Selasa, 23 Januari 2018 | 7:30am
TN50 antara manifestasi perpaduan yang boleh ditiupkan untuk menyuntik semangat perpaduan. - Foto fail NSTP/Khairull Azry Bidin

Rukun Negara manifesto perpaduan

RAKYAT sedar bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya umum. Melihat kepada strategi parti politik, yang kini rata-rata ahlinya sedang giat mempromosikan diri ke setiap negeri di seluruh negara, jelas sekali melihatkan bahawa parti ini sedang cuba untuk memenangi hati rakyat. Ini senario biasa apabila menjelangnya musim pilihan raya.

Setiap parti politik sudah pasti bersedia dengan pelbagai persiapan, strategi utuh untuk memenangi pilihan raya kali ini. Politik sihat sebegini, amalan tradisi di Malaysia. Namun, menjadi harapan besar warga Malaysia agar pilihan raya kali ini, elemen perpaduan menjadi teras paling utuh dalam setiap tingkah laku.

Banyak pendapat mengatakan, politik adalah pemecah perpaduan. Justeru, pada pilihan raya kali ini, harus menjadi tempat untuk mereka yang terbabit dalam politik, meletakkan perpaduan sebagai manifesto utama rakyat bagi menghakis fahaman yang menganggap politik sebagai pemecah perpaduan.

Seperti mana gagasan 1Malaysia dilaungkan sebagai sebuah ideologi yang menyatukan, beberapa inisiatif lain kerajaan seperti Transformasi Nasional 50 (TN50) dan #negaraku juga dilihat sebagai antara manifestasi perpaduan yang boleh ditiupkan untuk menyuntik semangat perpaduan dalam negara pelbagai etnik ini.

Adalah mustahil segala digagaskan kerajaan memerintah pada masa kini akan diambil perhatian parti pembangkang. Perbezaan ideologi yang wujud antara parti politik ini tidak ubah seperti lautan di selat Gibraltar, air lautnya tidak bercampur walaupun dalam lautan sama.

Tunjang perpaduan

Keegoan ini akan menjadikan ideologi bermotif perpaduan dan bertunjangkan sesuatu yang sukar untuk diterima masyarakat yang mempunyai perbezaan politik dan pendapat. Justeru, kita harus memikirkan alternatif bagi memastikan tunjang perpaduan dapat dikekalkan sebagai manifestasi dalam masyarakat.

Wawasan 2020 yang juga menekankan perpaduan turut dilihat sebagai sesuatu yang menarik sebagai manifestasi perpaduan. Walaupun banyak suara mengatakan, sudah hampir mustahil untuk merealisasikan wawasan ini, dari sudut perpaduan, ia masih lagi relevan.

Bagaimanapun, pihak kerajaan semestinya lebih berminat dengan TN50 berbanding Wawasan 2020 yang kini seakan satu halangan dalam karier politik barisan kerajaan masa kini. Sehubungan itu, Wawasan 2020 hanya relevan untuk digunakan parti politik pembangkang dan tidak bersifat menyeluruh sekiranya kerajaan tidak berminat terhadap ideologi ini sebagai manifestasi.

Secara jujurnya, ideologi nasional yang paling utuh untuk dijadikan manifestasi perpaduan oleh kedua-kedua pihak yakni kerajaan atau pembangkang ialah falsafah kebangsaan kita, iaitu Rukun Negara. Ia bukan sahaja relevan untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin anakanda kepada pencetus idea Rukun Negara, sebaliknya juga relevan kepada pembangkang termasuklah PAS, iaitu antara sebahagian ahli Majlis Perundingan Negara yang menyokong pembentukan Rukun Negara pada suatu masa dahulu.

Rukun Negara ialah satu falsafah yang dibina atas semangat persaudaraan dan perpaduan yang paling tinggi menjangkaui parti politik pada masa dahulu dan tetap relevan hinggalah dewasa ini. Falsafah kebangsaan ini, dilengkapi dengan penuh nilai perpaduan dan nilai budaya bangsa secara keseluruhannya. Lihat sahaja lima cita-cita ingin dicapai Rukun Negara yang mana cita-cita pertama ialah untuk mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.

Roh Rukun Negara

Pada matlamat pertama sahaja, ia menunjukkan perpaduan sebagai manifestasi utama dalam kalangan masyarakat. Jika Rukun Negara diangkat sebagai manifesto oleh BN atau pembangkang, nescaya matlamat untuk mempertingkatkan perpaduan akan menjadi wadah utama perjuangan mana-mana parti pun di Malaysia.

Matlamat kedua dalam Rukun Negara yang mengimpikan untuk Malaysia melahirkan masyarakat yang memelihara satu cara hidup demokratik ialah sebuah cita-cita yang sangat berkaitan, khususnya dalam pilihan raya dijalankan di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sebagai asasnya.

Melihat kepada beberapa cita-cita lain, prinsip Rukun Negara jelas mengajak masyarakat ke arah suatu masyarakat yang berbudaya tinggi selari dengan apa diimpikan gagasan 1Malaysia, Wawasan 2020 dan TN50.

Oleh itu, menjadi harapan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya agar parti politik yang akan terbabit dan bertanding mengangkat Rukun Negara sebagai manifesto utama dalam memperjuangkan perpaduan.

Besarlah harapan melihat roh Rukun Negara dijadikan semangat dalam kempen parti politik yang benar-benar ingin memperjuangkan perpaduan sekiranya diberi peluang memerintah.

Semoga perpaduan tidak akan dilupakan dan falsafah kebangsaan diangkat sebagai suatu ideologi bersama tanpa mengira perbezaan kaum, agama serta fahaman politik.

Penulis adalah Eksekutif Yayasan 1Malaysia

123 dibaca
Berita Harian X