Rabu, 11 Disember 2019 | 3:02pm
Universiti al-Azhar melahirkan ramai ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Universiti al-Azhar melahirkan ramai ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Graduan al-Azhar bawa nilai kesatuan, kefahaman agama

UNIVERSITI al-Azhar, Mesir bukan sekadar pusat ilmu yang melahirkan tokoh ulama Islam prolifik merentasi pelbagai bidang ilmu.

Sumbangan pusat ilmu yang wujud sejak 970 Masihi itu melangkaui sempadan sebuah institusi pengajian kerana ia turut berperanan dalam mendepani serta menyediakan penyelesaian membabitkan pelbagai isu global.

Antaranya, alumni Universiti al-Azhar melaksanakan misi khusus ke serata dunia bagi menyuarakan kepentingan memelihara keamanan sejagat tanpa mengira kepelbagaian latar agama, bangsa dan budaya.

Bahkan, pelajar al-Azhar datang daripada serata dunia termasuk Asia Tenggara, Eropah, Asia Barat sehinggalah rantau Afrika turut memberi kelebihan untuk gerakan keamanan sampai kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.

Ia turut menjadi medan untuk menyebarkan keindahan agama Islam dan menjelaskan ajarannya yang banyak memberi penekanan kepada keharmonian dan toleransi dalam hidup bermasyarakat.

Tokoh ilmuwan daripada Universiti al-Azhar, Syeikh Usamah Sayyid Al-Azhari. - Foto NSTP
Tokoh ilmuwan daripada Universiti al-Azhar, Syeikh Usamah Sayyid Al-Azhari. - Foto NSTP

Tokoh ilmuwan daripada Universiti al-Azhar, Syeikh Usamah Sayyid Al-Azhari, berkata institusi itu berhasil melahirkan graduan yang berkualiti tinggi khususnya pendakwah yang membawa akhlak dan menjadi suri teladan yang baik kepada masyarakat.

“Pengajian di al-Azhar memberi kesan yang cukup besar kepada graduannya, ia terserlah daripada nilai kesatuan yang mereka bawa, menzahirkan perilaku yang murni dan sentiasa berusaha bagi memadamkan api dendam serta permusuhan sesama manusia.

“Mereka dilihat mendukung imej al-Azhar dengan tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan agama, umpamanya merosakkan keamanan atau melakukan perkara yang membinasakan seperti pertumpahan darah di negara masing-masing.

“Dapat dilihat berjayanya model al-Azhar membentuk kader yang menyumbang untuk tanah air mereka dan meneruskan dakwah dengan begitu meluas,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Manhaj Azhari dan Keamanan Sejagat di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Mengulas lanjut, Syeikh Usamah yang turut tersenarai di tangga ke 30 bagi The Worlds 500 Most Influential Muslim’s 2020 itu berkata, ada banyak kisah kejayaan dan sumbangan signifikan alumni al-Azhar yang membantu mengembangkan syiar Islam ke serata dunia.

Ilmuwan dan pendakwah dihantar al-Azhar ke banyak negara termasuk Amerika Syarikat seperti Sheikh Mahmoud Hoballah yang membangunkan pusat Islam di Washington DC. Gambar hiasan. - Foto AFP
Ilmuwan dan pendakwah dihantar al-Azhar ke banyak negara termasuk Amerika Syarikat seperti Sheikh Mahmoud Hoballah yang membangunkan pusat Islam di Washington DC. Gambar hiasan. - Foto AFP

“Antaranya, ilmuwan seperti Mahmoud Hoballah pernah dihantar oleh al-Azhar ke enam buah negara di rantau Afrika kerana ketika itu penduduk di sana memerlukan bantuan.

“Bahkan, Mahmoud kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat dan pada akhir 1950, masyarakat Islam di sana bersama duta negara Islam menyokong beliau untuk membangunkan sebuah pusat Islam di Washington DC.

“Mahmoud dilantik sebagai pengarah pertama pusat Islam berkenaan mulai 1969 hingga 1971,” katanya.

Di bawah kepemimpinan Mahmoud, pusat Islam itu menjadi hab untuk komuniti Islam, selain turut mendedahkan kepada rakyat Amerika Syarikat mengenai agama Islam.

“Mahmoud mengembara ke seluruh Amerika Syarikat melalui siri ceramah, bahkan akhbar Washington Post pada 1960 pernah menerbitkan kisah tokoh ini.

“Dalam penulisannya itu, Mahmoud menjelaskan mengenai surah dalam al-Quran,” katanya.

Tokoh ilmuwan Islam kelahiran Mesir itu meninggal dunia pada 11 Julai 1974 dan dikebumikan di tanah air kelahirannya.

Universiti al-Azhar melahirkan ramai ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Universiti al-Azhar melahirkan ramai ulama dan pendakwah di seluruh dunia. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Syeikh Usamah berkata, manhaj dan model pendidikan Universiti al-Azhar yang menyeluruh antara faktor kejayaan alumninya dalam bidang yang pelbagai.

“Di al-Azhar, pengajiannya merangkumi al-Quran dan ulum syarak. Pemilihan bagi pengajian ulum syarak dibuat secara halus dan sangat teliti termasuk hanya guru yang benar-benar berkelayakan boleh mengajar bagi setiap subjek yang ada.

“Ia bagi memastikan setiap pengajian itu difahami dengan baik, memahami nas dan tidak terkeluar daripada pemahaman yang menyeleweng dan bersifat sesat.

“Bahkan, pelajar turut didedahkan supaya mengenal pasti kesahihan. Umpamanya dalam ilmu hadis, ia perlu difahami dengan mendalam dan berjaga-jaga dalam mengambil maklumat daripadanya mahupun menyebarkannya terus, terutama dalam dunia media sosial hari ini,” katanya.

Katanya, pelajar di Universiti al-Azhar turut ditekankan kepentingan menentukan sumber dan melakukan analisis.

“Analisis yang terperinci penting terutama dalam berdepan sesuatu masalah atau isu. Dalil atau nas yang ada tidak boleh diguna secara semberono, perlu tahu kaedah untuk mengeluarkannya daripada kitab yang dirujuk dan memahami maknanya secara jelas,” katanya.

Tidak ketinggalan, katanya, Universiti al-Azhar menggalakkan pembinaan pelajarnya daripada aspek yang lengkap iaitu merangkumi zahir dan batin.

“Pembinaan manusia itu dapat dilahirkan khususnya melalui pengajian ilmu fiqh, iaitu berkenaan perkara yang zahir dan tasawuf menjelaskan hal berkaitan batin atau dalaman.

“Hal ini penting dalam melahirkan individu yang suci bersih hatinya, jauh daripada sifat mazmumah dan takbur.

“Ia akan mengelakkan kita daripada menghukum orang lain dengan sewenang-wenangnya, menghukum orang sewenang-wenangnya sebagaimana berlaku kepada golongan ekstremis,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X