Isnin, 11 Disember 2017 | 6:43am
LEBIH 5,000 perwakilan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Formula walak, wasatiyyah, tabayyun

IDEALISME UMNO adalah mengenai pengorbanan, kesetiaan (walak), disiplin, kesabaran, ukhuwah, patriotisme, teliti dan yakin (tabayyun), berimbang dan bersederhana (wasatiyyah), solidariti dan berkelangsungan (istiqamah) yang diolah melalui pendekatan memujuk dan mempersatu dalam kerangka Maqasid Syariah berpandukan hieraki dharuriyyat (keperluan asasi) hajiyat (keperluan manusia untuk kelapangan) dan tahsiniyat (keperluan untuk memperlengkap).

Itulah jiwa dan roh UMNO seperti yang dinukil Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung mulai 5 Disember hingga Sabtu lalu yang membabitkan penyertaan lebih 5,000 perwakilan (termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri) dengan 826 usul yang diangkat antara 191 bahagian.

Budaya politik alam Melayu ditunjangi tradisi, kepemimpinan, agama, etnik dan sentimen yang berpengaruh. Suka atau tidak, Melayu dan UMNO adalah sinonim dengan 'Islam' meski tiada tempelan label 'Islam' pada namanya. Sebarang usaha memusnahkan UMNO sepahit ertinya dengan cubaan memusnahkan Islam.

Lepasi pelbagai ujian

Melangkaui enam dekad, UMNO terbukti berupaya melepasi pelbagai bentuk ujian dari luar dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menzahirkan apa yang disifatkan sebagai 'Jihad Kontemporari' oleh Presidennya seperti diungkapkan ketika Ucapan Dasar Presiden pada 7 Disember lalu.

Namun, mesej tersirat yang sebenarnya disampaikan oleh Najib ialah kebimbangannya mengenai kesetiaan pengikut terhadap kepemimpinan tertinggi parti serta penzahiran mereka terhadap prinsip pengorbanan yang berteraskan altruistik - yang memberatkan soal kesejahteraan dan kelangsungan hidup parti dan bangsa Melayu melebihi segala-galanya terutama kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi mengenai soal pencalonan.

Kelahiran UMNO pada 1946 disambut dengan sokongan padu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. UMNO adalah wira orang Melayu. Ia adalah sebahagian daripada struktur sosial dan ekonomi masyarakat Melayu. Ia juga lambang penyatuan dan semangat orang Melayu.

UMNO berterus terang mengenai Agenda Bumiputera, terutama menyangkut soal limpahan ekonomi. Itu dasar tradisi perjuangan UMNO seperti yang ditekankan berulang-kali ketika ucapan sesi penggulungan pada petang 9 Disember di Dewan Merdeka PWTC.

Namun, pada setiap Perhimpunan Agung, UMNO mengeraskan nada suaranya mengingatkan semula kepada sesiapa pun bahawa parti itu bukan rasis dan cauvinis.

Melalui UMNO, semua Presidennya, bermula daripada Dato Onn sehingga era Najib, mengekalkan jalan pertengahan - jalan wasatiyyah yang memberi ruang, peluang dan janji harapan masa depan - kepada etnik lain yang dipimpin oleh personaliti seperti Tan Cheng Lock, Lim Chong Eu, HS Lee, Tan Siew Sin, Liow Tiong Lai, VT Sambanthan, Manickavasagam, Samy Vellu, Subramaniam, Lim Chong Eu, Lim Keng Yaik, Koh Tsu Koon, Lim Siew Mah dan M Kavyeas untuk ikut melakar dan memeta perjalanan takdir kelangsungan daya juang Malaysia sesudah enam dekad secara pragmatis.

Ketika parti yang sebelum ini dianggap terlalu kukuh tumbang satu persatu di negara lain, UMNO masih gigih dan berupaya mendepani pelbagai kemelut dan gegaran politik persepsi lalu terus menguasai sentimen kelangsungan Hidup Melayu! di bumi Malaysia.

UMNO matang dalam kelasakan semua pilihan raya negara ini. Ia ampuh dan tegar menerima asakan, tempias dan ribut politik biar dalam bentuk persepsi mahupun pertentangan terbuka namun, arah jam kompas perjuangan sebenar ahli tetap menjadi kegusaran terbuka pimpinan tertinggi parti.

Tugas berat Presiden UMNO

Dengan kata lain, UMNO berdepan soal kejituan kesetiaan dan kepatuhan menyeluruh kepada kepemimpinan parti. Itulah yang tergambar jelas seusai ucapan dasar dan penangguhan Najib.

Najib berdepan tugas berat menetapkan kiblat semua perwakilan agar sehala ke arah prinsip asas kepemimpinan, seperti diisyaratkannya menerusi serangkap pantun:

Tiada air orang tayamum,

Tayamum itu debu dan tanah,

Ketua memimpin, ahlinya

makmum,

Barulah UMNO mendapat

barakah

Dengan isyarat itu, di minda pastinya perwakilan dan pemerhati berupaya menangkap secepat kilat perkaitan antara kepemimpinan dengan kelangsungan 'jihad' antara perjuangan lampau dengan pendekatan 'kontemporari' dari sudut kepengikutan.

Dalam kemelut dan samar-samar gerakan politik Melayu yang terpencar lima - antara UMNO, PKR, PAS, Amanah dan PPBM - Najib berdepan percaturan strategi pendekatan yang memerlukan adunan pentaakulan pemikiran yang tuntas dan kebijaksanaan serta hikmah tertinggi.

UMNO kekal kebal, malah terus mengukuh biar diasak ancaman luar parti. Ironisnya, keyakinan UMNO disangkutkan sedikit sebanyak kepada PAS yang memilih untuk bersekutu dengan kepemimpinan Najib.

Bagaimana pula dengan pengikut UMNO? Mampukah mereka menarik seramai mungkin pengikut baharu, kalau pun tidak pengundi baharu?

Adakah Najib bersendirian? Atau berupayakah tugas dan tanggungjawab Najib ini dikongsi melalui kesediaan ahli parti untuk mendahulukan agenda 'Destini Bangsa' yang dianggap berkaromah ini sesuai dengan nafas dan semangat UMNO atas kelangsungan jihad dan pengorbanan?

Intisari ucapan sepanjang perhimpunan agung itu menyerlahkan bahawa UMNO dibelenggu oleh isu kepengikutan; mengenai ketahanan, kesabaran dan kesetiaan bulat.

Pendekatan walak, wasatiyyah dan tabayyun diharapkan oleh Najib menjadi formula ajaib buat UMNO keseluruhannya. Bersediakah atau berupayakah ahli UMNO menterjemah pendekatan itu kepada prinsip kepengikutan dan kesetiakawanan yang tulen seperti disantuni oleh Najib melalui ajakan jihad kontemporari dan rayuan pantun tayamumnya?

193 dibaca
Berita Harian X