Selasa, 26 Jun 2018 | 7:13am
FOTO hiasan.

Cari 'resipi' pikat tukang masak tempatan

CADANGAN Kementerian Sumber Manusia supaya semua restoran di negara ini tidak lagi menggunakan khidmat tukang masak warga asing disambut dengan reaksi bercampur-campur pelbagai pihak termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam sektor ini.

Ketika kerajaan melihat langkah itu lebih kepada untuk mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing dan meningkatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, ramai yang menganggapnya sebagai keputusan terburu-buru tanpa kajian teliti serta menyeluruh.

Jika diimbas semula, larangan ini bukan sesuatu yang baharu kerana kerajaan Pulau Pinang sejak 2014 sudah mengenakan perkara sama di restoran dan kedai makan negeri itu. Ia bertujuan memastikan warisan makanan negara kekal terpelihara.

Namun, kebergantungan pengusaha restoran dan kedai makan, terutama di Lembah Klang terhadap pekerja asing ternyata meresahkan mereka apabila cadangan yang sama mahu dikuatkuasa oleh Kerajaan Pusat.

Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Seni Kulinari dan Gastronomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ahmad Esa Abdul Rahman, berkata isu kos buruh dan gaji antara tukang masak tempatan dan warga asing bukan sesuatu yang baharu, malah sudah lama diperjuangkan pihaknya dalam usaha meningkatkan martabat dan kualiti tukang masak tempatan.

Katanya, mana-mana pengusaha restoran pasti mahu mengurangkan kos operasi termasuk upah buruh. Justeru, jalan paling mudah adalah mengambil pekerja asing yang gaji mereka jauh lebih rendah berbanding tukang masak atau pekerja tempatan.

"Malah, kajian kami menunjukkan rata-rata graduan kulinari menolak bekerja sebagai tukang masak memandangkan gaji yang ditawarkan kepada mereka cukup rendah berbanding kelulusan yang dimiliki. Jika dibandingkan dengan kelulusan yang dimiliki, mereka lebih selesa memilih kerjaya sebagai penyelia restoran berbanding tukang masak.

Tak ramai sanggup jadi tukang masak

"Tidak ramai yang bersedia atau sanggup menjadi tukang masak di restoran biasa kerana kalau ada pun hanya di restoran milik bekas graduan kulinari juga kerana hanya pengusaha terbabit yang memahami dilema yang dihadapi sesama mereka," katanya.

Justeru, beliau percaya isu tukang masak warga asing ini tidak akan dapat diselesaikan selagi masalah kos buruh dan tangga gaji tukang masak tempatan yang masih rendah tidak diselesaikan.

Memang cukup mudah untuk melabel pekerja tempatan sebagai tidak setia dan suka melompat kerja, namun hakikatnya mereka juga mahu membina kerjaya dan mencari gaji lebih baik, setimpal bakat serta kelulusan dimiliki.

Berbanding pekerja asing, golongan itu sebenarnya lebih terikat dengan kontrak kerja selain pasport dipegang majikan menyebabkan suka atau tidak pekerja terbabit akan terus kekal di tempat sama untuk tempoh lama.

Tawar insentif menarik

Bukannya tidak ada tenaga tempatan yang berupaya menjadi tukang masak terbaik, malah kerjaya ini mampu memberi peluang kerja kepada suri rumah atau ibu tunggal jika insentif dan inisiatif menarik ditawarkan, selain waktu kerja mengikut kesesuaian masa.

Sampai bila kita mahu terus bergantung kepada khidmat pekerja asing sedangkan kita masih mempunyai ramai bakat tempatan yang perlu diberi peluang dan mampu melakukan kerja yang jauh lebih baik.

Paling penting, selain dapat mengekalkan kualiti kebersihan makanan, keaslian cita rasa makanan tempatan kita juga akan terus kekal terpelihara.

Sudah tiba masanya pengusaha restoran di negara ini mengambil contoh negara luar, terutama di Eropah dalam menguruskan premis mereka dengan mengambil kira kekangan sumber dalam menguruskan operasi perniagaan.

Kebanyakan negara Barat tidak bergantung kepada pekerja asing, termasuk dalam menguruskan restoran atau kedai makan walaupun menyedari masalah pekerja terhad dihadapi mereka.

Bagi mengatasi masalah itu mereka mengehadkan waktu operasi dengan hanya membuka restoran ketika waktu makan tengah hari dan makan malam.

Tetapi lihat sahaja di negara kita kedai makan dan restoran beroperasi sepanjang hari hingga lewat malam, malah ada yang menjalankan operasi 24 jam.

Bilangan restoran dan kedai makan di negara kita juga bukan sedikit. Mungkin ini juga menyebabkan lambakan tukang masak warga asing.

Jika semua perkara itu diambil kira, penulis berasakan ada wajarnya langkah dibuat kerajaan untuk mengurangkan khidmat tukang masak warga asing kerana kita tidak lagi memerlukan pengaruh asing hingga warisan makanan pun turut terjejas dan semakin hilang identitinya.

Berita Harian X