Jumaat, 5 Oktober 2018 | 11:47am
MENTERI Pelajaran, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Realisasikan tugas hakiki guru

JAMINAN Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa guru di negara ini bakal bebas daripada beban tugas perkeranian yang akan direalisasikan selewat-lewatnya awal tahun depan, pastinya satu kelegaan buat seluruh warga pendidik tanah air.

Sudah sekian lama, kita mendengar rungutan mereka bagaikan semakin hilang fokus terhadap tugas hakiki kepada pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah, disebabkan pelbagai beban tambahan yang ada kalanya dilihat bukan menjadi keutamaan.

Mungkin ada yang beranggapan kerja pentadbiran yang perlu dilakukan guru bukan berat manapun, tetapi jangan kita lupa semua tugas terpaksa diuruskan menuntut sebahagian besar masa mereka.

Bayangkan jika waktu yang diambil bagi melakukan tugas tambahan itu sepatutnya diperuntukkan kepada mengajar dalam kelas, pasti akan menyebabkan kerugian kepada murid. Belum lagi mengambil kira masa peribadi mereka untuk bersama keluarga di rumah, termasuk pada hujung minggu.

Jika diimbas mengenai janji bahawa guru tidak lagi akan dibebani tugas perkeranian sebenarnya sudah sering dilakukan Menteri Pendidikan yang silih berganti sejak sekian lama, sehingga bertukar tampuk pemerintahan kerajaan. Namun, isu ini belum benar-benar menampakkan penyelesaian sebenar.

Kita mengharapkan jaminan kali ini biarlah yang terakhir dan tidak menerima nasib sama seperti mana janji yang pernah dibuat sebelum ini.

Tugas sampingan jadi keutamaan

Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Johor, Datuk Jemale Paiman, menjelaskan ada banyak lagi tugas lain perlu diberikan keutamaan oleh guru dalam membuat persiapan PdPc seperti rancangan pengajaran harian.

Malah, masalah bebanan tugas ini seharusnya sudah lama menemui jalan penyelesaian kerana kajian demi kajian sudah dilaksanakan kementerian terbabit yang diterajui beberapa menteri terdahulu, namun belum ada pengakhiran kepada masalah itu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan perlu ada pembantu guru yang ditempatkan di sekolah sebagai tambahan kepada kakitangan sokongan sedia ada dalam membantu menyelesaikan tugas tambahan yang wujud.

Persatuan itu pernah mencadangkan supaya pembantu guru dilantik dalam kalangan bekas guru sendiri supaya tugas membantu menjadi lebih mudah, memandangkan kebanyakan mereka berpengalaman dan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Jika mahu ditawarkan kepada lulusan sekolah atau universiti pun perlu pastikan mereka diberikan latihan jangka pendek supaya lebih faham dengan tugas yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau mengakui tugas tambahan yang terpaksa dilakukan kebanyakan guru hari ini nampak agak remeh dan tidak terlalu berat, sebaliknya menuntut waktu mereka yang sepatutnya ditumpukan kepada mengajar di kelas atau meluangkan masa bersama-sama keluarga.

Kurangkan hal remeh

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengharapkan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan lebih banyak perkara remeh dalam hal membabitkan tugas perkeranian seperti pengisian borang secara dalam talian, selain pengendalian program tertentu yang dianggap tidak perlu.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berpendapat dengan meminimumkan borang yang perlu dikendalikan golongan pendidik, diharapkan beban tugas mereka dapat dikurangkan dalam usaha memperkasa kerjaya keguruan dengan memastikan guru mampu memberi fokus tugas mendidik dan mengajar di kelas.

Beliau menjelaskan memang menjadi keperluan untuk menempatkan pembantu guru, terutama di sekolah terpilih yang memiliki bilangan pelajar yang ramai atau melebihi 2,000 murid, biarpun kementerian seboleh mungkin turut melihat alternatif lain yang tidak akan membabitkan soal kewangan.

Sebagai cadangan awal, pihaknya berasakan sekurang-kurangnya dua pembantu guru diperlukan bagi jika sekolah memiliki bilangan murid yang agak ramai, sebagai tambahan kepada kakitangan sokongan sedia ada.

Cadangan untuk menambahkan bilangan kerani di sekolah juga antara usaha diharapkan mampu mengatasi masalah bebanan tugas perkeranian guru, tetapi pihaknya tidak melihat keperluan untuk menawarkan peranan itu kepada bekas guru.

Masalah dihadapi kebanyakan guru ialah terlalu banyak dokumentasi yang dianggap sebagai remeh dan perlu diselesaikan di sekolah.

Kamarozaman berkata, itu belum termasuk pelbagai program yang dilihat bertindih dan perlu disertai guru terbabit sehingga mengabaikan tugas hakiki mereka mendidik di kelas.

Hilangkan tekanan guru

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap jaminan menteri pendidikan itu bukan sahaja dilihat mampu meningkatkan mutu PdPc di sekolah, tetapi lebih penting dapat membantu menghilangkan banyak tekanan dihadapi golongan pendidik.

Presidennya, Datuk Azih Muda menyatakan CUEPACS pernah menyuarakan beban dan tekanan yang terpaksa ditanggung kumpulan pendidik di negara ini, selain keperluan pembantu guru dalam usaha menangani pelbagai urusan tambahan sehingga mengabai tumpuan tugasan hakiki.

Seperti kata Maszlee sendiri, amat merugikan apabila kemahiran dan kepakaran guru tidak dioptimumkan bagi tujuan mengajar, sebaliknya dibebankan dengan tugas perkeranian.

Zaman kegemilangan guru perlu dikembalikan supaya mereka bukan sahaja boleh dianggap ‘wira’ dalam kalangan murid dan pelajar, tetapi terus berada di tempat yang cukup mulia serta menjadi sanjungan anak didik mereka.

Berita Harian X