Ahad, 10 Jun 2018 | 7:12am
Keprihatinan Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik berhubung pelbagai isu pendidikan khususnya soal SKPMg2 yang dibangkitkan kelompok guru, akhirnya diberhentikan. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Berakhir derita angkara SKPMg2

'KERJA bodoh' yang dizahirkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Guru (NUTP) baru-baru ini, berhubung penyediaan dokumen atau eviden pengurusan untuk Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang selama ini membebankan guru, akhirnya diberhentikan pelaksanaannya mulai Khamis lalu.

Senario sekurang-kurangnya tiga beg besar yang digunakan untuk memasukkan eviden untuk diaudit Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), Kementerian Pendidikan sudah berakhir dan tidak perlu lagi diheret ke kementerian.

Penulis turut berpeluang melihat gambar eviden ini dimasukkan dalam tiga beg besar untuk dimasukkan dalam boot kereta oleh seorang rakan guru.

Sekali pandang, kita beranggapan guru terbabit - daripada pengetua, penolong kanan sampailah guru kanan - dengan beg besar mahu pergi bercuti keluar negara atau menunaikan umrah, sedangkan mereka terpaksa bersengkang mata atau 'berkurung' beberapa jam, menyelongkar fail, mengumpul maklumat dan menyiapkan laporan untuk memenuhkan beg terbabit.

Keprihatinan Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik berhubung pelbagai isu pendidikan yang dibangkitkan kelompok guru, sama ada melalui media sosial, khususnya soal SKPMg2 menyebabkan program itu yang dikenali sebagai Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) pada 2001, dijenamakan semula pada 2003 dengan nama Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan kemudian ditambah baik pada 2010 dan bermula Mac 2017 dikenali sebagai SKPMg2, akhirnya diberhentikan.

Perjuangan NUTP selama ini yang menyifatkan penyediaan eviden itu oleh guru sebagai kerja bodoh, menyusahkan, membuang masa dan tidak berbaloi akhirnya dinoktahkan oleh Maszlee.

Apapun alasan Jemaah Nazir yang sebelum ini mempertahankan tindakan mereka, hakikatnya NUTP yang menaungi guru di seluruh negara melihat kerja penyediaan eviden itu tidak mendatangkan hasil kepada proses pengajaran dan pembelajaran, apatah lagi mengambil masa guru untuk mengajar dan berinteraksi dengan murid di kelas.

Isu SKPMg2 timbul apabila pentadbir sekolah dan guru mempertikaikan tujuan atau matlamatnya, selain perlu menyediakan eviden itu untuk Jemaah Nazir, sedangkan datanya sudah sedia wujud dalam pangkalan data Kementerian Pendidikan.

Sepatutnya tiada masalah JNJK untuk mendapatkan maklumat itu kerana ia berada dalam jabatan di bawah kementerian yang sama.

Logikkah pengetua/guru besar dan guru diminta mengisi data isu Latihan Sumber Manusia di sekolah oleh Jemaah Nazir jika maklumat ini boleh diakses daripada Sistem Pendidikan Latihan Guru (SPLG).

Jemaah Nazir memerlukan data mengenai pengajaran daripada jadual waktu, sedangkan mereka boleh merujuknya melalui e-Operasi.

Ini belum lagi membabitkan soal disiplin murid, data aktiviti dan pencapaian kokurikulum, malah soal kebersihan dan keselamatan sekolah yang dipukalkan kepada sekolah untuk menyediakannya, sedangkan ia boleh diakses dengan mudah melalui portal jabatan pendidikan negeri dan jabatan pendidikan daerah.

Dengan pelbagai hujah diberikan NUTP, timbul persoalan, jika Jemaah Nazir dengan mudah boleh mendapatkan maklumat diperlukan melalui pangkalan data, kenapa perlu ia memberi tekanan dengan 'memaksa' guru atau pentadbir sekolah melakukannya, sedangkan ia mempunyai sistem ICT yang canggih di pejabat?

Sudah sampai masa Kementerian Pendidikan di bawah teraju Maszlee meneliti semula fungsi JNJK atau Jemaah Nazir ini yang kini mendapat tanggapan dalam kalangan pendidik lebih menjurus mencari kesalahan di sekolah, mempamerkan 'kuasa' dan serba tahu ketika memantau pengajaran dan pembelajaran guru di sekolah, walhal guru yang dipantau dan diberi nasihat seusia ibu atau bapa mereka.

Paling utama kembalikan semula tugas guru mengajar di sekolah, bukan banyak menghabiskan masa mengisi borang atau melakukan kerja perkeranian, meninggalkan sekolah kerana menyertai seminar atau bengkel yang kadangkala lebih kepada memenuhi agenda politik sesuatu kelompok seperti yang berlaku sebelum ini.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Gaya Hidup/Hal Ehwal Semasa BH

Berita Harian X