Isnin, 22 April 2019 | 11:01am
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub melihat model bangunan pada majlis pecah tanah Agro Mall FAMA. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub melihat model bangunan pada majlis pecah tanah Agro Mall FAMA. - Foto BERNAMA

Agro Mall FAMA penuhi kehendak IR 4.0

Dalam ramai mengeluh dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ia sama sekali tidak dipandang sepi oleh kepemimpinan kerajaan. Pelbagai usaha dipergiatkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos barang keperluan harian dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan sempurna, walaupun bergaji kecil.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sinonim di hati rakyat, menjalankan pelbagai inisiatif bukan sahaja membantu menangani kos sara hidup rakyat malah golongan peniaga kecil tempatan yang bernaung di bawahnya.

Inisiatif seperti Pasar Tani, Agrobazar dan Pasar Komuniti sudah semestinya diketahui umum membantu golongan pekebun dan peniaga tempatan memasarkan produk masing-masing.

Terbaharu, FAMA membina kompleks beli-belah canggih bersepadu di Puchong, Selangor dan pastinya memberikan suasana beli belah yang menjadi idaman masyarakat di negara ini.

Agro Mall FAMA berkonsepkan moden dan memiliki reka bentuk canggih bakal memberi tumpuan kepada produk agro makanan serta produk berasaskan industri asas tani.

Infrastruktur lengkap pelbagai kemudahan

Pusat beli-belah bernilai RM8 juta itu dibangunkan di atas tapak seluas 1.21 hektar dan dijangka siap pada 2020. Ia bakal menempatkan lot jualan produk agromakanan, selain tempat pameran bagi produk industri asas tani serta dilengkapi kemudahan bilik sejuk, tandas, surau dan ruang parkir.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, dalam ucapan pada majlis pecah tanah projek berkenaan berkata, Agro Mall itu akan menjadi saluran alternatif dengan kewujudan outlet runcit bertaraf premium yang menjual produk keluaran usahawan tempatan.

“Pada masa ini dianggarkan lebih 1,500 unit simpanan stok (SKU) produk dikeluarkan oleh usahawan asas tani, namun pengguna sukar mendapatkannya di pasaran.

“Adalah dijangkakan seramai 250 usahawan asas tani akan mendapat faedah daripada pembangunan Agro Mall ini dengan sasaran jualan RM18 juta setahun,” katanya.

Selain jangkaan jualan, beliau turut menyasarkan pembinaan pusat beli-belah terbabit berupaya meningkatkan pendapatan usahawan sebanyak 30 peratus dengan penjimatan antara lima hingga 20 peratus kepada pengguna.

“Dijangkakan dengan andaian nilai belian sebanyak RM50 seorang seminggu, pengunjung akan dapat menjimatkan RM14.40 setiap kali berbelanja bagi barangan yang sama.

Nilai penjimatan yang besar

“Jika 5,000 pelanggan berkunjung ke Agro Mall dalam seminggu, nilai penjimatan setahun adalah sebanyak RM3.4 juta,” katanya.

Agro Mall FAMA itu akan beroperasi secara harian dan memberi fokus kepada produk asas tani, manakala produk segar akan diniagakan di lot sedia ada.

Lebih membanggakan, Pengerusi FAMA, Ishak Ismail menyifatkan Agro Mall FAMA itu bakal memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Aktiviti jualan bukan sahaja dijalankan secara runcit dan borong, malah boleh diniagakan secara atas talian.

Sudah pasti dengan penerapan teknologi mampu menarik lebih ramai golongan muda terutama dalam kalangan siswazah menceburi perniagaan berasaskan pertanian, sekali gus berupaya meningkatkan stok makanan negara.

Justeru, pembangunan projek terbabit akan menjadi pemangkin dalam pembangunan sistem pemasaran, pengedaran dan logistik yang cekap serta berkesan seterusnya mempromosi industri agromakanan sebagai satu perniagaan yang menguntungkan.

Berita Harian X