Rabu, 5 September 2018 | 10:59am
GAMBAR fail, dua wanita yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan melakukan hubungan sejenis hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjalani hukuman, kelmarin. - Foto Ghazali Kori

Di sebalik hukuman rotan terhadap pesalah lesbian

Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama hukuman rotan dilaksanakan. Hukuman rotan sebanyak enam kali ke atas dua wanita yang disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana melakukan hubungan seks sejenis di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 8 April lalu.

Hukuman itu dijalankan di dewan bicara, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, disaksikan oleh kira-kira 100 orang, termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie. Hukuman rotan bagi kedua-dua tertuduh secara berturut-turut mengambil masa tidak sampai tiga minit setiap seorang.

Mereka didakwa mengikut Sek-syen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah (lesbian).

Bukan untuk menzalimi

Matlamat utama bagi setiap hukuman dalam Islam untuk memberi pengajaran kepada pesalah, agar menginsafi perbuatannya yang bercanggah dengan hukum agama. Selain itu, pengajaran juga dapat diperoleh oleh orang ramai yang menyaksikan peristiwa berkenaan.

Melihat kepada kaedah dan cara pelaksanaan hukuman, sangat jelas bahawa hukuman itu bukan untuk menyeksa atau menyakiti pesalah tetapi lebih kepada memberi kesedaran dan keinsafan, agar tidak mengulangi perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Ini terbukti apabila tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku. Bahkan, ketika setiap kali hayunan rotan singgah di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran. Pegawai penjara perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan, iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh.

Jelas sekali dalam pelaksanaan hukum syarak, ada rahmat di dalamnya. Tepat sekali apa yang sering diuar-uarkan oleh banyak pihak khususnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof bahawa Islam itu rahmat buat sekelian alam (rahmatan lil aalameen).

Kesan terhadap pesalah

Hukuman yang dilaksanakan khususnya apabila dilaksanakan, pastinya mampu membawa keinsafan kepada pesalah, bahkan juga kepada orang ramai.

Ini terbukti apabila tertuduh pertama berusia 32 tahun dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai, manakala tertuduh kedua (22 tahun) pula sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya.

Sama ada tangisan itu kerana perasaan malu, marah, insaf atau sebagainya, ia bukan urusan kita untuk membuat penghakiman. Kita serah kepada empunya diri dan juga Allah SWT untuk menentukan.

Oleh sebab matlamat bagi satu-satu hukuman ialah pengajaran kepada pesalah dan juga orang ramai, maka mahu tidak mahu ia mestilah dilaksanakan.


Keratan akhbar BH, semalam.

Selari syariah

Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al Quran:

“Penzina perempuan dan penzina laki-laki, hukumlah masing-masing dari kedua-duanya seratus kali, dan janganlah berasa belas kasihan kepada kedua-duanya yang mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang yang beriman.” Al Nur: 2

Pelaksanaan hukuman mempunyai kesan yang sangat signifikan kepada pesalah dan juga orang ramai.

Beri kesan psikologi

Pastinya ini akan memberikan kesan psikologi yang sangat mendalam dan pastinya pesalah dan mereka yang menyaksikan akan berhati-hati dalam setiap tingkah laku mereka, agar mereka tidak akan melalui situasi yang sama.

Hari ini kita lihat banyak kejadian jenayah. Jika diambil hukuman bunuh bagi pesalah yang mengedar dadah, ia seakan-akan tidak memberi apa-apa kesedaran kepada mereka yang terbabit dalam pengedaran dadah, meskipun mereka tahu akibat daripada kesalahan mereka kerana hukuman bunuh dibuat di tempat yang tersorok, iaitu di dalam penjara. Maka tidak ramai yang mengambil pengajaran.

Artikel ini tidak bermaksud untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya menjalankan hukuman bunuh di khalayak kerana ia pastinya akan membawa kesan yang negatif dan kecaman daripada pelbagai pihak.

Namun, kerajaan jika benar-benar serius untuk menangani masalah jenayah, sudah sampai masanya untuk melaksanakan hukuman ringan seperti rotan ini di khalayak ramai.

Kaedah merotan juga harus ditukar daripada kaedah biasa yang mencederakan kepada kaedah merotan dalam Islam yang jauh lebih berperikemanusiaan kerana matlamat hukuman bukan untuk mencederakan, tetapi untuk memberi pengajaran.

Penulis adalah Pensyarah Undang-Undang Jenayah Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X