Rabu, 18 Julai 2018 | 10:15pm
KERAJAAN memberi tumpuan kepada perubahan iklim yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sekiranya gagal ditangani dengan bijak menerusi mekanisme berkesan dan strategik. - Foto hiasan

Perubahan iklim sebahagian portfolio dalam kementerian

KESUNGGUHAN menangani isu perubahan iklim yang selama ini hanya menjadi sebahagian dasar kerajaan menerusi Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim, kini menjadi fokus utama menerusi penstrukturan semula Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar pada era Malaysia baharu.

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dilantik Menteri bagi mengetuai kementerian itu, manakala Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlilis dilantik Timbalan Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dalam Sesi Teknikal Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana di Ulaanbaatar, Mongolia mengakui tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam Rangka Kerja Sendai relevan dengan Malaysia, berikutan kebanyakan bencana di negara ini dipengaruhi perubahan iklim.

Selain perubahan iklim, dua lagi matlamat SDG mencakupi Kemiskinan serta Bandar dan Komuniti Lestari.

Kesejahteraan rakyat

Jelas kerajaan memberi tumpuan kepada perubahan iklim yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sekiranya gagal ditangani dengan bijak menerusi mekanisme berkesan dan strategik.

Menggubal dasar dan mengenal pasti isu strategik perubahan iklim serta menyelaras, memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan dasar dan program menjurus kepada fenomena itu peringkat nasional perlu diberi tumpuan menyeluruh.

Pasti ramai yang masih ingat lebih 10 hektar sawah penduduk Kampung Padang Garam, dekat Kuala Kedah, rosak digenangi air laut berikutan air pasang besar pada Oktober 2016.

Kerosakan itu membabitkan sebahagian kecil kawasan sawah berhampiran pantai, berbanding kejadian pertama air pasang September 2016 membabitkan lebih 30 hektar sawah.

Selain itu, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Selangor pada tahun sama yang mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk setempat.

Ini semua ada kaitan dengan perubahan iklim yang dengan sendiri kewujudan portfolio khusus perubahan iklim dalam kementerian wajar dan tepat pada masanya.

Tidak hairan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) komited berfokus kepada fenomena perubahan iklim terhadap peningkatan aras air laut sejajar SDG. Ia juga untuk menjamin bekalan air mencukupi.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, yang pakar dalam bidang kejuruteraan sungai dan pengurusan mendapan berkata, dalam tempoh lima tahun mulai tahun ini, pihaknya menyasarkan dua matlamat utama ditetapkan kerajaan dan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, matlamat itu ialah mencari mekanisme berkesan untuk menghadapi peningkatan taburan hujan yang mempengaruhi perubahan iklim dan SDG yang menjadi agenda global PBB meliputi 17 matlamat perlu dicapai semua negara menjelang 2030.

Beliau berkata, perubahan iklim dikhuatiri menyebabkan beberapa daerah ditenggelami air laut seperti Klang, Sabah Bernam serta Tanjung Karang di Selangor dan Bagan Datuk di Perak.

"JPS perlu memasang tambak dan benteng bagi menangani air pasang besar. Ketika ini ada benteng tetapi tidak cukup tinggi. Kita mungkin mencontohi kaedah benteng air di Belanda yang efektif menangani banjir," katanya.

Perubahan iklim yang berlaku menyebabkan jangkaan jumlah taburan hujan di sesuatu tempat sukar diramal, musim hujan yang tidak lagi mengikut monsun, selain berlaku perubahan lokasi tumpuan hujan.

Dalam konteks ini pelan inisiatif dilaksanakan kerajaan dan dibantu kerjasama orang ramai diharap dapat membantu menangani perubahan iklim, khususnya dalam meningkatkan tahap kualiti air untuk penggunaan domestik, selain menangani banjir luar biasa.

Berita Harian X