Selasa, 23 Oktober 2018 | 11:00am

Seragamkan peraturan pemandu teksi, e-hailing

Bermula 1 November ini, semua pemandu yang menawarkan khidmat teksi dan e-hailing seperti Grab diwajibkan mendaftar dan membuat caruman di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Mengikut perancangan asal, langkah ini sepatutnya dilaksana pada Jun lalu. Seperti kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, langkah itu bukan untuk menyusahkan, sebaliknya sebagai perlindungan bagi pemandu dan ahli keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika keluar bekerja.

Setakat ini, hanya 5,197 daripada lebih 100,000 pemandu e-hailing dan teksi di seluruh negara sudah mendaftar dan membuat caruman itu. Sebelum ini, hanya pemandu teksi yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak diwajibkan mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Perkhidmatan e-hailing pula agak baharu di negara kita dan mula diperkenalkan pada 12 Julai lalu dan ia tidak termaktub dalam mana-mana akta sedia ada.

GAMBAR fail, pemandu teksi menunjukan aplikasi e-hailing untuk pemandu teksi menerima penumpang melalui telefon pintar ketika di temubual ketika tinjauan teksi di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Oleh yang demikian, pemandu perkhidmatan ini diwajibkan mempunyai Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) oleh APAD bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan menepati tahap perkhidmatan yang berkualiti, termasuk dari aspek keselamatan. Untuk itu adalah wajar bagi kerajaan menguatkuasakan peraturan sama ke atas pemandu e-hailing seperti yang dikenakan ke atas pemandu teksi bagi memastikan kesaksamaan ‘padang sama rata’ dan persaingan yang sihat di antara mereka, sekali gus dapat mengelakkan perselisihan pendapat atau salah faham yang berlaku di antara dua-dua perkhidmatan itu ketika ini. Pengumuman kerajaan untuk memberi tempoh setahun kepada pemandu teksi dan e-hailing sebelum menguatkuasakan langkah mewajibkan peraturan mendaftar dan mencarum kepada PERKESO amat baik, khususnya dalam mendidik pemandu mengenai kepentingan skim berkenaan.

Kita percaya pemandu teksi dan e-hailing akan bekerjasama menjayakannya selepas memahami pelbagai manfaat dan kelebihan yang bakal dinikmati mereka. Ini termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pinjaman pendidikan serta kemudahan pemulihan jasmani, vokasional dan program Return to Work (RTW). Mengikut laman sesawang PERKESO, empat jenis caruman ditawarkan kepada pemandu teksi dan e-hailing berdasarkan opsyen pilihan pendapatan diinsuranskan sebanyak 1.25 peratus daripada pendapatan bulanan mereka. Bagi pendapatan diinsuranskan RM1,050 sebulan, mereka hanya mencarum RM157.20, RM1,550 (RM232.80), RM2,950 (RM442.80) dan RM3,950 (592.80). Kita yakin pemandu teksi dan e-hailing akan bersikap terbuka kerana ada jaminan daripada kerajaan mengenai masa depan mereka dan keluarga. Apatah lagi dengan jumlah kenderaan yang banyak di jalan raya, tiada siapa dapat menduga bila kemalangan akan berlaku.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X