Rabu, 29 Ogos 2018 | 10:59am
- Foto hiasan

Syor pusat penternakan ruminan untuk ibadat korban

SETIAP tahun masyarakat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Haji dengan meriah sekali. Ramai masyarakat Islam melakukan ibadat korban bersempena Aidiladha. Bilangan masyarakat melakukan ibadat korban meningkat dari tahun ke tahun.

Ini bermakna bilangan haiwan ternakan lembu dan kambing yang diperlukan untuk ibadat korban semakin meningkat. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pada 2015 sebanyak 15,000 ekor ternakan ruminan besar dan kira-kira 10,000 ekor ternakan ruminan kecil disembelih di seluruh negara untuk tujuan ibadat korban.

Pada 2016 dianggarkan 39,375 ekor lembu dan 39,694 ekor kambing/bebiri diperlukan. Kebanyakan haiwan ruminan untuk ibadat korban diimport. Sebanyak 4,639 ekor lembu diimport dari Thailand, 21,938 ekor dari Austra-lia manakala 12,798 ekor bekalan dalam negara.

Bagi kambing dan bebiri pula, 28,694 ekor diimport dari Australia dan hampir 11,000 ekor haiwan tempatan.

Selain permintaan meningkat, kos perkhidmatan yang meningkat dan kos penternakan juga naik mengakibatkan harga haiwan ternakan untuk korban juga turut meningkat.

Misalnya pada 2014, harga lembu diimport dari Thailand ialah RM2,500 seekor dan meningkat kepada RM4,000 seekor pada 2015. Harga terus meningkat kepada RM4,000 hingga RM4,500 seekor bergantung kepada saiz.

Harga lembu boleh mencecah RM5,000 atau RM6,000. Tahun 2015 menunjukkan kenaikan harga lembu hidup sehingga 30 peratus daripada harga biasa.

Seekor lembu yang beratnya 200 kilogram (kg) hingga 250 kg bernilai RM3,000-RM3,800 seekor. Pada 2016 harga terus meningkat sehingga RM4,500 seekor dan bagi lembu Australia yang berat lebih dari 250 kg (300 - 350 kg) boleh mencecah RM5,500 seekor.

Harga lembu untuk korban pada 2018 yang diimport dari Thailand mencecah RM4,500 - RM4,700 seekor. Itu harga di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Penduduk yang jauh terpaksa membayar kos pengangkutan dan pengurusan.

Harga ini terus meningkat berbanding 2016 seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Peningkatan permintaan haiwan untuk korban mendesak pihak bertanggung jawab memastikan bekalan yang mencukupi dan harganya rendah.

Daripada data Jabatan Perkhidmatan Veterinar di atas, Malaysia bergantung kepada bekalan lembu dan kambing/bebiri import sebanyak dua hingga tiga kali bekalan tempatan pada musim korban saja.

Kebergantungan kepada negara luar perlu dikaji semula, terutamanya bagi musim Hari Raya Kor- ban. Ini penting kerana selain daripada bekalan dan harga berpatutan, haiwan untuk ibadat korban mestilah memenuhi syarat tertentu sesuai untuk ibadat korban.

Import 700,000 lembu setahun

Mungkin Malaysia boleh mengadakan pusat penternakan haiwan ruminan yang diusahakan kerajaan atau pihak swasta. Mengikut laporan media, kerajaan mengimport lebih 700,000 ekor lembu setiap tahun yang membabitkan kos melebihi RM1.4 bilion.

Harga tinggi di Malaysia menggalakkan orang menjalankan ibadat korban di luar negara. Harga lembu di Bangladesh, Thailand dan Kemboja jauh lebih rendah. Ini boleh menggalakkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara.

Apabila Malaysia bergantung kepada haiwan import, banyak perkara lain yang menjadi perhatian masyarakat umum, terutama dalam kalangan pencinta haiwan.

Isu berkaitan kebajikan haiwan ternakan yang dieksport ke Malaysia dikatakan tidak mengikut piawai sistem yang diperkenalkan negara pengeksport. Akhirnya, negara pengeksport seperti Australia mengenakan sekatan.

Larangan mengeksport itu menjejaskan keperluan haiwan korban. Kerajaan terpaksa membenarkan import haiwan ternakan dari Thailand dan melonggarkan syarat yang biasa ditetapkan. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan dasar kawalan penyakit ternakan.

Media melaporkan Australia menggantung eksport ternakan kambing dan biri-biri ke Malaysia selama enam minggu sehingga 25 Ogos 2018. Tempoh ini sangat kritikal, iaitu tempoh masyarakat Islam membuat persediaan untuk ibadat korban.

Sudah sampai masa kerajaan memikirkan satu sistem untuk memastikan bekalan haiwan ruminan cukup untuk ibadat korban setiap tahun. Sudah tentu di Malaysia mempunyai usahawan yang mampu membekalkan keperluan haiwan ruminan untuk korban dengan harga berpatutan.

Mungkin kerajaan perlu memberikan skim galakan bagi penternak yang berwibawa. Latihan, nasihat dan pemantauan yang terbaik perlu ada bagi menjamin kualiti, kesihatan dan kesempurnaan haiwan untuk korban.

Penyelidikan dari semua aspek penternakan haiwan mestilah diadakan dengan kerjasana jabatan kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti. Teknologi tinggi sesuai dengan Malaysia boleh dibangunkan.

Idea penubuhan Lembaga Ruminan telah diketengahkan pada 2014 lagi bagi menjaga pembangunan industri penternakan negara. Sektor ternakan hanya menyumbang kira-kira 30 peratus kepada pasaran tempatan. Penubuhan lembaga ini mungkin boleh meningkatkan bekalan kepada 50 peratus menjelang 2020.

Penubuhan lembaga itu boleh melonjakkan lagi industri penternakan, di samping Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang memberikan tumpuan kepada peraturan penternakan dan jaminan kualiti.

Lembaga itu boleh memberikan penekanan kepada pembangunan industri tenusu dan pedaging negara secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan, penyelarasan, khidmat nasihat dan keperluan pemasaran.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X