Rabu, 26 Jun 2019 | 11:00am

Bijak tangani isu bahasa jamin perpaduan

Program Dwibahasa (DLP) diperkenalkan pada 2016 selepas banyak perundingan dengan pihak yang mahu meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pelaksanaan program itu antara lain hasil desakan segelintir ibu bapa yang berpendapat pemansuhan dasar PPSMI pada 2012 tidak sepatutnya berlaku dan wajar diadakan semula.

Sejak tiga tahun lalu, sekolah diberi pilihan untuk mengadakan kelas DLP selepas perbincangan dengan ibu bapa dan bermula dengan projek rintis 300 sekolah, kini kira-kira 1,300 sekolah rendah dan menengah melaksanakan program itu membabitkan hampir 23,000 pelajar.

Bagi kelas DLP, guru akan mengajar subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Reka Bentuk dan Teknologi, Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. DLP bertujuan meningkatkan masa pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) pelajar dalam bahasa Inggeris, selain PdPc subjek Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, DLP seolah-olah menjadi duri dalam daging kepada kerajaan sekarang kerana dasar itu hasil peninggalan rejim terdahulu.

Versi baharu DLP

Ada ura-ura Kementerian Pendidikan mahu memberi versi baharu kepada DLP dengan penegasan bahawa kualiti PdPc Sains dan Matematik perlu ditingkatkan bagi menangani kemaraan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Namun, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudah mula memberi peringatan supaya tidak ada lagi ‘DLP 2.0’ kerana DLP yang berlangsung sekarang juga dianggap ‘PPSMI 2.0’. Bezanya PPSMI diwajibkan kepada semua sekolah tanpa mengambil kira kemahiran dan latar belakang murid, manakala DLP dilakukan secara sukarela oleh sekolah serta ibu bapa.

Kebimbangan pejuang bahasa Melayu ini berasaskan kerana NGO yang menentang pemansuhan PPSMI sebelum ini berada di dalam Majlis Penasihat Pendidikan kebangsaan (MPPK), badan yang memberi syor kepada Kementerian Pendidikan untuk menggubal dasar baharu atau mengemas kini dasar sedia ada.

Kumpulan yang mahu PdPc berjalan dalam bahasa ibunda (Mandarin dan Tamil) juga tidak bersetuju dengan DLP atau pengenalan dasar baharu yang hampir serupa dengan DLP.

MPPK mempunyai satu tugas yang berat untuk mencari titik keseimbangan di antara kehendak pejuang bahasa dengan keperluan melahirkan sumber manusia mahir dalam bidang sains dan teknologi yang memenuhi kehendak terkini teknologi.

Ini disebabkan negara tidak mahu ketinggalan dalam persaingan ekonomi peringkat serantau dengan kemunculan IR4.0.

Tingkat penguasaan bahasa Inggeris

Matlamat asal PPSMI dan DLP ialah meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris dan pada masa sama, kerajaan tidak mahu dilihat mengambil tindakan tidak popular kerana dituduh merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan menyatakan akan menambah baik PdPc bagi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kenyataan yang diragui oleh NGO yang memperjuang bahasa kebangsaan sebagai langkah memartabatkan semula bahasa Inggeris.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dikatakan sudah bersetuju dengan cadangan untuk menambah dana bagi meningkat kualiti PdPc semua subjek berkaitan STEM, perkembangan yang menggambarkan DLP mungkin diperkembang lagi.

Pada tahap yang lebih besar, Kementerian Pendidikan mahu mencapai sasaran Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal : Sastera, iaitu kira-kira 60 peratus pelajar dalam bidang STEM.

Jumlah pelajar yang mengambil bidang STEM di institusi pendidikan tinggi semakin menurun tahun demi tahun dan perkembangan ini tidak baik bagi Malaysia yang mahu menjadi negara maju. Pada peringkat sekolah, tahun lalu, kira-kira 44 peratus pelajar mengambil jurusan sains dan teknikal.

Apapun, dalam menangani isu ini, Kementerian Pendidikan perlu meneliti kehendak mengeluarkan sumber manusia mahir dan menjaga hati pejuang bahasa seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X