Ahad, 12 Julai 2020 | 5:45pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Terjemah falsafah korban di tempat kerja

AIDILADHA semakin menjelang. Ramai dalam kalangan umat Islam yang mengambil peluang menyenaraikan nama sebagai ahli yang membuat korban di surau dan masjid.

Apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang semakin reda, menjadikan sambutan Aidiladha tahun ini pastinya ditunggu-tunggu untuk kita semua kembali berhimpun bersama-sama keluarga. Apatah lagi sambutan Aidilfitri tempoh hari yang berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan rentas negeri.

Semangat melakukan korban semasa Aidiladha ini sewajar dipuji. Malah, mereka yang ikhlas melakukannya akan beroleh ganjaran pahala besar daripada Allah SWT.

Namun, adalah wajar untuk umat Islam yang akan melakukan korban memahami fiqh korban dengan lebih mendalam supaya penghayatan dan kesedaran agama semakin kukuh dan berkesan.

Bagi memahami fiqh korban itu, seseorang harus mengetahui sejarah pensyariatannya yang bertujuan memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bermimpi bahawa Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail AS.

Firman Allah SWT: "Dan Ibrahim berkata: "Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Rabbku dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Rabbku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang salih. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Ia menjawab: "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.

Tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami memanggilnya: "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim." Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman." (Al-Shaffaat: 99-111)

Ada tiga asas atau perkara penting untuk kita mengambil iktibar dari kisah ini. Pertama, prinsip pengorbanan; kedua, ketaatan kepada Allah SWT dan ketiga, tawakal yang sungguh-sungguh kepada-Nya. Tiga asas pentingnya ini hendaklah kita praktiskan secara harian di mana-mana sahaja kita berada termasuk di tempat kerja.

Kita mestilah sanggup berkorban untuk meningkat prestasi majikan kita. Usah lagi ditanya dalam keadaan kesuraman ekonomi pasca-PKP ini, apa yang majikan boleh berikan kepada kita. Namun, selalulah bertanya, apa yang aku beri dan korbankan untuk majikan. Apakah sumbangan dan pengorbanan yang aku boleh lakukan untuk melonjakkan prestasi ekonomi dan kewangan syarikat sehingga memangkin ekonomi negara.

Kita juga perlu melakukan sesuatu pekerjaan dalam keadaan taat kepada Allah SWT. Kerja yang dilakukan hendaklah dengan penuh keikhlasan dan amanah. Tidak sesekali melakukan perkara bertentangan dengan syariat seperti 'curi tulang' dan rasuah. Ambillah iktibar dalam kesan wabak penyakit COVID-19 sebagai satu peringatan Allah SWT untuk kita taat sentiasa kepada-Nya dan mengelakkan diri daripada melakukan maksiat.

Akhirnya, setelah kita berkorban dengan penuh kesabaran dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT yang menentukan segala kebaikan kepada hasil usaha kita. Jangan dianggap keberhasilan dan kejayaan itu datangnya daripada usaha kita semata-mata, tetapi anggaplah bahawa Allah SWT yang sebenarnya memberi kejayaan kepada usaha kita.

Dalam erti kata lain, memahami fiqh korban hendaklah turut membawa kita turut mengerti falsafah pengorbanan di dalam alam pekerjaan. Semoga, institusi, syarikat yang kita bernaung di bawahnya mencari rezeki untuk keluarga kita, kekal mampan dan cemerlang sepanjang zaman yang akhirnya juga membawa kemakmuran bumi Malaysia yang kita sayangi.

Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X