Selasa, 21 November 2017 | 12:42pm

Kerjasama ANGKASA rancak industri pelancongan

INDUSTRI pelancongan dilihat mampu menjadi penyumbang utama gerakan koperasi yang berminat untuk menggunakan peluang yang muncul daripada jalinan pasaran dengan negara Mauritius yang terletak di kepulauan Lautan Hindi.

Naib Presiden ANGKASA, Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, perbincangan antara wakil koperasi Mauritius dengan Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah yang juga Presiden Koperasi kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) ketika perjumpaan di Makassar, Indonesia baru-baru ini, bersepakat menggalakkan pertumbuhan dan pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana yang dijalankan melalui sektor koperasi.

Lantaran itu, sempena persidangan global dan Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICAKL 2017) yang berlangsung empat hari di Petaling Jaya, baru-baru ini, membuktikan jalinan kerjasama antara ANGKASA dengan Mauritius menerusi pembangunan koperasi pada tahun depan dilihat akan membuka peluang perniagaan dan perdagangan serta pelancongan yang lebih luas kepada kedua-dua negara.

Penggabungan koperasi fokus utama ICAKL 2017

Selain itu, isu penggabungan koperasi dan peranannya dalam mensejahterakan masyarakat sejagat menjadi fokus utama persidangan ICAKL 2017 melalui pembentangan dan perbincangan 40 kertas kerja oleh perwakilan sebelum dijadikan resolusi dan diangkat ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Abdul Fattah berkata, berkata delegasi Mauritius yang diketuai Menteri Perniagaan, Perusahaan dan Koperasinya, Soomilduth Bholah menyatakan hasrat bekerjasama dengan Malaysia dalam aspek pengurusan koperasi negara itu.

Menurut beliau, kumpulan berkenaan akan menghantar 12 pegawai, termasuk beberapa pengarah Koperasi Apex bermula tahun depan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan latihan daripada ANGKASA.

Justeru, ANGKASA sedia memberi kepakaran dan khidmat nasihat kepada negara berkenaan, berikutan mereka baru mewujudkan badan tertinggi koperasi dan mereka akan diberi latihan kira-kira dua minggu di ANGKASA supaya pengalaman diperolehi dapat dilaksanakan di Mauritius.

Perluas rangkaian

Lantaran itu, kerjasama ini juga akan memberi manfaat kepada ANGKASA kerana dapat meluaskan rangkaian, selain meneroka peluang perniagaan di negara berkenaan yang terkenal sebagai pulau perikanan.

Menurut Abdul Fattah, selain perdagangan, kerjasama itu dilihat akan merancakkan industri pelancongan kedua-dua negara dan dapat meningkatkan eksport produk makanan tempatan ke Mauritius.

Sementara itu, Soomilduth memberitahu, hasrat kerjasama dengan ANGKASA disebabkan kebolehan dan kemahirannya dalam memperluaskan jaringan perniagaan serta memajukan koperasi pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memohon untuk meningkatkan eksport produk makanan Malaysia dan berharap melalui usaha itu, industri perikanan serta pelancongan Mauritius dapat dipertingkatkan pada tahun akan datang.

Pada masa kini, Mauritius mempunyai 1,200 koperasi dan menyumbang 50 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KDNK).

Mauritius mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia, dari segi masyarakat majmuk, budaya dan juga destinasi percutian terkemuka di dunia.

232 dibaca
Berita Harian X