Ahad, 23 Julai 2017 | 6:30am
PERKESO menyediakan perlindungan sosial kepada pekerja dan tanggungan mereka menerusi dua skim, iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan. - Foto Faiz Anuar

Jaringan perlindungan sosial jana modal insan produktif

JARINGAN perlindungan sosial kepada pekerja antara agenda utama di Malaysia kerana keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja berperanan penting dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara, seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Kementerian Sumber Manusia, melalui agensinya - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif kepada pekerja yang mengalami kecederaan atau penyakit.

Kerajaan sudah menubuhkan PERKESO pada 1971 untuk memberi perlindungan sosial kepada pekerja dan tanggungan mereka menerusi dua skim, iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Skim Bencana Pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang ditimpa kemalangan ketika menjalankan pekerjaan atau sewaktu perjalanan yang berkaitan dengan pekerjaan, ataupun mengalami penyakit khidmat. Skim Keilatan memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja terhadap keilatan atau kematian akibat sebarang sebab.

Kedua-dua skim itu menyediakan faedah tunai kepada pekerja dan tanggungan mereka apabila berlaku kejadian luar jangka di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani atau latihan vokasional.

Faedah di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa,

Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pinjaman Pendidikan, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Program Return to Work.

PERKESO juga giat menjalankan aktiviti menggalakkan pencegahan kemalangan pekerjaan dan penjagaan kesihatan dalam kalangan pekerja dan majikan. Program peningkatan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) ini membabitkan pelbagai pihak, terutama kerjasama berdasarkan konsep tripartite di mana kerajaan, majikan dan pekerja sama-sama berusaha mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pekerja di Malaysia.

Kerjasama tiga pihak ini akan menzahirkan pekerja yang mengamalkan Budaya Kerja Selamat dan Sihat, selaras dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP 2016-2020) dan Dasar Sumber Manusia 2016-2020.

Pencegahan sebelum pemulihan

Peningkatan kadar kemalangan dalam perjalanan berkaitan pekerjaan amat membimbangkan kerana ia memberi kesan besar terhadap keluarga, majikan dan juga produktiviti negara.

Setiap tahun, 600 hingga 700 pencarum PERKESO maut dalam kemalangan ketika perjalanan. Angka ini mewakili lebih kurang 10 peratus jumlah mangsa yang maut di jalan raya di negara ini saban tahun.

PERKESO menekankan 'Pencegahan Sebelum Pemulihan' (Prevention before Rehabilitation) dan 'Pemulihan sebelum Pampasan' (Rehabilitation before Compensation).

Justeru, PERKESO melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk mencegah kemalangan jalan raya dalam kalangan pekerja seperti program advokasi pencegahan kemalangan, kursus dan latihan praktikal penunggangan dan pemanduan berhemah serta pemberian peralatan keselamatan seperti topi keledar, jaket keselamatan, stiker dan sebagainya.

Siri TV sketsa komedi

Dalam usaha memperluaskan jangkauan kempen pencegahannya, PERKESO mengambil inisiatif yang jarang diambil iaitu menerbitkan siri sketsa komedi di TV yang berjudul SKETSO pada 2015.

Sketsa komedi ini memberi mesej mengenai KKP, pencegahan kemalangan dan langkah mempertingkatkan keselamatan di tempat kerja. Musim pertama sudah menarik minat 10 juta penonton dari semua lapisan masyarakat dan musim kedua menyaksikan PERKESO menerbitkan 10 lagi siri sketsa komedi SKETSO 2.

Selain itu, PERKESO juga memberi bantuan kewangan kepada institusi, termasuk pertubuhan bukan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti KKP seperti seminar, bengkel teori dan latihan praktikal, kajian serta runding cara, penerbitan media dan pengiklanan.

PERKESO dengan kerjasama SIRIM Berhad sudah membangunkan garis panduan Good Practices in Implementing Commuting Safety Management untuk rujukan majikan dalam menggalakkan keselamatan pekerja mereka ketika perjalanan pergi dan balik kerja.

Hingga kini, banyak negara lain menjadikan pengalaman PERKESO dalam merancang dan melaksanakan pelbagai strategi pencegahan kemalangan sebagai contoh.

Justeru, Kementerian Sumber Manusia, melalui PERKESO khasnya akan sentiasa memastikan bahawa nasib pekerja yang mencarum (pencarum) dijaga dan dipastikan mereka tidak diabaikan.

Penulis: Menteri Sumber Manusia

Berita Harian X