Jumaat, 15 March 2019 | 11:01am

Tarik minat pelajar ambil bidang STEM

Dalam matlamat untuk mencapai status negara maju, Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Terbaru, sasaran itu bukan sahaja jauh daripada mencapai matlamatnya, malah jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan semalam membuktikan penurunan mendadak untuk beberapa mata pelajaran STEM (lihat carta).

Sebagai contoh, bagi subjek berkaitan teknologi atau kejuruteraan, Lembaga Peperiksaan menyatakan seramai 8,854 calon menduduki kertas Lukisan Kejuruteraan pada 2017, merosot dengan ketara pada tahun lalu dengan hanya 1,928 calon mengambil mata pelajaran itu.

Bagi Pengajian Kejuruteraan Mekanikal pula, daripada 617 calon pada 2017, naik sedikit kepada 688 pada 2018, manakala Pengajian Kejuruteraan Awam seramai 681 calon menduduki kertas berkenaan pada 2017, berkurangan kepada 679 tahun lalu.

Untuk mata pelajaran English for Science and Technology, turun mendadak 1,254 calon pada 2017 kepada 799 calon pada 2018.

Penawaran bakat sedikit

Jumlah pelajar dalam aliran STEM yang sangat sedikit ini memberi implikasi kepada universiti dan politeknik atau institusi latihan kemahiran yang bertujuan menghasilkan sumber manusia mahir dan separa mahir seperti jurutera, juruteknik, arkitek, saintis atau penyelidik.

Latihan pelajar STEM sangat berkait rapat dengan pekerjaan baru muncul dan industri digital yang berkembang pesat pada abad ini, tetapi penawaran bakat dalam bidang itu yang terlalu sedikit mengecewakan pembuat dasar.

Akibatnya, penawaran sumber manusia melebihi permintaan dalam bidang sastera dan sains sosial akan menyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi.

Kementerian Pendidikan mengesahkan trend penurunan jumlah pelajar yang mengambil subjek STEM, iaitu 49 peratus pada 2012 kepada 44 peratus tahun lalu.

Menterinya, Dr Maszlee Malik menjelaskan berlaku pengurangan secara purata kira-kira 6,000 pelajar setiap tahun.

Ini menunjukkan 68 sekolah sains di seluruh negara belum mencukupi untuk menyediakan jumlah pelajar STEM bagi mencapai sasaran 60 peratus, berbanding pelajar aliran sastera dan sains sosial.

Dengan pendekatan baharu untuk mengutamakan pelajar daripada keluarga pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) di sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sejumlah besar pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di SBP atau MRSM tahun ini.

Kini, lulusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) terus berada di sekolah menengah harian dan ini membuka peluang baharu kepada sekolah berkenaan untuk menggilap potensi pelajar ini dalam bidang STEM.

Tugas pentadbir sekolah menengah harian sekarang lebih mencabar dengan kehadiran pelajar dari kumpulan isi rumah 40 peratus pendapatan pertengahan (M40) dan 20 peratus pendapatan tertinggi (T20) yang mencatat 6A dalam UPSR atau semua A dalam PT3 di sekolah masing-masing.

Tingkat jumlah pelajar

Pentadbir sekolah menengah harian kini memainkan peranan penting untuk sama-sama membantu SBP dan MRSM meningkatkan jumlah pelajar aliran STEM.

Antara pendekatan yang dicadangkan untuk menarik minat pelajar dalam bidang STEM ialah mengintegrasikan aliran itu dengan pendidikan sastera atau ‘arts’ (STEAM), iaitu menawarkan peluang kepada pelajar untuk belajar secara kreatif.

STEAM mempunyai konsep sama dengan STEM, tetapi menerusi proses pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah secara kreatif.

Inovasi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) ini dilaksanakan di MRSM dan mula membuahkan hasil, iaitu pendekatan STEAM ditambah dengan agama (religion) menjadi STREAM.

Secara amnya, seramai 248,569 calon SPM tahun lalu mendapat lima kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah. Perjalanan mereka bagi meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi baru saja bermula.

Bagi 8,436 calon mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran, harapan di tangan mereka untuk terus cemerlang pada peringkat universiti.

Berita Harian X