Khamis, 16 Ogos 2018 | 11:15pm
MENTERI Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

Skim Peduli Sihat penyelamat golongan B40

JUMAAT ini, genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara selepas meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Sepanjang tempoh ini, beberapa langkah dan dasar pentadbiran baharu dilaksanakan malah kerajaan turut melancarkan Manifesto PH pada 1 Mac lalu yang menggariskan 10 janji untuk rakyat dan perlu dilaksanakan dalam masa 100 hari mentadbir Putrajaya.

Antara 10 janji berkenaan termasuklah segmen kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat menerusi Skim Peduli Sihat Nasional.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, kementeriannya sedang membuat penilaian mendalam bagi pelaksanaan skim perlindungan kesihatan yang memberi tumpuan kepada kumpulan B40 termasuklah warga emas.

“Ini termasuk pakej perlindungan kesihatan, pangkalan data kumpulan sasaran, pembangunan sistem, pemetaan pembekal perkhidmatan kesihatan dan semestinya implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Faedah penjagaan kesihatan berkualiti akan memberi lebih tumpuan kepada saringan kesihatan, aktiviti pencegahan serta pendidikan dan promosi kesihatan terutamanya bagi penyakit tidak berjangkit dan penyakit kronik di peringkat pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata, konsep perlindungan kesihatan nasional ini adalah satu inovasi dan penambahbaikan daripada model Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan kerajaan Selangor.

Katanya, pelbagai pilihan disediakan termasuklah penerapan perlindungan takaful kesihatan untuk diberikan kepada golongan B40 lebih faedah dan akses kepada intervensi kesihatan, rawatan, ubat-ubatan serta peralatan.

“Opsyen berteraskan takaful pula akan menekankan pembiayaan model-model rawatan yang berkesan dan kos efektif seperti rawatan harian dan rawatan pesakit dalaman.

“Pendekatan sebegini akan memberi nilai tambah kepada jaringan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada sama ada di klinik atau hospital awam.

“Perkhidmatan kesihatan awam akan sentiasa ditambah baik secara berterusan menerusi perkhidmatan di Kementerian Kesihatan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya.

Katanya, meskipun Skim Peduli Sihat Nasional ditangguhkan sementara, kerajaan tetap komited untuk meneruskan usaha melaksanakan skim itu secara berfasa.

Manakala, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata skim itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2019 dan dilaksanakan di seluruh negara bermula Januari 2019.

Katanya, kementerian juga tidak merancang untuk mengubah atau menghapuskan bayaran RM1 dan RM5 untuk perkhidmatan pesakit luar di hospital kerajaan dan klinik kesihatan.

Pada masa yang sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, optimis keberkesanan dasar itu mampu dilaksanakan ke seluruh negara selepas kejayaannya di Selangor.

“Kerajaan Negeri bersedia berkongsi pengalaman sekiranya Kerajaan Persekutuan ingin melakukan kajian dan melaksanakannya untuk rakyat,” katanya.

Skim Peduli Sihat di bawah kerajaan Selangor mensasarkan kelompok B40 yang berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan bagi mendapatkan rawatan kesihatan asas.

Kira-kira RM125 juta diperuntukkan bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan percuma kepada 250,000 keluarga.

“Sehingga 13 Ogos 2018, seramai 1,376,100 rakyat mendapat manfaat kira-kira di 1,000 klinik berdaftar di Lembah Klang sejak diperkenalkan pada Januari 2017.

“Kerajaan Selangor menawarkan RM500 setahun untuk satu keluarga dan RM200 untuk individu dengan had kegunaan RM70 setiap rawatan,” katanya.

Skim itu juga turut menawarkan vaksin percuma sehingga RM80 setahun untuk suntikan Pneumococcal, Meningococcal, Typhoid, Influenza dan Hepatitis B.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mohamed Namazie Ibrahim, berkata sehingga ke hari ini, MMA tidak mendapat sebarang maklumat perlaksanaan Skim Peduli Sihat di peringkat nasional.

“Skim ini walaupun menawarkan banyak manfaat kepada rakyat mungkin sukar untuk dilancarkan di seluruh negara kerana ia memerlukan perbelanjaan tinggi, iaitu kira-kira RM 1.5 bilion setiap tahun hanya untuk rawatan asas.

“Sekiranya dilancarkan kelak, ia mungkin tidak dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang.

“MMA mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan skim insurans kesihatan nasional yang komprehensif ke atas semua golongan dan tidak terhad kepada B40 semata.

“Skim Peduli Sihat Nasional bukan skim yang berdaya maju untuk jangka masa panjang, tetapi ia berguna untuk sementara waktu sekiranya kerajaan mengambil langkah ingin menghapuskan klinik kesihatan sementara mencari penyelesaian kekal.

Berita Harian X