Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:02am

Penjara Marang 'lahirkan' 30 hafiz al-Quran

MARANG: "Memang benar dalam kalangan banduan ini, ada yang pernah jadi pembunuh, perompak dan melakukan segala perbuatan jijik, tetapi ia tidak bermakna pengakhiran mereka adalah di neraka."

Demikian menurut Ustaz Ariff Udin yang berkhidmat sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Penjara Marang sejak lapan tahun lepas.

Ariff berkata, penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, malah ia ruang terbaik untuk pemulihan rohani dengan mengenang kembali kesilapan, memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan dengan Tuhan serta keluarga.

"Masa mula-mula kerja dulu pernah juga terfikir macam mana hendak berhadapan dengan banduan. Tidak tergambar tetapi apabila sampai di sini, rupanya ia satu tempat paling subur untuk meneruskan agenda dakwah ini. Ada (penghuni) yang 'zero' agama.

"Melihatkan kesungguhan mereka, maka betullah apa yang saya jangka banduan boleh berubah. Di Penjara Marang ini, ada 30 orang yang bergelar hafiz atau paling kurang menguasai lima juzuk al-Quran," katanya yang sebelum ini pernah berkhidmat di kawasan Orang Asli.

Pandangan Ariff bertepatan dengan keadaan di Penjara Marang dan menerusi tinjauan BERNAMA baru-baru ini, didapati penghuninya yang beragama Islam tekun membaca al-Quran dengan rutin itu berlaku setiap hari bermula 9 pagi hingga 3 petang, bukan hanya pada Ramadan.

Penghuni yang ditemui penulis juga menunjukkan sikap baik dan tertib hingga ada kalanya penulis terkejut apabila dimaklumkan status banduan terbabit sebenarnya sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan berat termasuk kes bunuh.

Seorang daripada banduan ditemui, Kasim (bukan nama sebenar), 53, sudah beberapa kali khatam al-Quran sejak dimasukkan ke penjara pada 2004 kerana kesalahan merogol anaknya sendiri.

Dia yang diperintah menjalani hukuman penjara selama 36 tahun dan sembilan sebatan memaklumkan telah memohon ampun kepada anaknya dan reda menerima hukuman walaupun dihina serta dicemuh masyarakat.

Menurutnya dia sebelum itu tidak pernah mendapat didikan agama dan nafsu menguasai diri hingga tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi keikhlasan anak perempuan dan isteri memaafkannya selepas beberapa tahun menjalani hukuman di situ amat bermakna.

"Saya memohon ampun pada semua termasuk lima anak saya dan saya juga menceraikan isteri untuk membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik.

"Saya tidak pernah minum arak, tidak pernah berjudi dan merompak tetapi nafsu jahat ini menguasai diri. Mungkin ketika itu, iman saya tidak kuat," katanya yang pernah bekerja sebagai buruh kasar.

Keperibadian terkini Kasim yang bercakap dengan penuh tertib dan tekun bekerja pastinya berbeza dengan masa lampau. Selepas 16 tahun di Penjara Marang, dia kini menjadi rujukan banduan baharu terutama dalam mendapatkan kekuatan jiwa untuk terus kekal positif.

Kasim mempunyai kepakaran dalam pertukangan dan mahir mengukir pelbagai corak bunga pada kayu hingga membolehkannya bekerja dan peroleh pendapatan di bengkel yang disediakan pihak penjara. Lebih menarik, Kasim kini mampu membayar zakat.

Sementara itu, pandangan Ariff turut disokong rakan sekerjanya Ustaz Mohammad Solahuddin Razali yang berkhidmat di situ selama lima tahun.

Menurutnya, kebanyakan banduan menunjukkan perubahan ketara meskipun pada awalnya ada seolah-olah tidak minat mendalami agama.

Tidak dinafikan, beliau pernah beranggapan agak sukar untuk mengajar banduan yang menyimpang jauh tetapi menerusi pendekatan istimewa dengan memberi imbuhan kepada yang aktif menjawab soalan akhirnya berjaya menarik minat mereka.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah, berkata banduan di Penjara Marang berjumlah 2,455 orang dan majoritinya terbabit dalam program pemulihan kerohanian.

"Program ini ada beberapa fasa yang turut menyelitkan aktiviti agama. Ia membabitkan banduan yang menunjukkan minat dan tiada paksaan tetapi biasanya mereka dengan rela hati akan tampil hingga setiap tahun mendapat sambutan.

"Besarlah harapan kami agar orang awam mengubah persepsi mereka terhadap banduan. Ramai ustaz yang berjaya mengubah mereka.

"Masyarakat perlu memberi mereka peluang kedua apabila bebas dan masyarakat perlu menerima mereka terutama keluarga. Majikan juga berilah mereka pekerjaan kerana dengan pekerjaan dan sokongan masyarakat, insya-Allah mereka tidak akan ulang kesalahan lama," katanya.

Berita Harian X