Ahad, 24 March 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

El Nino Modoki, ekuinoks punca cuaca panas

CUACA panas dan kering, kebakaran hutan dan udara berjerebu dengan kualiti udara tidak sihat, menjadikan keadaan cukup tidak selesa dan mengganggu kelangsungan kegiatan harian dan juga kesihatan penduduk. Begitulah lumrahnya, cuaca dan iklim menjadi faktor yang begitu penting dalam mencorakkan keadaan persekitaran yang selesa untuk kehidupan manusia dan flora fauna yang ada di muka bumi ini.

Saya berpeluang mengulas keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak Februari lalu dalam rencana ‘Gelombang Haba Fenomena Berulang’ yang disiarkan akhbar ini pada 27 Februari lalu berdasarkan hasil penyelidikan saya dan kumpulan di UKM.

Fenomena sebegini adalah fenomena semula jadi yang berulang sebagai sebahagian keragaman iklim dunia. Malah, cuaca panas ini bukan hanya di Malaysia, tetapi berskala rantauan dan global. Di bahagian selatan Filipina misalnya, keadaan kering lebih ketara, berbanding di Malaysia pada ketika ini.

Dalam rencana sebelum ini saya mengulas keadaan cuaca kering dan panas pada ketika itu dijangka berterusan ke Mac atau April dan ia disebabkan pengaruh bertindan beberapa fenomena terutama El Nino Modoki, Ayunan Madden-Julian dan peningkatan keamatan pancaran matahari semakin menghampiri fenomena ekuinoks.

Semua adalah fenomena semula jadi tetapi berlaku pada skala masa yang berbeza. El Nino berlaku sekali dalam kitaran tiga hingga lima tahun, manakala fenomena Ayunan Madden-Julian pula sekali dalam 20-60 hari. Ekuinoks berlaku dua kali setahun iaitu sekitar 20 Mac dan 23 September. Tetapi jika fenomena ini berlaku secara serentak, kesannya bertindan atau bergabung dan menjadi lebih kuat.

Halang pembentukan awan

Sebelum rencana ini ditulis, Malaysia dan Indonesia didominasi oleh pusat ‘perolakan terhalang’ Ayunan Madden-Julian dan keadaan ini bersama dengan pengaruh El Nino Modoki, menghalang pembentukan awan, hujan dan menjadikan cuaca panas dan kering.

Bagaimanapun, seperti yang diramalkan sekitar penghujung minggu pertama bulan Mac, pusat ‘perolakan terhalang’ Ayunan Madden-Julian yang mendominasi kawasan Malaysia dan Indonesia pada ketika itu bergerak ke timur dan digantikan oleh pusat ‘perolakan meningkat’.

Keadaan ini membawa kelembapan dan hujan, terutama di kawasan selatan Semenanjung Malaysia dan menurunkan suhu pada ketika itu. Bagaimanapun, pengaruh Ayunan Madden-Julian berubah dengan cepat dan pada ketika ini, ayunan ini berada dalam fasa tidak aktif.

Faktor utama menyumbang kepada peningkatan suhu pada ketika ini didominasi oleh pengaruh El Nino Modoki dan juga pancaran matahari yang meningkat akibat fenomena ekuinoks. Bagaimanapun, gelombang cuaca panas dan kering ini dijangka akan berakhir dalam seminggu atau lebih lagi apabila kita memasuki musim perantaraan monsun pada April yang biasanya dicirikan dengan perolakan tempatan, ribut petir dan hujan di sebelah petang dan lewat petang, terutama di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia.

Di utara Semenanjung dan Sabah, kesan El Nino Modoki masih boleh dirasai pada April walaupun dijangka menurun. Sebagai sebahagian keragaman iklim, fenomena gelombang haba dan cuaca kering ini pasti akan berulang. Bagaimanapun, perubahan iklim dijangka menjadikan fenomena sebegini menjadi kuat dan kerap pada dekad akan datang jika dunia gagal mengehadkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dan gagal mengekang pemanasan global di bawah 2.0oC.

Malah, menurut hasil penyelidikan CORDEX Southeast Asia, sebuah projek pemodelan dan unjuran iklim rantauan di Asia Tenggara yang saya sendiri ketuai membabitkan 14 negara dan juga sebuah projek di bawah naugan Pertubuhan Meteorologi Sedunia, suhu purata di rantau Asia Tenggara dan juga di Malaysia diunjurkan meningkat 2.0oC pada pertengahan abad dan 4.5 – 5.0oC pada penghujung abad ke-21 jika trend pembebasan gas rumah hijau kini berterusan dan perubahan iklim tidak ditangani.

Kawasan Indonesia dan Malaysia diunjurkan mengalami keadaan kemarau setiap tahun terutama dari Jun hingga Oktober. Ini bermakna cuaca panas dan kering tidak lagi berlaku sekali dalam beberapa tahun tetapi setiap tahun pada bulan berkenaan.

Kekuatan kemarau disebabkan perubahan iklim ini adalah setara dengan atau lebih kuat berbanding dengan kemarau dan cuaca panas yang berlaku ketika fenomena El Nino ekstrim 1997/1998 dan El Nino 2015/2016.

Gabungan impak El Nino

Malah, lebih teruk lagi jika pada ketika itu, El Nino juga berlaku dan boleh menyebabkan gabungan impak El Nino dan perubahan iklim akibat aktiviti manusia yang akan meningkatkan intensiti gelombang haba dan kemarau ke tahap yang belum pernah kita alami.

Berkemungkinan iklim dunia di masa hadapan tidak akan menuju kepada keadaan senario malap seperti digambarkan, memandangkan usaha dunia sedang berjalan melalui Perjanjian Paris yang bertujuan untuk menurunkan pembebasan gas rumah hijau dan mengekang pemanasan global di bawah 2.0oC.

Bagaimanapun, ada beberapa kajian terkini yang menganggarkan kebarangkalian untuk dunia berjaya mengekang suhu di bawah 2.0oC hanyalah lima peratus. Malah, komitmen hambar Amerika Syarikat terhadap Perjanjian Paris pasti akan menyukarkan lagi keadaan.

Senario iklim masa hadapan yang malap dengan peningkatan suhu 4.5 – 5.0oC dan kemarau teruk setiap tahun di Malaysia dan Indonesia harus diberi perhatian serius oleh pembuat dasar dalam menangani isu perubahan iklim.

Generasi masa hadapan akan berdepan dengan keadaan lebih getir jika dunia gagal menurunkan pembebasan gas rumah hijau dan mengehadkan suhu purata dunia di bawah 2.0oC berbanding suhu era praperindustrian Eropah.

Penulis adalah Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi UKM

Berita Harian X