Sabtu, 15 Jun 2019 | 11:00am
Jambatan angkat (draw bridge) yang menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu ke Seberang Takir menjadi pilihan kepada pelancong luar dan dalam negeri umpama berada di Tower Bridge, London. Jambatan angkat sepanjang 638 meter bernilai RM248 juta itu merupakan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara dan mula dibina pada Ogos 2014. - Foto Imran Makhzan

Apa ada di sebalik jambatan angkat?

Sudah dua minggu jambatan angkat atau drawbridge yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di muara Sungai Terengganu dibuka untuk tempoh percubaan sejak 2 Jun lalu. Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu terus menjadi buah mulut penduduk Terengganu, selain orang luar yang mengagumi struktur dan seni binanya.

Bahkan sepanjang tempoh pembukaannya yang juga sempena musim perayaan Aidilfitri, orang ramai, termasuk anak perantau yang pulang beraya di negeri ini tidak mahu melepaskan peluang memandu melalui jambatan sepanjang 638 meter itu sehinggakan ada pemandu yang beberapa kali membuat pusingan ‘U’ semata-mata bagi merasai pengalaman itu.

Malah, tidak terkecuali bagi kaki foto yang berhenti tidak kira waktu sama ada hujan atau panas untuk merakamkan gambar berlatarbelakangkan jambatan itu sehingga mewujudkan kesesakan agak teruk di sepanjang laluan.

Melihat kepada keghairahan penduduk Terengganu ini membuatkan warganet menggelarkan mereka sebagai bersifat kebudak-budakan, namun dibalas pula dengan ‘Terengganu ada, negeri awok ada dok?’ menunjukkan keterujaan dan kebanggaan rakyat negeri ini memikili jambatan angkat yang pertama seumpamanya di Malay-sia dan juga Asia Tenggara.

Memiliki sesuatu yang tidak ada di negeri lain, secara tidak langsung, jambatan angkat terpanjang di dunia itu bakal mengubah
landskap pelancongan negeri Terengganu yang sememangnya terkenal dengan pelancongan pesisir pantai dan pulau.

Jika dilihat sebelum ini, limpahan aktiviti pelancongan di Terengganu lebih tertumpu di kawasan pulau seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah dengan menyaksikan kehadiran ramai pelancong dari luar negara.

Jana sektor pelancongan

Namun, dengan pembangunan yang giat dilaksanakan di kawasan Kuala Terengganu City Center (KTCC) itu memberikan nilai tambah kepada sektor pelancongan. Ia ditambah lagi dengan kerancakan pembangunan di kawasan terbabit juga dengan pembinaan dua pusat beli-belah KTCC Mall dan Mayang Mall yang dijangka menempatkan pusat beli-belah Sogo.

Apabila semua pembangunan di kawasan ini siap, ia bakal mengubah Kuala Terengganu menjadi sebuah bandar yang nampak moden, malah ada yang menggelarkan Kuala Terengganu sebagai Dubai Malaysia.

Malah, selain sektor pelancongan yang tertumpu di kawasan pulau, pelancong juga lebih gemar ke Tasik Kenyir untuk menikmati suasana kehijauan dan kedamaian kawasan hutan, namun dengan ikon pelancongan baharu ini, pengunjung boleh menikmati suasana pesisir pantai di Kuala Terengganu sambil menikmati KLCC (Keropok Lekor Cicah Colek) dan ICT (Ikan Celup Tepung) dihiasi pemandangan muara sungai Terengganu dan Laut China Selatan.

Namun, di sebalik kerancakan pembangunan kawasan pesisir Terengganu itu, ada yang sedikit kurang enak untuk diperkatakan mengenai sikap pengunjung yang kurang kesedaran sivik apabila meninggalkan sampah merata-rata di kawasan berhampiran jambatan angkat itu sehingga mencacatkan pemandangan.

Perkara ini turut menarik perhatian Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mahu pengunjung menjaga kebersihan di kawasan terbabit agar keindahan jambatan itu tidak dicemari dengan timbunan sampah.

Selain itu, pembangunan yang giat dijalankan di Kuala Terengganu ini juga melenyapkan nilai warisan dan tradisional yang ada di sekitar kawasan seperti di Kampung Ladang dan Kampung Tanjung yang asalnya sebuah perkampungan tradisional Melayu yang terkenal dengan perusahaan warisan seperti kain tenun, batik, songket dan pembuatan barangan tembaga.

Namun, atas nama pembangunan, perkampungan terbabit dirobohkan sehingga perusahaan yang bertapak sejak 1950-an itu lenyap dengan begitu sahaja tanpa ada usaha dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengekalkan warisan yang bertapak sejak sekian lama, termasuk menempatkan semula di satu kawasan lain agar dapat perusahaan itu dapat dipelihara.

Jika disoroti negara maju seperti seperti Jepun dan Korea Selatan mahupun negara Eropah seperti Perancis, Sepanyol dan United Kingdom, di sebalik pembangunan yang dimiliki, mereka tidak meminggirkan budaya dan warisan yang sebati dalam kehidupan mereka, sebaliknya terus dipelihara sebagai medium menarik pelancong asing untuk mengenali budaya mereka.

Menjadi negara maju tidak perlu melupakan segala seni dan warisan yang ada dikomersialkan sebagai tarikan pelancongan. Jika mahu melihat teknologi dan kemodenan, negara mereka sudah memiliki segala-galanya namun seni, budaya, warisan sesebuah negara adalah hak milik negara terbabit dan tidak boleh diperoleh di negara lain.

Berita Harian X