Jumaat, 12 April 2019 | 11:01am
GAMBAR fail, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram (dua kiri) dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin (dua kanan) dan R. Malar (kanan) pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan pda 30 Mac lalu. - Foto ADzlan Sidek

Tok Mat tertekan, Dr Streram ada peluang

Esok, 20,472 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan membuat keputusan siapakah yang akan mereka pilih untuk menjadi wakil rakyat kawasan itu selepas status kerusi DUN itu berdepan proses perundangan yang menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

Empat calon yang berentap ialah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan mewakili Barisan Nasional (BN), pakar bius, Dr S Streram (PKR) dan dua calon Bebas, R Malarvizhi serta Mohd Nor Yassin.

Banyak ramalan mengatakan, Mohamad atau Tok Mat mempunyai kelebihan mempertahankan kerusi itu jika dilihat kepada sejarah dan legasi BN memerintah negara, khususnya di Negeri Sembilan. Tiga penggal menjadi wakil rakyat di DUN Rantau dan turut memikul jawatan nombor satu negeri dilihat menjadi kelebihan kepada Tok Mat berbanding calon lain yang bertanding, termasuk Dr Streram yang menjadi seterunya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Namun, mampukah Tok Mat, 63, meneruskan kesinambungan legasi BN di DUN Rantau dan memastikan sokongan pengundi terus memihak kepadanya memandangkan BN kini tidak lagi menjadi kerajaan, sama ada di Negeri Sembilan atau peringkat Pusat.

Hakikatnya, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN kini berada di blok pembangkang. Walaupun ada pengundi yang masih menyangka Tok Mat Menteri Besar, mampukah beliau mendapat sokongan pengundi Melayu untuk terus berdamping dengannya.

Ambil kira status BN

Status BN dan UMNO sebagai pembangkang sudah tentu akan diambil kira oleh pengundi yang berfikiran praktikal serta kritikal terhadap masa depan Rantau. Sudah tentu mereka akan tertanya-tanya, apa yang mampu dibawa UMNO dan BN di DUN jika mereka adalah pembangkang.

Mereka yang kritikal pasti akan mengutamakan aspek pembangunan, kemakmuran dan kemajuan kawasan Rantau dalam jangka panjang. Adakah kelompok pengundi ini sanggup menerima fungsi pembangkang hanya akan menjadi pihak ‘semak dan imbang’ yang kuat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimana pula aspek pembangunan masa depan Rantau jika terus dikuasai pembangkang walaupun calonnya adalah bekas Menteri Besar selama tiga penggal yang diketahui membawa banyak transformasi di Negeri Sembilan.

Memang BN dan Tok Mat banyak berjasa kepada DUN Rantau dan Negeri Sembilan, tetapi melihat kepada ‘kekurangan’ dihadapi BN, memang tekanan sebenarnya lebih dirasai dan perlu dihadapi oleh Tok Mat.

Berdasarkan jumlah pengundi diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada 20,472, 51 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi India menjadi kelompok kedua terbesar di DUN Rantau yang mewakili 27 peratus diikuti pengundi Cina sebanyak 18 peratus.

Memetik ucapan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Nasution Ismail dalam ceramahnya yang mengakui sumbangan dan jasa dicurahkan Tok Mat dan BN di Rantau dan Negeri Sembilan, tetapi beliau mahu pengundi ‘merehatkan’ Tok Mat buat sementara waktu daripada menjadi wakil rakyat Rantau supaya Timbalan Presiden UMNO itu dapat mengurus dan memperkuatkan UMNO.

Berbeza dengan calon PH dari PKR, Dr Streram, beliau adalah calon mewakili parti kerajaan. Walaupun disifatkan sebagai ‘orang merantau’ di Rantau, beliau memiliki banyak kelebihan dan peluang lebih cerah menjadi the giant killer di DUN ini.

Lebih beruntung, kempen beliau setiap malam dibantu dan disokong pemimpin PKR dan PH. terutama Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar boleh dikatakan tidak pernah culas turun ke Rantau untuk berkempen bagi pihak Dr Streram.

Dibayangi aura Anwar

Boleh dikatakan, gerak kerja dan kempen Dr Streram, 60, lebih dibayangi aura Anwar yang ‘rajin’ turun ke seluruh pelosok Rantau, khususnya di kawasan majoriti penduduk kaum India dan pengundi dikenal pasti sebagai golongan atas pagar.

Secara tidak langsung senario ini pasti mempengaruhi pendirian pengundi kaum India untuk menyokong pakar bius itu. Dr Streram dipromosi sebagai calon reformasi PH yang akan membawa perubahan kepada DUN Rantau kerana mewakili parti kerajaan.

Kata Anwar, sebagai calon kerajaan, jika Dr Streram memenangi PRK ini, Kerajaan PH akan dapat membawa lebih banyak kemajuan dan manfaat kepada kawasan serta penduduk Rantau. Streram juga mendakwa sokongan pengundi Melayu kepada PH kini semakin meningkat, ketika hari mengundi yang kian hampir dan menyifatkan pengundi Melayu sebagai pengundi senyap yang menyokong dirinya dan PH.

Dr Streram juga sebenarnya sudah mendapat undi selamat daripada majoriti pengundi Cina yang berpusat di pekan Rantau. Dalam tinjauan rambang dilakukan sepanjang tempoh berkempen, pengundi Cina dilihat tidak ambil pusing siapa calon yang PH pertaruhkan dalam PRK ini kerana yang penting bagi mereka ialah menyokong PH sebagai kerajaan memerintah.

Bagi dua calon Bebas Malarvizhi dan Mohd Nor kedua-duanya boleh dikatakan sudah tewas sebelum bertanding. Pertembungan sebenar dalam PRK DUN Rantau esok adalah di antara Tok Mat dan Anwar serta PKR, yang calonnya adalah Dr Streram.

Berita Harian X