Sabtu, 9 Mei 2020 | 10:27am
Gambar fail perjumpaan berkala warga Islam Jepun dengan imigran Islam di Chiba Islamic Cultural Centre (CICC) yang dikendalikan Pengerusi CICC, Kyoichiro Sugimoto di Osaka pada 2019.
Gambar fail perjumpaan berkala warga Islam Jepun dengan imigran Islam di Chiba Islamic Cultural Centre (CICC) yang dikendalikan Pengerusi CICC, Kyoichiro Sugimoto di Osaka pada 2019.

Masjid Putra Heights semarak usaha dakwah di Jepun

Program Nur Islam Di Negara Matahari Terbit anjuran Masjid Putra Heights (MPH), Subang Jaya dengan kerjasama Pusat Dakwah Islam di Jepun, bakal menyemarakkan usaha dakwah di negara berkenaan.

Pengarah Dana Jawatankuasa MPH, Datuk Zulkifli Abdul Malek, berkata usaha pihaknya selari dengan apa dilakukan kerajaan sebelum ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi latihan piawaian khusus kepada pelbagai agensi di Jepun mengenai prosedur dan tatacara penyediaan makanan halal serta tempat ibadah orang Islam di sana.

Zulkifli berkata, menurut Pusat Dakwah Islam di sana, masyarakat Islam Jepun tertarik dengan cara pendekatan dan pengamalan Islam di negara ini.

"Sebagai kelompok penganut agama paling minoriti, mereka tidak mempunyai akses untuk mendalami ajaran islam secara kondusif.

"Orang Jepun beragama Islam hanya mendapat pendedahan dan bimbingan pengetahuan Islam daripada imigran beragama islam di negara berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Zulkifli berkata, dari sudut dakwah Islam, menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu apa yang patut kepada mana-mana saudara baharu memeluk agama Islam.

"Kelompok Islam minoriti di Jepun ini harus diberi perhatian kerana mereka tergolong dalam kategori asnaf mualaf," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks pelaksanaan dakwah ilmu ini, MPH selaku penganjur menjadikannya sebagai wadah Asnaf Fi Sabilillah, sekali gus mengajar umat Islam di negara ini, sama-sama membantu masyarakat Islam Jepun.

Pengerusi Chiba Islamic Cultural Centre (CICC), Kyoichiro Sugimoto.
Pengerusi Chiba Islamic Cultural Centre (CICC), Kyoichiro Sugimoto.

"Pada masa sama, kejayaan program ini dapat mengurangkan rasa prejudis masyarakat bukan Islam hingga mencetuskan sentimen Islamofobia.

"Penganjuran program Islamisasi oleh MPH terbahagi kepada beberapa fasa. Antaranya, penyediaan terjemahan al-Quran dan bahan rujukan terjemahan dalam bahasa Jepun untuk diagihkan kepada komuniti Islam dan seluruh masjid di di Jepun.

"Usaha ini memudahkan mereka lebih memahami tatacara kehidupan dan menghayati keindahan Islam. Benih dakwah ilmu ini, tentunya akan melahirkan ilmuwan dalam kalangan mereka sendiri untuk kelestarian nur Islam di sana," katanya.

Zulkifli berkata, MPH juga bakal mengadakan program berkembar dengan masjid di Jepun bagi tujuan kesinambungan modul dakwah berdasarkan garis panduan dan tatacara oleh pihak berwajib di Malaysia.

Pada fasa permulaan, MPH dalam proses menyediakan 3,000 terjemahan al-Quran dan 3,000 buku terjemahan Indahnya Hidup Bersyariat untuk diagihkan di Jepun.

Usaha dakwah ilmu ini bakal menyemarakkan lagi syiar Islam dalam kalangan asnaf mualaf Jepun dan seterusnya menjadi daya tarikan kepada masyarakat Jepun bukan Islam.

Sempena Ramadan yang penuh barakah, MPH juga menyediakan wadah perkongsian kepada orang ramai untuk turut sama melakukan amal jariah. Maklumat lanjut lawati laman Facebook Masjid Putra Heights.

Berita Harian X