Khamis, 25 April 2019 | 11:00am
Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa tiga lelaki termasuk dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Georgetown, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. - Foto Danial Saad
Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa tiga lelaki termasuk dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Georgetown, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. - Foto Danial Saad

Integriti penguat kuasa benteng rasuah

Berapa ramai lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan dan ditahan bagi membantu siasatan kes melindungi pemandu lori yang hangat diperkatakan kini, tidak dapat dipastikan.

Setakat ini, kira-kira 67 anggota jabatan itu sudah diambil keterangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan Ops Sarat. Nampak berat kes kali ini, begitu ramai kakitangan terbabit, umpama barah yang menyerang secara senyap, begitulah yang berlaku dalam JPJ Pulau Pinang.

Timbul tanda tanya, sudah berapa lama perbuatan tidak amanah ini berlarutan. Selepas SPRM membongkar kes itu, kita semakin faham mengapa sesetengah pemandu lori begitu berani melanggar pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan lebih muatan.

Sebelum kes JPJ Pulau Pinang ini ‘meletup’, ketika penulis sedang minum di sebuah restoran beberapa minggu lalu, kebetulan dua pemandu lori yang duduk bersebelahan meja asyik berbual mengenai operasi JPJ. Bukan mahu mencuri dengar, tetapi disebabkan jarak meja terlalu hampir, butir perbualan mereka menceritakan kisah pekerjaan mereka dan operasi JPJ, cukup jelas hinggap di cuping telinga penulis.

Paling digeruni pemandu

Seorang daripada mereka berkata; “Kalau kes lebih muatan, aku sanggup letak dan tinggal lori tepi jalan. Jika tak ada pemandu, JPJ hanya saman lori (syarikat)”.

Begitulah ‘takutnya’ si pemandu lori tadi kerana katanya dia tidak mahu dikenakan kerana tindakan ke atas dirinya boleh menjejaskan pekerjaan selaku pemandu lori.

Jadi, apabila SPRM mendedahkan komplot kakitangan JPJ melindungi pemandu lori, maka tidak sukar bagi penulis untuk memahami isu yang berlaku kerana kesalahan membawa lebih muatan ini antara kesalahan paling digeruni pemandu dan syarikat pengangkutan.

Justeru, pihak syarikat lori ligat mencari jalan untuk memastikan tindakan mereka mengisi muatan lori hingga ada kalanya kelihatan seperti sudah mahu melimpah atau jatuh ke jalan, dan jalan paling mudah ia dibereskan dengan ‘kuasa wang’ untuk ‘membeli’ kumpulan penguat kuasa, amanah dan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atau membocorkan maklumat operasi.

Apabila ada sikap sebegini, laporan dan aduan dibuat orang ramai kepada pihak berkuasa pun tidak lagi berguna kerana beranggapan aduan hanya sia-sia atau akan ‘dibakul sampahkan’. Jika ada tindakan pun tidak sampai ke mana, sekadar melepaskan batok di tangga kerana si pelaku atau pesalah ‘kebal’ atau dalam loghat utara dikatakan ‘tak lut’ terhadap sebarang tindakan.

Bukan sahaja JPJ, pihak lain terbabit dalam penguatkuasaan juga berdepan isu sama. Umpamanya, penulis sendiri pernah menyertai pasukan siasatan diketuai pihak SPRM berhubung penguatkuasaan kes pembalakan haram di sebuah negeri di utara Semenanjung, beberapa tahun lalu.

Cara profesionalisme berbeza

Berdasarkan pengamatan penulis sikap ditunjukkan antara pasukan siasatan SPRM dan Jabatan Perhutanan, cukup berbeza. Pegawai SPRM lebih proaktif mencari bukti kegiatan ‘lanun rimba’ dengan kesungguhan ketua penyiasat SPRM yang bertegas mahu menuruni denai demi denai dan meredah hutan hingga mengesan tunggul pokok atau batang balak yang ditebang secara haram.

Begitu juga dengan penemuan ‘kubur balak’, iaitu batang balak yang ditimbus dengan tanah merah, bagi menyembunyikan bukti selepas pihak konsesi tahu pihak SPRM akan masuk untuk membuat siasatan di kawasan kerja mereka, juga ditemui pihak SPRM berdasarkan aduan sumber.

Renjer perhutanan yang menyertai pasukan siasatan itu sepatutnya bersikap lebih proaktif dan lebih pantas mencari bukti berkenaan kerana ia tugas hakiki mereka. Malah, sepatutnya mereka lebih awal mengesan bukti tanpa perlu menunggu sehingga pihak SPRM memulakan siasatan.

Pengalaman itu memberikan kefahaman cukup jelas bagaimana kesungguhan dan cara kerja antara dua pihak berkenaan. Mungkin ada yang akan marahkan penulis kerana menceritakan perkara ini, namun ini adalah pengalaman dikutip di depan mata.

Akhir kalam, hukuman keras dan menggerunkan semata-mata bukan benteng dalam menangani isu seperti ini. Ia perlu disusuli sikap dalam diri penguat kuasa untuk tidak menggadai atau menjual amanah dan tanggungjawab tergalas di bahu mereka. Seandainya jiwa penguat kuasa cukup kental menangkis ‘kuasa wang’, maka isu integriti mereka tidak akan dipertikaikan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X