukan ada banyak, bukan untuk berseronok sahaja sebaliknya sebagai jalan untuk bermasyarakat.

“Dalam kajian berkaitan perkembangan anak-anak, mereka yang suka bersukan dan sosial didapati akan lebih cepat matang.

“Imam al-Ghazali berkata, sesiapa yang menghalang anak bermain dan bersukan, dia menghalang daripada kecerdikan,” katanya.

Panduan bersukan berdasarkan syarak

• Memelihara bahagian tubuh atau aurat menurut hukum Islam, iaitu antara pusat hingga lutut bagi lelaki, manakala aurat wanita ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.

• Memastikan jurulatih dan atlet daripada jantina sama. Sekiranya berbeza, batas pergaulan perlu dijaga selaras tuntutan syarak seperti jurulatih lelaki tidak boleh menyentuh ahli sukan wanita, begitu juga sebaliknya.

• Pakaian sukan perlu memenuhi etika berpakaian ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan diceburi, manakala pakaian wanita perlu longgar dan tidak menampakkan susuk badan.

• Percampuran bebas antara lelaki dan wanita semasa bersukan dilarang. Tempat bersukan seperti gimnasium dan kolam renang perlu disediakan berasingan atau melaksanakan jadual masa penggunaan berlainan.

• Tidak boleh bersukan hingga melalaikan kewajipan agama seperti solat.

• Tidak mempedulikan kepentingan orang lain seperti bermain di jalan raya hingga mengganggu lalu lintas, membuat bising atau menyebabkan kecederaan kepada pihak lawan kecuali kemalangan atau tidak sengaja.

• Sokongan keterlaluan khususnya penyokong fanatik hingga mencetuskan pergaduhan atau mengeluarkan kata-kata kesat, bercanggah dengan Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih sayang.

• Islam melarang jenis sukan terlalu ekstrim, berisiko tinggi dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada fizikal, mental serta spiritual umpamanya pertandingan makan makanan eksotik seperti kala jengking dan labah-labah, haram, najis, kotor serta menjijikkan.

• Wanita Muslim dilarang menyertai sukan yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan dan bertentangan adab, adat serta tatasusila.

Berita Harian X