Isnin, 12 November 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Elak sistem FundMyHome jadi mangsa spekulator

SISTEM pemilikan rumah baharu dilancar kerajaan dikenali FundMyHome, mengundang pelbagai tafsiran, lebih-lebih lagi dengan pemilihan konsep 'crowdfunding' atau pendanaan awam yang pertama kali diguna pakai untuk pembiayaan hartanah di negara ini sebagai teras mekanismenya.

Secara asas, penawaran konsep agak menarik apabila memerlukan pembeli menyediakan hanya 20 peratus dana daripada nilai hartanah, selebihnya dibiayai pelabur melalui kerangka pembiayaan rakan setara atau peer-to-peer (P2P), malah pembeli turut dikecualikan bayaran ansuran bulanan untuk tempoh lima tahun. Apa pun, status kelangsungan program sedikit menimbulkan persoalan, ter- utama selepas banyak pihak, termasuk penganalisis ekonomi agak skeptikal menilai konsepnya.

Antara persoalan ialah penetapan tempoh komitmen berkadar lima tahun bagi pembelian hartanah perumahan, maksudnya pembeli melalui skim FundMyHome diikat komitmen tetap dan setiap kali tempoh lima tahun berakhir, diberi pilihan menjual atau terus menghuni kediaman berkenaan.

Di sini, beberapa kebimbangan perlu dikaji dan diteliti kerajaan sebelum 'pintu besar' FundMyHome betul-betul boleh dibuka kepada umum, antaranya risiko penyusutan nilai hartanah selepas lima tahun yang memungkinkan pembeli menanggung liabiliti kehilangan sebahagian atau keseluruhan 20 peratus wang deposit, sedangkan pelabur terkecuali daripada liabiliti itu.

Maksudnya konsep perkongsian liabiliti dilihat lebih memihak kepada pelabur berbanding pembeli. Perlu juga diambil kira risiko kesukaran pembeli memperbaharui komitmen untuk setiap lima tahun, berikutan masalah pembiayaan yang mungkin dihadapi, tidak termasuk renyah proses yang terpaksa dilalui pembeli secara berkala setiap lima tahun. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi maksud pelupusan hartanah perumahan berpandukan tempoh pegangan yang perlu ditanggung pembeli sekiranya memilih menjual rumah terbabit, juga wajar diambil kira.

Apa pun persoalan yang timbul, kesan positif FundMyHome tidak dinafikan. Selain memudahkan pemilikan rumah pembeli rumah pertama, ia turut dirangka khusus untuk menyelesaikan isu kediaman tidak terjual yang keseluruhannya bernilai lebih RM22 bilion.

Melalui konsep FundMyHome, kira-kira 1,000 unit kediaman bernilai bawah RM500,000 akan ditawarkan pada fasa pertama pelancaran, yang mana akan turut menyumbang kepada sasaran kerajaan membina sejuta rumah mampu milik buat rakyat dalam tempoh 10 tahun. Konsep P2P mungkin baharu di negara kita, namun sudah dipraktikkan meluas di China dengan pelbagai masalah dikhabarkan membelenggunya.

Jadi, wajar sekali kerajaan teliti corak pelaksanaan konsep sama di China sebagai panduan merangka mekanisme FundMyHome, supaya impak negatifnya tidak melebar ke negara kita. Jadikan kes di China sebagai panduan apabila ratusan platform P2P ‘bungkus’ hingga impak ditanggung peserta cukup besar, dari segi kewangan dan beban per- undangan.

Kita tidak mahu FundMyHome menjadi hanya satu lagi jenama diwujudkan kerajaan seperti beberapa kerangka penyediaan kemudahan untuk memiliki rumah pertama sedia ada. Justeru, penting untuk kerajaan memastikan golongan sasar FundMyHome adalah tepat, malah ruang untuk spekulator hartanah ‘cucuk jarum’ mencari untung juga wajib ditutup bagi mengelak mekanisme itu disalah guna.

Berita Harian X