Selasa, 7 Mei 2019 | 11:01am

Segerakan Akta Pembaziran Makanan

AKTA Pembaziran Makanan bagi mengawal selia dan menangani tabiat rakyat yang suka membazir seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada Disember lalu, wajar digubal secepat mungkin.

Masalah pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat negara kita perlu diberi perhatian serius, sebelum sifat membazir semakin sebati dalam diri setiap individu, termasuk generasi muda.

Secara purata rakyat Malaysia membuang satu kilogram makanan sehari dan jumlah itu bertambah pada musim perayaan.

SWCorp, selaku syarikat pengurusan sisa pepejal dilantik kerajaan pernah merekodkan 615,000 tan makanan dibazirkan selepas majlis berbuka tamat.

Suka atau tidak, rakyat negara ini perlu buka mata, hati dan minda melihat isu pembaziran makanan, yang terbukti mengundang banyak impak negatif kepada pembangunan sosioekonomi keseluruhan masyarakat dan perjalanan mencapai status negara maju.

Berbalik kepada akta, melalui dasar dan peraturan diperkenal, kerajaan dapat mewujudkan satu ketetapan mengenai usaha menangani pembaziran makanan. Ia diibaratkan seperti ‘duri dalam daging’ kerana jumlah pembaziran makanan meningkat setiap kali menjelang musim perayaan.

Permudah penguatkuasaan

Apabila ia diwartakan, mudah bagi kerajaan menerusi kementerian dipertanggungjawabkan untuk melakukan penguatkuasaan.

Sebagai contoh, pegawai penguat kuasa boleh memantau pengunjung restoran dan hotel yang melakukan pembaziran, sebelum disusuli amaran dan denda jika perbuatan itu masih berterusan.

Penguatkuasaan juga boleh diperluaskan kepada restoran dan hotel, dengan mengenakan caj bayaran kepada pengunjung yang mengambil makanan berlebihan.

Bagi hidangan bufet contohnya, pengunjung mengambil pelbagai jenis makanan dalam kuantiti banyak, namun tidak habis dimakan. Maka mereka perlu dikenakan bayaran tertentu, sebagai hukuman dan peringatan supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Hal sama dalam pembaziran ketika perayaan atau kenduri perkahwinan.

Bagi orang Islam, perbuatan membazir dianggap amalan syaitan, jadi tidak sepatutnya tabiat buruk itu menjadi amalan seharian.

Ramai beranggapan cadangan mengenakan denda kepada pelanggan hotel dan restoran yang membazir makanan, antara usaha awal kerajaan memupuk dan mendidik rakyat negara ini memiliki minda kelas pertama supaya tidak membazir dan menghargai makanan.

Kekang pembaziran

Namun, kerjasama semua pihak berkaitan, termasuk pemilik restoran, hotel, persatuan pengusaha restoran serta persatuan pengguna dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, perlu untuk mendidik masyarakat supaya tidak membazir.

Tanpa kerjasama sedemikian akta yang bertujuan mengawal pembaziran makanan pasti tidak dapat mencapai sasarannya.

Ramadan sebagai contoh, sepatutnya bulan bagi umat Islam mengekang hawa nafsu dan selera, tetapi ketika inilah pembaziran dan sikap berlebih-lebihan seolah-olah menjadi kebiasaan. Ramai berbelanja besar untuk aneka juadah berbuka puasa atau menempah hidangan bufet melebihi bulan lain.

Islam menolak sebarang bentuk pembaziran sebegini, malah ia adalah suatu perbuatan yang tercela. Justeru, Akta Pembaziran Makanan bertepatan bagi membendung perkara itu.

Sebagai umat Islam, kita diminta memberi tumpuan utama kepada ibadah Ramadan, bersederhana ketika berbelanja dan mengelak sebarang pembaziran yang turut memberi kesan terhadap alam sekitar.

Makanan berlebihan yang masih boleh dimakan, tetapi dibuang begitu sahaja, turut menyebabkan pencemaran bau dan udara.

Dalam hal ini, skop Akta Pembaziran Makanan boleh juga digunakan bagi pengurusan lebihan makanan supaya ia dapat diagihkan kepada kumpulan sasar. Ini termasuk golongan berpendapatan rendah, pelajar institusi pengajian tinggi dan gelandangan, golongan asnaf, ibu tunggal atau pusat pengajian tahfiz.

Penubuhan bank makanan juga boleh diperluas dengan syarat dan peraturan berkaitan produk makanan yang hendak diserahkan diperhalusi, agar tidak timbul masalah berbangkit seperti kualiti dan tahap kesegaran bahan makanan, tarikh luput dan isu berkaitan kesihatan.

Program Food Bank Malaysia dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu diperluaskan ke seluruh negeri dan semua pihak wajar memanfaatkan program itu untuk membantu golongan memerlukan sejajar dengan masyarakat minda kelas pertama.

Perancis boleh dijadikan contoh dalam pembangunan dasar mengurangkan pembaziran makanan dengan pasar raya digalak menyerahkan produk makanan sama ada segar atau produk proses kepada bank makanan.

Paling menarik, serahan berkenaan akan dinilai dan diberi pengecualian cukai. Berbeza di Denmark, pembabitan secara sukarela amat digalakkan kerajaan, sekali gus tertubuhnya bank makanan bagi menampung keperluan harian yang didermakan pelbagai pihak.

Berita Harian X