Khamis, 21 September 2017 | 1:44pm
GAMBAR fail, kekerapan banjir kilat melanda di persimpangan Jalan Perak dan Jalan P. Ramlee, Georgetown berikutan hujan lebat. - Foto BERNAMA

Masalah banjir makin kritikal di Pulau Pinang

Sabtu lalu, rakyat Pulau Pinang sengsara apabila hujan lebat mengakibatkan lebih 100 kawasan dinaiki air. Lebih 1,000 penduduk terjejas selepas banjir kilat melanda kawasan pinggir bandar ekoran hujan lebat.

Meskipun tiada kemalangan jiwa, namun bencana itu yang sebelum ini kerap berlaku menjejaskan penduduk. Kekerapan banjir kilat melanda negeri itu membawa kerugian besar kepada masyarakat khususnya peniaga selain harta benda rakyat. Banyak kawasan baharu mengalami banjir kilat terutamanya di kawasan berhampiran lereng bukit.

DAP Pulau Pinang masih gagal menyelesaikan isu banjir kilat walaupun dua penggal memerintah negeri ini sehingga menjadi kritikal dan menyusahkan rakyat. Sebelum ini banyak projek pembangunan tidak terkawal mengakibatkan bencana alam sehingga kawasan yang tidak pernah banjir pun dilanda banjir. Misalnya, Bayan Baru. Banyak kali diungkitkan berhubung isu pembangunan tidak terkawal namun yang jelas ialah pembangunan lereng bukit diluluskan mengikut kerajaan negeri di samping projek pembangunan mega lain.

Hampir beberapa kawasan di negeri itu menyaksikan paras air naik dari 0.3 sehingga 0.5 meter seperti sekitar Bayan Lepas, Bukit Jambul dan Batu Lanchang sebelum ini.


Hujan lebat beberapa jam menyebakan banjir kilat berlaku di Jalan P Ramlee dan beberapa kawasan sekitar Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Berikutan hujan lebat yang berpanjangan ia gagal disalirkan kerana kelemahan sistem saliran dan perparitan. Keputusan drastik harus dibuat sama ada kerajaan negeri harus menghentikan semua projek mega yang sudah diluluskan dan pada masa sama mempercepatkan kerja pembinaan projek tebatan banjir.

Sekiranya ada projek baru diluluskan nescaya ia akan mengakibatkan lagi musibah seperti tanah runtuh. Maka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan menyelesaikan isu banjir di Pulau Pinang.

Satu cara yang bernas ialah hentikan kesemua projek pembangunan ini dan selesaikan masalah banjir yang semakin meruncing. Antaranya, projek tambakan laut di Persiaran Gurney dan pembinaan pulau buatan di kawasan Teluk Kumbar.

Banyak projek baharu di kawasan padat penduduk

Kerja menaiktaraf sistem saliran dan memperluaskan tebatan banjir harus diutamakan malah dipercepatkan, bukan sekadar buat kenyataan sejak insiden banjir tahun lepas. Kerajaan negeri sepatutnya melihat kelemahan dan kegagalan sendiri menangani banjir kilat.

Kerajaan negeri tidak boleh nafi bencana banjir kilat turut berpunca daripada sistem pengairan dan saliran yang terjejas ekoran kelulusan projek pembangunan tanpa kawalan. Banyak projek baharu diluluskan di kawasan yang sudah terlalu padat dengan penduduk sekali gus mengganggu sistem saliran dan pengairan. Kawasan berisiko seperti cerun bukit juga ditarah menyebabkan air hujan melimpah dengan cepat.

Berhenti salahkan Kerajaan Pusat kononnya tidak luluskan peruntukan projek tebatan banjir sehingga menyebabkan bencana banjir kilat terus berulang. Kerajaan DAP Pulau Pinang terus bermain politik dalam isu banjir.

Kerajaan negeri mentadbir negeri ini hampir sembilan tahun dan sepatutnya sudah boleh merangka penyelesaian. Tetapi mereka ambil jalan mudah salahkan Kerajaan Pusat dan berharap pihak lain selesaikan masalah ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang banyak kali diselar kerana gagal tunai janji mengatasi masalah banjir. Pada tahun ini sahaja, ribuan penduduk terjejas selepas lebih 10 kali kawasan mereka dilanda banjir kilat.

Penulis adalah Naib Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang

2680 dibaca
Berita Harian X