Isnin, 22 Oktober 2018 | 11:01am

Minda Pengarang: Kemahiran berenang elak tragedi

CADANGAN Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kemahiran berenang sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikulum mulai tahun depan, harus diterima dengan hati terbuka oleh ibu bapa.

Mengikut kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, kelas berenang boleh diwajibkan atau dijadikan satu daripada sukan yang diajar dalam subjek Pendidikan Jasmani.

Kemahiran berenang sangat penting untuk mengelak atau mengurangkan kejadian kanak-kanak lemas sama ada di kolam renang, tasik, sungai, bekas lombong atau di laut.

Kita pasti tidak dapat melupakan kejadian dua murid Tahun Enam ditemui lemas, manakala dua lagi rakan mereka terselamat ketika bermandi-manda selepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap pada 30 Oktober lalu.

Malah, sering kali berlaku kejadian membabitkan kanak-kanak lemas di seluruh negara ketika musim tengkujuh. Kebanyakan negara maju sudah mewajibkan murid-muridnya menguasai kemahiran berenang dengan memasukkan aktiviti itu sebagai sebahagian daripada kokurikulum.

Di England misalnya, murid berumur enam tahun diajar berenang sejauh 25 meter (pergi dan balik) dan langkah itu dapat mempertingkatkan kefahaman mereka mengenai langkah keselamatan di air.

Di negara kita, kemudahan kolam renang amat terhad dan hampir tiada sekolah mempunyai kolam renang sendiri, kecuali di sekolah sukan. Oleh itu, cadangan memperkenalkan kokurikulum renang di sekolah bukanlah usaha mudah dan boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang singkat. Selain memakan kos yang tinggi untuk membina kolam renang di sekolah, banyak faktor lain perlu diambil kira, khususnya kekangan kewangan yang dihadapi negara ketika ini.

Ketika ini, hanya ada kolam renang awam yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jumlahnya terlalu kurang dan pastinya tidak dapat menampung keperluan murid sekolah berhampiran, selain turut menjadi tumpuan orang awam yang lain. Faktor keselamatan juga harus diberikan pertimbangan wajar dan pihak mana harus memikul tanggungjawab memastikan keselamatan murid, selain faktor masa yang perlu diluangkan murid untuk mengikuti kelas renang dan perbelanjaan sewa serta pengangkutan yang perlu disediakan ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tidak dinafikan tidak susah untuk mendapatkan jurulatih atau tenaga pengajar bagi menunjuk ajar kaedah berenang yang betul, namun ia bukanlah percuma.

Faktor pertambahan bebanan kerja dalam kalangan guru juga perlu diberikan perhatian jika mahu melaksanakan cadangan ini. Pada masa yang sama, pastinya ibu bapa tidak sabar menunggu langkah yang akan diambil Kementerian Pendidikan dalam menangani isu berpanjangan beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid sekolah rendah.

Komitmen Dr Maszlee untuk menyelesaikan isu ini perlu diberikan pujian dan seharusnya dapatan menyeluruh daripada kajian yang dijalankan Kementerian Pendidikan diumumkan. Seiring dengan kenyataan menteri yang mengakui buku teks dan buku aktiviti menyumbang kira-kira 28 peratus daripada berat beg sekolah murid, ibu bapa juga mahu pihak Kementerian Pendidikan mencadangkan penyelesaian yang tuntas mengenai pembelian buku aktiviti yang membebankan ibu bapa dan pada masa yang sama digunakan oleh guru di sekolah.

Sudah sampai masa juga untuk kerajaan memikirkan langkah menggantikan penggunaan buku di sekolah kepada e-book bagi membantu mengurangkan beg berat seperti yang dilaksanakan di negara maju.

Berita Harian X