Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:01am
- Foto Hiasan

Alumni dinanti kembali berbakti

SELEPAS setengah jam menunggu, akhirnya muncul seorang bekas pelajar sebuah fakulti untuk mencukupkan kuorum 18 orang bagi memulakan mesyuarat agung alumni di tingkat 13, sebuah universiti awam di Selangor, baru-baru ini.

Sebelum itu, presiden dan setiausaha alumni kelihatan resah kerana bimbang. Apa tidaknya, kegagalan mengadakan mesyuarat boleh menyebabkan persatuan itu terbatal ketika ia baru berusia dua tahun.

Dekan fakulti pula menanti dengan penuh sabar dalam sebuah kelas yang penuh nostalgia untuk merasmikan mesyuarat alumni. Ketika menunggu, beliau sempat bercerita mengenai kegemarannya mengayuh basikal dengan jarak sederhana bagi mengekalkan kesihatan yang baik menerusi gaya hidup sihat. Saya kagum dengan minat dan kesungguhannya berkayuh yang dikongsi bersama kawan menerusi laman sosial, Facebook.

Beliau bagaimanapun sesekali melepaskan rasa kecewa apabila berkata: “Kalau ada anak atau anak buah nak masuk universiti, pandai pula cari kita”.

Saya yakin kekesalannya merujuk kepada sambutan hambar ke atas mesyuarat alumni. Sindirannya sudah tentu difahami mereka yang ‘pernah makan cili’.

Betul, aktif dalam alumni bukan paksaan kerana semua gerak kerja amal persatuan dilakukan secara sukarela. Jadi, tidak usahlah ditanya apa yang alumni boleh lakukan untuk manfaat ahli. Sepatutnya ahli yang bertanya pada sanubari, apa yang boleh dilakukan bagi memperkasa alumni.

Tidak perlu dikupas kenapa mesyuarat alumni sendu dan lesu kerana yang menggerakkan persatuan tidak dibayar gaji dan masing-masing ada kerja hakiki seperti mana bekas pelajar lain yang memandang lekeh fungsi alumni.

Persatuan ini tidak tandus idea, tetapi untuk hanya menggerakkan tiga program setahun, ia begitu sukar kerana hanya beberapa kerat yang sanggup berkorban tenaga dan masa pada saat khidmat mereka diperlukan. Tahap susah payah tidaklah sehingga mencari kayu di hutan.

Usaha kumpul sumbangan

Lihat sahaja Universiti Malaysia Pahang (UMP). Ia memperkenalkan program MyGift sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu bagi golongan memerlukan.

Sembilan tabungan yang dilaksanakan adalah endowmen Kursi, Biasiswa Pelajar, Makmal, Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Wakaf, Komuniti dan Tabung Tidak Patuh Syariah.

Program MyGift ini sudah tentu diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar, terutama daripada industri mahupun syarikat untuk sama-sama menyumbang kepada tabung endowmen.

Universiti Malaya (UM), universiti tertua negara pula pernah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200 juta daripada alumninya bagi merealisasikan hasrat berada di kelompok 100 universiti terbaik dunia.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Arshad Ayub, dilaporkan berkata angka itu tidak mustahil dicapai memandangkan universiti awam itu mempunyai kira-kira 200,000 alumni dengan 20,000 daripadanya berdaftar dengan mereka.

Dalam satu sembang santai bersama Presiden Alumni Universiti Teknologi MARA Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan, beliau berpendapat persatuan alumni adalah sebuah badan yang patut disokong oleh semua pihak.

Sesebuah persatuan itu akan gagal jika ia tidak mendapat kerjasama padu daripada universiti itu sendiri.

“Tidak dinafikan bukan mudah untuk menggerakkan alumni sebesar UiTM ini, apatah lagi jika ada yang cuba menggagalkannya,” katanya yang enggan mengulas lanjut. Adalah sesuatu yang cukup malang, kata Zaini, jika alumni UiTM tidak dapat disatukan. Katanya, selama ini penggerak PAUiTM menggerakkannya secara sukarela.

Kejar KPI

“Namun, di pihak institusi pula ia digerakkan oleh mereka yang mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kenaikan pangkat. Maka sedikit sebanyak akan berlaku konflik sehingga berlaku perebutan untuk menuntut projek itu dia punya dan bukan orang lain punya. Masalah ini memang wujud dan nyata,” katanya.

Jika sesuatu usaha dijalankan tanpa rasa ikhlas dan semata-mata mengejar kepentingan diri serta pangkat, ia tidak akan berkat.

Kerja sukarela ialah demi fisabilillah untuk kesejahteraan ummah dan bagi kami ummah itu ialah sekalian alumni UiTM dan institusi itu sendiri, katanya.

Setiap alumni dianggap mempunyai tanggungjawab terhadap institusi yang pernah dihadiri kerana gelaran 'alumni' bermaksud seseorang itu membawa nama institusi berkenaan.

Justeru, wahai sekalian alumni, serlahkanlah bakat usah dipendam. Simpanlah ego atau dibuang terus sementara nyawa dikandung badan. Taburkanlah bakti ke seluruh alam kerana jasa anda insya-Allah dikenang sepanjang zaman.

Andai semalam anda pergi dan di mana juga anda berada, pulanglah kembali hari ini. Universiti anda sentiasa menunggu kepulangan anda dengan hati terbuka, menanti bakti alumni. Inilah rumah anda dan selamanya menjadi rumah anda.

Penulis adalah Pengarang Berita (Mingguan) Berita Harian

Berita Harian X