Jumaat, 1 Mei 2020 | 6:29am
Ramadan kali ini berbeza lantaran COVID-19 yang melanda dunia. - Foto hiasan
Ramadan kali ini berbeza lantaran COVID-19 yang melanda dunia. - Foto hiasan

Ramadan berbeza, fadilat sama

KEDATANGAN Ramadan sewajibnya disambut dengan segala kerendahan hati dan kesyukuran pada Ilahi. Betapa ramai saudara yang sudah meninggalkan kita sejak Ramadan terakhir tahun lepas.

Barangkali ini peluang terakhir untuk kita menyantuni Ramadan yang belum pasti akan ditemui pada masa akan datang.

Ramadan kali ini berbeza lantaran COVID-19 yang melanda dunia. Malaysia turut terkena tempiasnya yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, masih banyak ibadat yang boleh diteruskan seperti biasa. Paling utama, puasa pada siang Ramadan dengan menjaga segala rukun, syarat dan adabnya.

Begitu juga mengelakkan perkara yang membatalkan puasa dan pahalanya. Malah, puasa kali ini mungkin lebih bermakna apabila tiada lagi pergerakan luar rumah yang tidak perlu.

Antara fadilat perlu dijaga adalah dengan melewatkan sahur dan berbuka dengan segera apabila yakin masuk waktunya. Kita juga masih berpeluang melakukan perkara sunat yang disyariatkan secara individu seperti solat sunat, mengaji al-Quran, bersedekah, bermunajat dan berzikir.

Walaupun beriktikaf asalnya disyariatkan di masjid, kita masih boleh menjadikan rumah kita sebagai tempat untuk beribadat dan bermuhasabah diri, selagi ia masih mampu dilakukan dengan tertib dan tenang.

Fasa ketiga dan mungkin keempat PKP bermakna kita terpaksa menghabiskan sebahagian besar Ramadan di rumah masing-masing.

Terdapat ibadat rutin pada Ramadan yang mengalami sedikit perubahan walaupun masih boleh diteruskan. Ia termasuk solat tarawih yang hanya dilakukan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

Ketua atau ahli keluarga mengetuai solat perlu mempunyai bacaan al-Quran baik dan mengetahui kaifiat atau cara solat terawih yang betul.

Begitu juga dengan bertalaqqi atau bertadarus al-Quran, ia hanya dilakukan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga. Perlu ada ahli mahir dalam bacaan al-Quran untuk menjadi rujukan.

Majlis iftar dan bersahur beramai-ramai anjuran pihak masjid, organisasi atau individu langsung tidak dibenarkan.

Begitu pun, pihak berhajat boleh melakukannya dalam bentuk makanan sudah siap dibungkus lalu diedarkan kepada jiran tetangga atau mereka memerlukan.

Selain itu, masjid juga akan kehilangan qiamullail berjemaah jika PKP berterusan hingga akhir Ramadan. Ia masih boleh dilakukan di rumah masing-masing sekadar kemampuan yang ada.

Tidak dilupakan kuliah atau pengisian sempena Ramadan, inisiatif pengisian secara dalam talian atau edaran penerbitan perlu dilakukan pihak masjid atau berkenaan sebagai menggantikan kebiasaan selama ini.

Terakhir, zakat fitrah atau zakat harta, umat Islam wajar menggunakan kemudahan dalam talian seperti ditetapkan pusat zakat negeri masing-masing di samping kaedah tradisional yang dibuka secara terhad.

Berkenaan hukum berpuasa pesakit COVID-19, pesakit di bawah pemantauan (PUI), kuarantin, tidak bergejala, mengalami gejala ringan atau sederhana wajib meneruskan puasa seperti biasa kecuali atas nasihat doktor bertauliah dan dipercayai.

Ini kerana individu itu masih memenuhi syarat wajib berpuasa termasuk Islam, baligh, berakal, berupaya untuk mengerjakannya, puasa tidak memudaratkan dirinya, anak bulan Ramadan kelihatan atau disabitkan Ramadan dengan menggenapkan Syaaban 30 hari dan akhir sekali bermukim atau tidak bermusafir.

Orang musafir dengan syarat diberi pilihan sama ada berpuasa atau berbuka puasa. Namun, puasa yang ditinggalkan ketika musafir wajib diganti.

Bagi pesakit yang bergejala kuat atau kritikal, jika berpuasa boleh memudaratkan sama ada dalam bentuk melambatkan kesembuhan atau menambahkan penyakit, maka diharuskan baginya tidak berpuasa.

Bagi pesakit yang terpaksa meninggalkan puasanya dengan sebab keadaan kritikal atau seperti dinasihatkan doktor, dia wajib qada puasa ditinggalkan apabila sembuh kelak.

Namun sekiranya dia tidak berpuasa dan meninggal dunia dalam tempoh rawatan, baginya ada dua keadaan.

Pertama, jika kematian berlaku sebelum berakhir Ramadan atau pada tempoh yang tidak mungkin pesakit itu mampu qadanya, puasa itu digugurkan daripada kewajipannya.

Kedua, jika kematian berlaku setelah berlalu tempoh yang biasanya sempat diqada, keluarga si mati perlu qada puasa berkenaan atau membayar fidyah secupak beras bagi setiap hari ditinggalkan.

Secara umumnya, petugas barisan hadapan tetap diwajibkan berpuasa sekiranya memenuhi syarat wajib berpuasa seperti dinyatakan sebelum ini.

Bagaimanapun, jika petugas yang bekerja di tempat yang panas dan berpeluh banyak dalam kelengkapan perlindungan diri (PPE), kemungkinan dia akan terdedah kepada dehidrasi atau kurang air dalam badan.

Biasanya, ia membabitkan tempoh pemakaian PPE yang agak lama, berbeza sekiranya dipakai sekejap-sekejap. Namun, perkara ini relatif dan subjektif bergantung kepada individu, proses kerja atau persekitaran.

Sekiranya faktor yang membawa kepada keadaan berpeluh banyak dan menyebabkan keletihan melampau, maka petugas diharuskan untuk tidak berpuasa.

Hukumnya sama seperti pekerja pembinaan atau industri berat yang terpaksa bekerja untuk mencari nafkah untuk diri dan keluarga, lalu mengakibatkannya turut mengalami keletihan melampau.

Akhirnya, umat Islam harus menggunakan peluang kedatangan Ramadan kali ini untuk menambahkan ilmu berkaitan serta melipatgandakan amalan.

Usah diratapi peluang yang seolah-olah hilang dengan sebab PKP kali ini, sebaliknya burulah nikmat yang mendatang serta ruang yang boleh dimanfaatkan.

COVID-19 berpotensi menjadi asbab kepada banyak dan berkualitinya amalan yang mungkin kita tidak dapat memperolehnya jika tiada ujian seumpama ini.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X