Khamis, 21 March 2019 | 11:02am
KAPAL terbang milik Malaysia Airlines. - Foto Hiasan

Malaysia Airlines perlu diberi peluang?

SYARIKAT penerbangan nasional yang kukuh kedudukan kewangannya adalah sesuatu yang ingin kita lihat. Malaysia Airlines Bhd yang menjana keuntungan akan mampu menjana hasil cukai dan menyumbang kepada bajet kerajaan.

Ini pasti mengurangkan beban liabiliti kepada pemegang saham tunggalnya, Khazanah Nasional Bhd, sekali gus meningkatkan keupayaan sayap pelaburan kerajaan itu membayar dividen lebih tinggi kepada kerajaan, yang boleh digunakan untuk membangun negara. Ia juga menyedia peluang pekerjaan serta kerjaya yang kukuh kepada kakitangannya.

Namun, itu tidak berlaku. Khazanah baru-baru ini melaporkan ia terpaksa menanggung pelarasan susut nilai mencecah RM7.3 bilion pada 2017 dan separuh daripadanya bagi memastikan syarikat penerbangan ikonik negara itu terus beroperasi.

Susulan kedudukan kewangan syarikat itu yang lemah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sedang mengkaji sama ada menutup, menjual atau membiaya semula Malaysia Airlines.

Sejak 2002, Malaysia Airlines sudah empat kali melaksanakan proses penyusunan semula. Bermula dengan pelan menyelamat pertama, dikenali sebagai Pemecahan Aset Menyeluruh (WAU) yang diperkenalkan oleh Bina Fikir, sebuah syarikat perunding yang ditubuhkan oleh Tan Sri Azman Mokhtar dan Mohamad Rashdan Yusof.

Pelbagai strategi dilaksana

WAU bagaimanapun dikatakan terlalu menumpukan kepada penstrukturan kewangan dan tidak kepada pengukuhan operasi, sekali gus menyaksikan syarikat itu mencatat kerugian RM1.3 bilion dalam tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan 2005.

Ketika Datuk Seri Idris Jala dilantik mengetuai Malaysia Airlines pada akhir 2005, beliau memperkenal Pelan Pemulihan 1 (BTP1), yang menyaksikan Malaysia Airlines kembali mencatat keuntungan RM900 juta pada 2007.

Beliau kemudian meneruskan dengan Pelan Pemulihan Perniagaan 2 (BTP2). Bagaimanapun, kegawatan global berlaku ekoran krisis subprima Amerika Syarikat (AS). Kenaikan tinggi harga bahan api mula menjejaskan keuntungan syarikat. Kerugian dalam lindung nilai harga bahan api menyaksikan keuntungan susut kepada RM200 juta pada 2008, sebelum meningkat sedikit kepada RM500 juta pada 2009.

Idris yang kemudiannya menyertai PEMANDU, digantikan dengan Datuk Tengku Azmil Zaharuddin Raja Abdul Aziz untuk meneruskan strategi yang digariskan sebelumnya. Pelbagai masalah khususnya kembali muncul dalam Malaysia Airlines seperti dicerminkan dalam kerugian yang dicatat pada 2011 iaitu RM2.5 bilion.

Tengku Azmil meninggalkan Malaysia Airlines pada Ogos dan digantikan oleh Ahmad Jauhari Yahya. Pelantikan itu menimbulkan persoalan kerana beliau dianggap bukan ‘orang industri penerbangan’.

Dalam tempoh itu juga Malaysia Airlines melakukan penukaran saham dengan AirAsia yang menyaksikan Khazanah mengambilalih 10 peratus saham AirAsia dan AirAsia X, manakala Tune Air mengambilalih 20.5 peratus saham Malaysia Airlines.

Namun, urus niaga itu tidak terlaksana susulan bantahan keras kesatuan sekerja Malaysia Airlines.

Selepas menerajui Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari memperkenalkan rancangan pemulihan beliau yang dikenali sebagai strategi muatan aktif, hasil pasif. Ia menumpukan untuk memenuhkan muatan penumpang, meskipun pada harga lebih murah. Pada 2012, ia mencatat kerugian RM400 juta dan meningkat kepada RM1.2 bilion pada 2013.

Pada 2014, Khazanah memperkenalkan satu lagi pelan pemulihan yang menyaksikan Malaysia Airlines dijadikan syarikat persendirian pada akhir 2014. Namun, pelan itu juga berdepan pelbagai kesukaran.

Sejak 2015, bersilih-ganti pucuk pimpinan Malaysia Airlines, termasuk Christoph Mueller yang berkhidmat sehingga April 2016 dan digantikan Peter Bellew yang melepaskan jawatan pada Oktober 2017.

Kerugian berbilion ringgit

Dalam tempoh itu juga, Malaysia Airlines melaporkan kerugian berbilion ringgit susulan peningkatan kos bahan api berikutan kelemahan nilai mata wang tempatan. Pemerhati pasaran berpendapat, daya maju Malaysia Airlines perlu digariskan dengan lebih jelas, memandangkan beberapa langkah menyelamat sebelum ini gagal.

“Adakah ia wajar untuk terus dikekalkan selepas pelbagai percubaan menyelamat gagal? Atau mungkin kerajaan memang perlu pertimbangkan pilihan yang lebih drastik termasuk menutupnya,” kata Ahli Ekonomi Yeah Kim Leng.

“Bagaimanapun perlu juga dilihat dari sudut ia memiliki ramai pekerja, jadi mungkin kerajaan juga wajar menimbang pilihan yang membolehkan ia diambilalih atau penggabungan dengan syarikat penerbangan lebih kukuh seperti seperti AirAsia.

Ia akan mewujudkan syarikat penerbangan lebih besar yang boleh bersaing pada peringkat global,” katanya.

Kim Leng memberi contoh penyertaan rakan strategik Geely dalam pengeluar kereta nasional, PROTON Holdings Bhd.

Sementara itu, Hong Leong IB Research (HLIB) juga berpendapat, adalah wajar mencari rakan kongsi strategik berbanding menutup operasi Malaysia Airlines.

“Kami berasakan adalah bijak bagi kerajaan jika menjual pegangan dalam Malaysia Airlines kepada rakan strategik dan bukan menutupnya. Ia akan menyelesaikan masalah aliran tunai keluar kerajaan sambil mengurangkan kesan ke atas pemberhentian pekerja kerana entiti pengambilalihan masih memerlukan tenaga kerja untuk menjalankan operasi Malaysia Airlines,” katanya.

Berita Harian X