Ahad, 22 April 2018 | 6:32pm
SETIAUSAHA Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) bersama calon-calon BN pada Pelancaran Manifesto dan Sesi Perkenal Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pemilihan calon guna kaedah 'winnable'

PENGUMUMAN rasmi senarai penuh calon bagi Wilayah Persekutuan dan Terengganu hari ini, jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) mahu meraih kemenangan besar dengan mengambil kira faktor 'winnable' (boleh menang) walaupun terpaksa mempertaruhkan semula beberapa muka lama.

Mungkin ada yang kecewa, tetapi lebih ramai akan gembira dengan penampilan calon yang mereka atau rakyat kehendaki di kawasan masing-masing.

Misalnya, mengekalkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, meskipun pelbagai spekulasi timbul sebelum ini yang beliau bakal digugurkan.


CALON Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bersalaman dengan Calon ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said (kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) pada majlis pengumuman senarai calon BN untuk bertanding pada PRU-14 bagi kerusi Parlimen dan DUN PRU-14 di Seri Iman hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

Jika bukan beliau dicalonkan untuk kerusi itu, kemungkinan Kijal menyaksikan saingan sengit daripada calon PAS, Hazri Jusoh, yang ditewaskan Ahmad Said dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Kemenangan amat dituntut kerana pada PRU-13, BN menang 17 kerusi DUN manakala PAS 14 dan sebarangan kekalahan untuk kerusi BN, boleh membawa musibah.

Begitu juga dengan kemunculan semula bekas ADUN, Datuk Rosol Wahid yang dicalonkan bagi mengganti Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Bagi orang luar Terengganu, pengguguran itu mengejutkan tetapi sumber memberitahu, faktor hubungan dengan pemimpin UMNO bahagian, selain kekangan masa untuk berada di dalam kawasan menjadi antara punca pengguguran itu.

Di Kuala Lumpur, penduduk di Lembah Pantai tahu Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memang sudah bekerja keras di kawasan Parlimen itu sejak tewas kepada calon PKR, Nurul Izzah Anwar pada 2013.


CALON BN untuk kerusi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) dijulang oleh penyokong beliau selepas Pelancaran Manifesto dan Sesi Perkenal Calon BN Wilayah Persekutuan di PWTC, hari ini. - foto BERNAMA

Berbanding Nurul Izzah, penduduk di kawasan Pantai Dalam kerap melihat kelibat Raja Nong Chik berada di situ untuk menemui penduduk sama ada waktu 'susah atau senang'. Ini mungkin menyebabkan Nurul Izzah 'lari' dan dipercayai akan bertanding di Permatang Pauh.

Begitu juga dengan Tan Sri Zulhasnan Rafique (Setiawangsa), yang sanggup berulang-alik dari Washington untuk menemui penduduk sejak dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat 15 bulan lalu.

Penampilan anak muda, seorang peguam iaitu Adnan Abu Seman, 42, bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dulunya kerusi MCA, memberi nafas baru dan diharap MCA turut membantu.

Bagi melengkapkan senarai, penampilan calon wanita juga tidak mengecewakan apabila BN Wilayah Persekutuan menampilkan tiga calon iaitu Timbalan Setiausaha MCA Bahagian Seputeh, Chan Quin Er (Parlimen Seputeh); Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Bintang, Ann Tan Ean Ean (Bukit Bintang) dan Ketua Wanita MCA Bahagian Cheras, Heng Sinn Yee (Cheras).


CALON BN Parlimen Cheras, Heng Sinn Yee. - Foto Asyraf Hamzah

Terengganu turut menampilkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin dan Bendahari Wanita Umno Negeri yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun, Datuk Zainun Abu Bakar.

Banyak lagi negeri akan mengumumkan calonnya esok dan lusa sebelum hari penamaan Sabtu ini.

Kesudahannya nanti, mungkin tiada kejutan apabila kebanyakan penyandang dicalonkan semula atas faktor 'winnable' dan penampilan muka baharu mungkin lebih kepada mengisi kekosongan atau prestasi wakil rakyat yang ada, tidak begitu menggalakkan sejak lima tahun lalu.

Berita Harian X