Isnin, 30 March 2020 | 6:53am
- Foto Tweet Mohd Syazwan
- Foto Tweet Mohd Syazwan

Hayati peristiwa agung Israk Mikraj

Sirah dan perjalanan kehidupan Rasulullah SAW mengandungi banyak hikmah termasuk peristiwa Israk Mikraj. Ibrah dan panduan daripada peristiwa agung itu boleh ditelaah setiap masa meskipun kita sudahpun melepasi tarikhnya. Apatah lagi sejarawan Muslim berbeza pendapat dalam penentuan tarikhnya.

Ulama terkenal dari Syria, Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti dalam kitab Fiqh Sirah’ mengungkapkan sebagai mukjizat Israk Mikraj. Sudah tentu ia mempunyai signifikan yang dapat diterapkan termasuk babak perjuangan dakwah dan fasa perluasan pendidikan atau tarbiah.

Peristiwa itu berlaku ketika dakwah menghadapi tentangan cukup hebat daripada pembesar Musyrikin. Ia berada di kemuncak penindasan dan penyeksaan serta komplot pemulauan dan sekatan ekonomi terhadap umat Islam.

Di tengah senario itu, isteri Nabi SAW, Sayidatina Khadijah al-Khuwailid RA dan bapa saudaranya, Abu Talib wafat sedangkan mereka banyak memberikan perlindungan kepada perjuangan Baginda hingga sejarawan menamakannya sebagai ‘Am al-Huzni atau Tahun Kesedihan.

Ini sedikit sebanyak memberikan impak mendalam kepada jiwa Nabi SAW. Ditambah penolakan total penduduk Toif sehingga Baginda dibaling batu oleh kanak-kanak kota itu. Pengajaran Allah SWT itu berterusan dan merentas sempadan masa hingga pada zaman kita, termasuk hakikat jalan dakwah yang sukar dan payah itu.

Allah SWT mahu membangkitkan semangat Rasulullah SAW bersama pengikut Baginda yang taat dan iltizam supaya terus memiliki momentum dakwah. Ia hadiah Allah SWT kepada Baginda bagi menyegarkan semula semangat, memperbaharui tekad perjuangan, membangkit kekuatan dan cita-cita bagi memikul gagasan besar dakwah.

Semangat dan momentum diperoleh sepanjang pengembaraan itu mampu melonjak roh dakwah serta gerakan, mencari ruang baharu kerana mukjizat sarat dengan hikmah, kaya dengan nostalgia dakwah menerusi pertemuan antara beberapa generasi dakwah dari Adam AS hingga Rasul sebelum Baginda. Ia isyarat kesinambungan risalah.

Begitu juga kaitan antara dua masjid yang menjadi teras kesatuan akidah antara dua zuriat pewaris Nabi, zuriat Nabi Adam AS daripada Bani Israel dan Nabi Ibrahim AS serta penerimaan amanah agung di hadapan Allah SWT akan tanggungjawab solat.

Momentum itu memberikan ufuk baharu kepada perjuangan Baginda bahawa dakwah perlu dipacu dan menempuh manusia, manakala jaringan dakwah luas dan bahtera dakwah perlu dikemudi.

Antara yang boleh kita gali daripada mukjizat Israk Mikraj itu ialah ia cara atau uslub didikan Allah SWT kepada Rasulullah SAW bagi menyegar perjuangan dakwah.

Justeru, ketika pendakwah berasa lesu dan lemah, maka wasilah jaulah atau perjalanan menjadi kaedah terbaik untuk mengembalikan semangat, menimba pengalaman daripada orang terdahulu dan menenangkan perasaan.

Begitu juga pendakwah perlu sentiasa disuntik semangat supaya momentum dakwah sentiasa hidup. Pemimpin dakwah dan pendidik hendaklah meniupkan api perjuangan dan membina zon proaktif agar tenaga mereka sentiasa berkekalan.

Dakwah juga ialah ‘pewarisan’ seperti Rasulullah SAW bertemu Nabi terdahulu yang mengambil semangat dan memimpin jemaah solat mereka.

Ia juga menjadi pembaharuan keazaman selepas melewati pelbagai cabaran di jalan dakwah, sekali gus mengingatkan bahawa dakwah ialah hak milik Allah SWT, sedangkan manusia pemegang amanah. Segala ujian bukan tanda kemurkaan-Nya, sebaliknya untuk menjelaskan sunnah dakwah tidak lari dari dugaan.

Perjalanan itu sebenarnya ubat penenang dan penyegar jiwa Rasulullah SAW. Kesantaian dan keseronokan dalam pengembaraan itu, mengembalikan kekuatan Baginda dan menghilangkan kekusutan.

Begitu juga penyucian jiwa sangat penting dalam proses pendidikan. Untuk menghadap Allah SWT, maka pendakwah perlu memiliki jiwa bersih dan suci kerana ia perjalanan hati menuju kepada-Nya.

Ia mengajarkan kita bahawa bagaimana mungkin kita ingin bertemu Allah SWT sedangkan jiwa kotor dengan dosa. Di samping itu, kita tidak boleh lupa solat sebagai tiang utama Islam. Kewajipan itu mesti dititik berat sebagai wahana pembentukan peribadi Muslim dan pendakwah.

Wajar juga dibangkitkan mengenai Palestin yang turut menjadi isu utama dalam perjuangan dakwah. Pendakwah perlu mendalami perjuangan Palestin, menguar-uarkannya kepada umat Islam sebagai agenda penting.

Dalam perjalanan dakwah, kita memerlukan bekalan dan bimbingan daripada Allah SWT. Kelangsungan pendidikan itu yang menjadikan pendakwah tidak gugur atau patah dalam perjalanan dakwah.

Pendidikan menjadi teras perjuangan. Nabi SAW sentiasa dibimbing dan dididik biar apa jua kesulitan menimpa dan kesenangan diterima. Susah senang ialah warna-warni perjuangan.

Dalam gerakan pendidikan dan dakwah, kita juga perlu melihat masa depan dengan penuh optimistik dan ada fiqh tanabbu’ atau kajian masa depan agar sampai sasarannya.

Kejayaan awal selepas berlaku mukjizat ini ialah peluang dakwah kepada penduduk Yathrib (Madinah) terbuka meskipun orang kafir di Makkah menolak untuk mempercayainya.

Akhir sekali, teknologi perlu dikembangkan dan diinovasikan seperti Allah SWT menghubungkan peristiwa ini dengan cakerawala dan merentas langit. Ini menunjukkan dakwah perlu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi serta siber.

Penulis adalah Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru)

Berita Harian X