Rabu, 27 Februari 2019 | 11:00am
Kelangsungan populasi kelip-kelip juga turut tergugat apabila kawasan semula jadi tepian sungai diusaha atau dilapangkan.
Kelangsungan populasi kelip-kelip juga turut tergugat apabila kawasan semula jadi tepian sungai diusaha atau dilapangkan.

Pulihara habitat, usah biarkan kelip-kelip pupus

AKTIVITI tidak bertanggungjawab pihak tertentu menebang pokok berembang yang menjadi lokasi peragaan cahaya kelip-kelip dewasa di Sungai Sepetang, Kampung Dew amat mengecewakan kerana tindakan sebegini akan memberi kesan negatif terhadap populasi kelip-kelip.

Berdasarkan kepada laporan BH bertajuk ‘Kelip-kelip Kampung Dew terancam’ pada 22 Februari 2019, sekurang-kurangnya 32 pokok berembang ditebang pihak tidak bertanggungjawab. Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 16 Februari lalu, tujuh pokok berusia antara 30 hingga 35 tahun ditebang dan kejadian itu mengejutkan Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-kelip Kampung Dew serta komuniti nelayan di situ.

Tindakan itu pasti mengganggu pelengkapan kitar hidup kelip-kelip yang terdiri daripada peringkat telur, larva, pupa dan dewasa.

Orang ramai lebih mengenali kelip-kelip ketika serangga ini berada pada pokok berembang di tepi sungai. Namun, kawasan lain di sepanjang sungai berkenaan juga amat penting untuk dipulihara bagi memastikan kelestarian populasi kelip-kelip.

Jangka hidup kelip-kelip sebagai telur, larva dan pupa melebihi 80 peratus daripada keseluruhan hayat kelip-kelip. Pada peringkat hidup ini, kelip-kelip sebenarnya menjadikan kawasan tepian sungai sebagai habitat pembiakan dan bukan bergantung kepada pokok berembang sahaja.

Keistimewaan perilaku kelip-kelip dewasa yang berkumpul dalam bilangan besar pada kanopi pokok di tepian sungai, terutama berembang untuk memperagakan cahaya kelipan yang serentak (synchronise), menjadi tarikan pelancong dan pencinta alam.

Selain kehilangan pokok peragaan cahaya, contohnya disebabkan tindakan menebang pokok berembang, kelangsungan populasi kelip-kelip juga turut tergugat apabila kawasan semula jadi tepian sungai diusaha atau dilapangkan.

Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kefahaman mengenai serangga istimewa yang makin diancam konflik manusia dan alam semula jadi ini, pelbagai usaha penyelidikan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Kajian yang dilakukan termasuk mengenal pasti keperluan biologi dan ekologi kelip-kelip, terutama pada peringkat larva iaitu peringkat hidup paling lama bagi seekor kelip-kelip.

Melalui kaedah pemantauan mesra kelip-kelip menggunakan teknik fotografi, FRIM berjaya memantau populasi kelip-kelip di Sungai Selangor sejak 2007.

Pemantauan populasi kelip-kelip di Sungai Selangor, Kuala Selangor untuk jangka panjang dan secara konsisten oleh penyelidik Cawangan Entomologi FRIM selama lebih 10 tahun ini, mendapati kelimpahan populasi kelip-kelip mengalami penurunan.

Data diperoleh daripada program pemantauan ini juga membolehkan FRIM menyalurkan maklumat penting kepada pihak berkepentingan sehingga membolehkan pelbagai aktiviti pemuliharaan dirancang dan dilaksanakan.

Pewartaan Zon Perlindungan

Antara lain ialah pewartaan Zon Perlindungan bagi habitat kelip-kelip Sungai Selangor yang dilaksanakan di Selangor di bawah Enakmen LUAS 1999 (Lembaga Urus Air Selangor) sejak 2009. Pewartaan sebegini adalah antara usaha awal yang penting dan boleh juga dijalankan di Sungai Sepetang, Kampung Dew. Kajian FRIM di Sungai Sepetang, Kampung Dew pada 2014 membolehkan pengenalpastian habitat semula jadi di sepanjang sungai dan sebaran lokasi peragaan kelip-kelip di kawasan sungai berkenaan.

Secara umum, kawasan sepanjang sungai ini masih mempunyai tumbuhan semula jadi yang sesuai untuk telur, larva dan pupa kelip-kelip, antaranya kawasan dirian campuran pinang dan rotan, kawasan dirian pokok ara, kawasan nipah dan kawasan pokok bakau Rhizophora.

Namun, penanaman sawit dan akuakultur juga terdapat di kawasan sekitar berhampiran.

Terkini, pada penghujung Januari 2019, penyelidik Cawangan Entomologi FRIM meninjau kawasan pembiakan kelip-kelip di Sungai Sepetang, Kampung Dew.

Maklumat diperoleh akan dilaporkan dalam Working Plan for the Matang Mangove Forest Reserve 2020-2029. Usaha pemuliharaan seperti penanaman semula kawasan tepian sungai dengan tumbuhan semula jadinya, perlindungan kawasan habitat pembiakan kelip-kelip, penetapan zon penampan sekurang-kurangnya 50 meter dari tebing sungai serta pelaksanaan aktiviti guna tanah yang lestari adalah sebahagian tindakan yang boleh diambil bagi membantu memulihkan populasi kelip-kelip.

FRIM mempunyai kepakaran dalam bidang ini dan sedia memberi khidmat kepakaran serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri dalam usaha memastikan pemuliharaan serta penjagaan secara lestari ekosistem yang menyokong habitat kelip-kelip agar serangga ikonik ini tidak pupus dari muka bumi negara kita yang bertuah ini.

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Berita Harian X