Selasa, 16 April 2019 | 11:01am
Konsert siri jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza di Axiata Arena di Bukit Jalil, Mac lalu. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Konsert siri jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza di Axiata Arena di Bukit Jalil, Mac lalu. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Konsert siri jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza di Axiata Arena di Bukit Jalil, Mac lalu. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Konsert siri jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza di Axiata Arena di Bukit Jalil, Mac lalu. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Legasi magis 23 tahun Siti Nurhaliza

PADA 1 April lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin meraikan ulang tahun ke-23 dalam industri muzik. Mula menawan hati peminat sejak menyertai Bintang HMI ketika usia 16 tahun pada 1995, dua dekad berlalu, pencapaian Siti cukup membanggakan sehingga bergelar ‘penyanyi nombor satu negara’.

Ketika artis seangkatan datang dan pergi, keampuhan Siti tidak pernah tergugat. Malah, penyanyi tersohor negara ini bukan sahaja diangkat peminat sezamannya, malah pemuja generasi baharu terkesima menantikan kemunculan Siti dalam apa sahaja acara, lebih-lebih lagi setiap kali terbitnya album baharu.

Andai Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menempa nama sebagai penghibur nasional selama 16 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1992, Siti yang genap 40 tahun, Januari lalu, pasti ada kelebihan untuk terus aktif dan lebih penting, relevan dengan perubahan semasa.

Antara momen penting meraikan karier lebih dua dekad, pada 16 Mac lalu, sempurnalah hajat Siti mementaskan konsert siri jelajah di tiga kota besar, yang dilihat cukup signifikan dalam evolusi karier bintang kesayangan ramai ini. Axiata Arena di Bukit Jalil, menjadi lokasi terakhir selepas bertandang di Jakarta, Indonesia pada 21 Februari lalu, disusuli Singapura pada 2 Mac.

Ciri ketimuran wanita Asia

Mengikuti perkembangan karier Siti sejak menghasilkan album sulung pada 1996, besar harapan penulis untuk menyaksikan persembahan ibu kepada Siti Aafiyah Khalid ini. Enggan membandingkan dengan konsert yang pernah dipentaskan, penulis datang dengan minda terbuka, selain teruja menyaksikan apa agaknya ‘magis’ yang mahu dipersembahkan Siti.

Maklumlah, dari aspek teknikal, pasti banyak perincian ‘state of the art’ yang mahu ditonjolkan persis produksi antarabangsa. Apatah lagi, kumpulan teknikal tentunya disokong anak muda yang pakar dalam bidang produksi dengan teknik dan sistem kejuruteraan canggih untuk penyanyi tersohor ini.

Tambahan pula, penganjur, Shiraz Projects, membelanjakan wang yang banyak bagi merealisasikan konsert berskala besar di tiga negara. Ini termasuk cadangan membawa Siti kembali ke Royal Albert Hall di London, United Kingdom (UK) biarpun mengikut perkembangan terkini, ia belum dapat dimuktamadkan. Dengan semua jangkaan besar ini, sudah tentu peminat mengharapkan segala yang hebat dalam konsert ini, termasuk vision yang mahu dikongsi ratu vokal ini.

Gah mencipta reputasi sendiri, kita sedar, Siti yang lambat-laun layak berstatus legenda mengambil kira pencapaian dan sumbangan besarnya dalam dunia muzik, adalah penyanyi Melayu. Siti meletakkan dirinya sebagai antara vokalis wanita Melayu unggul, menjaga nilai dan ciri-ciri ketimuran wanita Asia.

Sikap dan pendekatan Siti ini cukup konsisten dan tidak pernah berubah. Ramai masih ingat bagaimana ketika mula menyanyi, Siti mengemukakan permintaan khas kepada media yang mana beliau enggan bergambar dengan artis lelaki - suatu syarat tidak pernah disuarakan mana-mana artis wanita pada era itu.

Jadi, usahlah dibangkitkan persoalan mengapa Siti tidak ‘terbang’ lebih jauh, umpamanya menempa nama di Amerika Syarikat (AS) kerana sudah jelas, dari awal lagi, Siti selesa ‘bermain’ di gelanggang sendiri. Hakikatnya, jika namanya harum sekalipun di tanah asing, itulah ciri Siti yang mahu diangkat. Jadi, usahlah berangan mahu Siti menjadi mendiang Whitney Houston atau penyanyi kegemarannya, Celine Dion.

Dalam kelas tersendiri

Membuka tirai konsert dengan seleksi irama Malaysia, ramai memuji kesanggupan Siti mencari kelainan biarpun mungkin berdepan risiko kerana bukan calang-calang penyanyi mampu melakukannya. Dengan pilihan lagu yang rata-ratanya sukar dialunkan, apatah lagi terpaksa menari dan tampil dalam persembahan gah, Siti kekal dalam kelas tersendiri.

Ini disusuli beberapa segmen lain yang rata-rata tidak sukar untuk mengiyakan reputasi Siti sebagai vokalis terbaik negara.

Namun, dalam satu segmen, keputusan menyanyikan beberapa lagu balada hit yang dianggap ikonik dalam karier Siti secara medley, mengundang rasa kecewa. Mungkin Siti ada alasan tersendiri berbuat demikian atau menganggap lagu terbabit pernah didendang dalam konsert terdahulu.

Lebih dua jam berlalu, Siti tampil seperti dirinya yang selalu kita saksikan. Di sini, timbul persoalan, apakah mungkin sudah menjadi ‘rutin’ atau mengapa perlu mengambil risiko sedangkan apa yang dipersembahkan sudah menggegarkan seluruh stadium?

Namun, melangkah ke hadapan, mungkin ada baiknya, Siti cuba keluar dari zon selesa dengan tampil dalam suatu persembahan spectacular sesuai dengan reputasi dan legasi yang sudah dibina.

Penulis adalah Pengarang Berita Hiburan BH

Berita Harian X