Jumaat, 8 March 2019 | 11:01am
- Foto Hiasan

Galas cabaran 'Seimbang Untuk Sejahtera'

SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA KEBANGSAAN

PERANAN wanita yang membentuk separuh penduduk negara ini, sudah tentu bukan lagi terhad menggalas tugas tradisi menjaga hal ehwal keluarga dan rumah tangga.

Selain pencapaian dalam pendidikan yang mendorong mereka membentuk kerjaya profesional, kebanyakan wanita kini tidak kira apa tahap pendidikan sekalipun berperanan mengukuhkan ekonomi keluarga dan negara.

Apa sahaja bidang kerja yang dulunya sinonim atau dikuasai lelaki tidak kira dalam kolar biru atau putih, kini turut sama disertai wanita. Bukan niat bersaing dengan lelaki, tetapi memenuhi tuntutan untuk mencari rezeki membantu keluarga.

Jangka masa bekerja juga tidak terbatas pada waktu pejabat, membuktikan kemampuan wanita hari ini menyamai lelaki.

Sungguhpun begitu, pembabitan wanita dalam pekerjaan formal tidak pula membebaskan mereka daripada tanggungjawab terhadap keluarga.

Berapa tinggi pangkat di tempat kerja, wanita tetap perlu menjalankan tanggungjawab hakiki sebagai isteri dan ibu.

Di Malaysia sendiri pelbagai dasar dan insentif dibuat kerajaan sebagai pembuka jalan, malah undang-undang diwujud khusus untuk melindungi hak serta kebajikan wanita.

Sesebuah negara tidak akan maju dan berjaya jika peranan wanita dikesampingkan dalam arus pembangunan negara.

Setiap tahun, kerajaan mengadakan sambutan Hari Wanita Kebangsaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada wanita atas sumbangan mereka, selain memberi maklumat dan pengetahuan mengenai peranan wanita yang semakin mencabar.

Bertepatan peranan wanita yang semakin besar, tema sambutan Hari Wanita tahun ini ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ selaras fokus kementerian untuk 2019, yang akan memberikan penekanan kepada usaha dan inisiatif mengarusperdanakan kesaksamaan gender. Sambutan ini sudah tentu memberi makna kepada wanita.

Isu diskriminasi tidak lagi mencengkam wanita hari ini. Integrasi ekonomi, sosial dan politik dunia seiring kemajuan teknologi yang pesat membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara.

Tema menekankan kepentingan kesaksamaan gender dalam pembangunan masyarakat, sekian lama menjadi asas perjuangan gerakan wanita peringkat global dalam kerangka perjuangan hak asasi.

Perjuang hak wanita

Keseimbangan dan kesaksamaan bukan sahaja dalam kerangka perjuangan hak asasi, tetapi untuk kembali kepada prinsip asas yang mengaitkan antara peranan, tanggungjawab dan hak wanita dalam aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam memperjuangkan hak wanita, ia tidak boleh diasingkan dari membicarakan juga peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan agar pendirian terhasil, lebih bersifat pertengahan. Maksudnya tidak terlalu konservatif atau liberal.

Perjuangan membela nasib wanita yang tertindas dan dinafikan haknya, perlu dilihat bukan sahaja dari prinsip kesamarataan atau kesetaraan, tetapi juga dari sudut kesaksamaan yang bermaksud berlaku adil dalam menentukan hak dan tanggungjawab serta meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tidak berlaku sebarang diskriminasi.

Wanita di Malaysia hari ini mencapai banyak kejayaan dan terbabit dalam pembangunan masyarakat, hasil peluang sama rata diberikan pihak untuk menerima pendidikan.

Namun, pembabitan mereka di dalam kerjaya berdasarkan kemampuan dan kemahiran dimiliki, memberi tekanan tinggi dalam diri wanita bagi menyeimbangkan tanggungjawab asas sebagai anak, isteri dan ibu.

Tidak dinafikan situasi ini banyak memberi kesan kepada kesejahteraan institusi keluarga dan mengakibatkan pelbagai masalah sosial dihadapi negara.

Justeru, ia menuntut diwujudkan skim perkhidmatan lebih anjal kaum wanita dan keperluan menyediakan pusat penjagaan anak yang lebih baik ketika wanita itu bekerja.

Ia akan membolehkan wanita terus menyumbang kepada masyarakat dengan produktif tanpa mengabaikan tanggungjawab asas mereka kepada keluarga.

Memberi lebih kemudahan dan sokongan kepada pekerja wanita berbanding lelaki tidak bermaksud diskriminasi. Sebaliknya ia untuk berlaku adil kepada mereka dari sudut peranan dan tanggungjawab.

Ia seperti undang-undang syariah yang menetapkan pembahagian harta pusaka lebih di pihak lelaki, yang juga berkait rapat tanggungjawab yang perlu dipikul lelaki.

Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 hingga 20 tahun lalu.

Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara.

Inilah signifikan tema Sambutan Hari Wanita Kebangsaan itu dipilih.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Univerisiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X