Khamis, 28 Mei 2020 | 4:26pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

'Jual' istana, dapatkan cinta Tuhan

SIFAT warak dan zuhud tokoh sufi besar, Ibrahim Adham terkenal dalam lipatan sejarah tokoh Islam khususnya golongan zahid serta sufi.

Malah, kisah bagaimana Ibrahim Adham yang asalnya raja di Balkh bertaubat dan meninggalkan singgahsana sudah masyhur, sekali gus membuktikan beliau sanggup 'menjual' istana demi mendapatkan cinta Ilahi.

Dikisahkan Ibrahim Adham bersama rombongannya, keluar berburu hingga beliau melihat seekor musang atau arnab, lalu mengejar haiwan itu.

Bagaimanapun ketika memburu haiwan itu, Ibrahim Adham terdengar bisikan: "Apakah dengan perbuatan itu, engkau diciptakan? Apakah dengan perbuatan itu, engkau diperintahkan?"

Ibrahim Adham bergegas turun daripada kuda tunggangannya, lalu menghampiri seorang pengembala yang berada berhampiran dan menukarkan jubahnya dengan pakaian orang miskin itu.

Sejak itu, Ibrahim Adham tidak menoleh lagi kepada istana dan kerajaannya, lalu berkelana hingga ke Makkah dan menjadi sahabat kepada seorang tokoh sufi lain, iaitu Sufyan al-Thauri.

Dalam aspek warak, Ibrahim Adham pernah berkata: "Perbaikilah apa yang kamu makan; usah kamu berasa berat untuk mendirikan malam (dengan ibadat) dan jangan kamu culas berpuasa pada siangnya."

Ramadan yang kita tinggalkan juga memberikan pengajaran bagaimana kita sanggup meninggalkan sesuatu yang halal seperti makan minum semata-mata memenuhi perintah Allah SWT supaya berpuasa.

Diharapkan hal itu juga dapat berpanjangan hingga selepas Ramadan apabila kita berusaha berpuasa sama ada puasa sunat enam hari Syawal atau Isnin dan Khamis.

Ibrahim Adham juga pernah mewasiatkan pesanan kepada seseorang ketika bertawaf dengan mengatakan engkau tidak akan sampai kepada kedudukan golongan soleh hingga berjaya merealisasikan enam kebiasaan.

"Pertama, engkau menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesusahan. Kedua, engkau menutup pintu kemuliaan serta membuka pintu kehinaan.

"Ketiga, engkau menutup pintu kerehatan dan membuka pintu kesungguhan. Keempat, engkau menutup pintu tidur dan membuka pintu bangun malam.

"Kelima, engkau menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kefakiran. Keenam, engkau menutup pintu angan-angan dan membuka pintu bersedia menghadapi kematian," katanya.

Kisah dan pesanan Ibrahim Adham ini dipetik daripada Risalah al-Qusyairiah karangan Imam al-Qusyairi.

Berita Harian X