Selasa, 11 Disember 2018 | 11:02am

Minda Pengarang: Kembalikan matlamat asal penubuhan MRSM

KERAJAAN dilihat bersungguh-sungguh mahu mengembalikan matlamat asal penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) apabila menetapkan kuota khusus kemasukan pada sesi 2019 untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Bukan sekadar menetapkan kuota, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar, komited memastikan sasaran 65 peratus kemasukan pelajar dari keluarga kumpulan B40 itu mesti dipenuhi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, turut menegaskan pihaknya sudah mengenal pasti beberapa punca menyebabkan pelajar daripada keluarga B40 memilih untuk tidak memasuki MRSM, biarpun memiliki dan melepasi kelayakan ditetapkan. Kerajaan menerusi MARA kini dalam usaha untuk menanganinya. Berdasarkan rekod kuota maksimum pengambilan pelajar baharu untuk 54 MRSM di seluruh negara tahun depan adalah 7,760 iaitu bagi kemasukan ke Tingkatan Satu, manakala 2,245 tempat lagi untuk Tingkatan Empat.

Isu penetapan kuota khusus untuk kumpulan B40 sebenarnya bukan baharu. Sebaliknya, kemelut ini sudah acap kali dibangkitkan, termasuk ketika era pentadbiran kerajaan terdahulu. Polemik timbul apabila MRSM yang mula diperkenal sejak 1972, dilihat semakin dimonopoli golongan elit sehingga menyekat peluang kemasukan pelajar berpendapatan rendah, sedangkan fokus utama penubuhannya untuk membantu masyarakat luar bandar dan miskin.

Perkembangan yang dilihat tidak selari dengan matlamat sebenar penubuhannya itu turut mengundang cadangan kepada penubuhan MRSM berbayar, dengan alasan mengelak persaingan antara pelajar daripada kumpulan B40 dan luar bandar dengan pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) serta golongan berada. Tidak kurang juga syor pengasingan MRSM dibuat mengikut kategori, contohnya untuk golongan berkemampuan, Bumiputera serta bukan Bumiputera.

- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Difahamkan ketika ini kira-kira 45 peratus pelajar yang memasuki MRSM adalah daripada keluarga miskin atau berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, manakala selebihnya golongan pendapatan sederhana atau berada. Penetapan kuota 65 peratus untuk kemasukan ke MRSM ini sebenarnya ada pro dan kontranya.

Tidak dinafikan ia membuka peluang lebih besar kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk memasuki MRSM, namun sudut lain perlu juga diambil kira apabila ada melihat penetapan kuota khusus sehingga 65 peratus itu berisiko, kerana ia menutup hak pelajar cemerlang daripada keluarga berada untuk memasuki MRSM, sedangkan mereka layak.

Justeru, dalam merungkai polemik ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, khususnya MARA perlu meneliti mekanisme bersesuaian dalam soal pengambilan pelajar baharu ke MRSM. Sehingga kini permohonan kemasukan ke MRSM, sama ada ke Tingkatan Satu atau Tingkatan Empat masih dijalankan secara dalam talian.

Kita juga mengharapkan agar satu kaedah saringan permohonan ke MRSM yang lebih berkesan, sama ada mengguna pakai maklumat pendapatan isi rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih sebagai rujukan atau mungkin ada kaedah lain lebih bersesuaian.

Apa yang penting ialah memastikan kuota 65 peratus yang ditetapkan itu betul-betul diisi pelajar daripada kumpulan B40 seperti disasarkan, bukannya ‘dicuri’ oleh golongan elit atau pihak berkepentingan lain yang memiliki lebih banyak peluang untuk menikmati pendidikan terbaik dan adil.

Berita Harian X