Khamis, 23 November 2017 | 9:15am
- Gambar hiasan

Fahami risiko sebelum buat pelaburan

Kes penipuan skim pelaburan semakin membimbangkan. Statistik dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, baru-baru ini mengejutkan banyak pihak. Dalam tempoh empat tahun, seramai 1.7 juta mangsa sindiket pelaburan dilaporkan dengan anggaran kerugian RM4.9 bilion.

Biarpun berita kes penipuan pelaburan kerap dipaparkan akhbar, masyarakat masih terpedaya. Ramai individu sewenang-wenangnya mengeluarkan duit simpanan, melabur dalam skim pelaburan apabila dijanjikan dengan pelbagai pulangan pada masa singkat, malah ada buat pinjaman bank ratusan ribu ringgit demi mengejar keuntungan palsu.

Budaya pelaburan tidak sihat ini perlu ditangani segera kerana memberi kesan negatif terhadap kedudukan kewangan isi rumah dan boleh merosakkan institusi keluarga serta masyarakat. Bankrap, keruntuhan rumah tangga dan pergaduhan antara keluarga, kesan sering berlaku apabila hutang ditanggung isi rumah melebihi had kemampuan akibat terbabit dengan skim pelaburan palsu.

Semua itu berpunca daripada sikap individu yang kurang cakna terhadap risiko sebelum melabur. Objektif utama pelaburan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Namun, pelaburan tidak semestinya menghasilkan untung setiap masa. Jika individu ditawarkan pelaburan dengan janji pulangan menguntungkan pada masa singkat, dikhuatiri sindiket pelaburan.

Selidik risiko terselindung

Individu mesti berhati-hati sebelum membuat keputusan pelaburan. Berfikirlah secara kritikal dan rasional. Selidik terlebih dahulu pelaburan ditawarkan sebelum melabur. Antara perkara asas perlu dicakna sebelum melabur adalah risiko terselindung di sebalik pulangan dijanjikan yang boleh diselidik menerusi pelbagai saluran maklumat seperti internet dan talian telefon.

Risiko pertama, berkaitan dengan undang-undang. Adakah syarikat pelaburan yang menawarkan pakej menarik kepada anda sudah berdaftar secara sah di Malaysia? Dapatkan maklumat status syarikat ini menerusi badan perundangan yang mengawal selia syarikat seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Setiap syarikat berdaftar secara sah, tertakluk kepada undang-undang yang boleh menjadi perisai kepada anda sekiranya ditipu.

Jika syarikat berkenaan tidak berdaftar, hak anda sebagai pelabur sukar dilindungi oleh undang-undang di Malaysia. Kebanyakan mangsa penipuan pelaburan gagal mendapatkan semula wang pelaburan mereka disebabkan kekurangan bukti untuk dibawa ke muka pengadilan.

Banyak guna orang tengah

Risiko kedua, berkait dengan operasi syarikat. Adakah syarikat itu hanya beroperasi dalam talian menerusi laman sesawang tertentu dan tidak mempunyai premis? Adakah sebarang urusan hanya menerusi orang tengah yang dikatakan pemegang amanah kepada syarikat terbabit?

Banyak kes sindiket pelaburan yang menggunakan orang tengah untuk mendapatkan deposit daripada pelabur. Operasi sebegini mendedahkan anda kepada bahaya penyelewengan dan tanpa premis berdaftar, orang tengah terbabit sukar dijejaki sekiranya mereka melarikan diri.

Risiko ketiga, berkait pentadbir syarikat. Syarikat yang sah seharusnya mendaftarkan barisan pengarah, pengurus dan setiausaha yang dilantik di pejabat pendaftar syarikat. Barisan lembaga pengarah ini adalah pihak yang memantau pengurusan syarikat dan melindungi kepentingan pelabur daripada sebarang penyelewengan pihak pengurus.

Tanpa lembaga pengarah yang efektif, pelaburan anda sangat berisiko kerana pengurus syarikat mungkin menggunakan wang anda dengan sewenangnya untuk kepentingan peribadi tanpa pengawasan.

Risiko keempat berkaitan integriti. Badan pengawal selia syarikat, termasuk BNM dari semasa ke semasa memberi maklumat mengenai senarai syarikat meragukan dan tidak berintegriti. Senarai syarikat ini juga sering kali disiar akhbar. Anda perlu semak status syarikat pelaburan itu sebelum melabur. Melabur dalam syarikat tidak berintegriti ibarat menanggung rugi yang pasti.

Banyak lagi risiko yang terselindung di sebalik janji manis sesebuah syarikat pelaburan. Namun, empat risiko yang dinyatakan antara asas perlu diberi perhatian. Jangan mudah terpedaya dengan pulangan kewangan yang menguntungkan dan membuat keputusan pelaburan hanya berdasarkan kemewahan yang ditunjukkan seseorang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X