Rabu, 3 Julai 2019 | 11:02am

FINAS perlu tegas bersihkan filem 'sampah'

SUDAH dua bulan tidak ada filem terbitan tempatan mengisi panggung seolah-olah aktiviti perfileman hari ini seperti sedang melalui tempoh gerhana. Tidak ada lagi dalam kalangan penerbit filem berebut untuk masing-masing menayangkan filem mereka pada hari raya, baru-baru ini.

Senyap sahaja, jauh berbeza dengan beberapa tahun sebelumnya yang sentiasa kecoh dengan rasa tidak puas hati penerbit filem kerana tidak mendapat slot tayangan pada hari raya.

Difahamkan, alasan tidak mahu ‘masuk ke gelanggang’ kerana ketika Aidilfitri baru-baru ini, ada filem blockbuster dari Amerika dan India sedang ‘menyerang’ panggung.

Penerbitan filem kita gerun melihat kehadiran filem X-Men: Dark Phoenix, Godzilla: King of the Monsters, Man In Black International atau Toy Story 4.

Bagaimana kita hendak menembusi pasaran luar negara seperti yang diidamkan oleh kebanyakan penggiat filem, sedangkan pada masa sama, sudah ‘menggeletar lutut’ apabila melihat kehadiran filem pecah panggung luar negara masuk ke gelanggang sendiri.

Menurut Maklumat Industri - Statistik Filem Malaysia yang dimuatkan dalam portal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), 18 filem tempatan dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil ditayangkan sejak Januari tahun ini hingga April lalu.

Ia mencatat kutipan kasar RM50.44 juta dengan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal memperoleh kutipan pecah panggung (box-office) tertinggi, iaitu RM25.28 juta, jauh meninggalkan filem Misteri Dilaila yang mencatatkan RM9.5 juta dan Bikers Kental 2 (RM7.68 juta).

Pada masa sama, filem Bella & Jamie hanya dapat kutipan RM9,186.50. Kita tidak pasti adakah ini filem atau sebuah karya yang sepatutnya disiarkan di televisyen secara percuma saja.

Secara keseluruhannya, kutipan kasar filem tempatan sepanjang 2018 berjumlah RM170.4 juta, manakala bagi filem luar negara yang ditayangkan untuk tempoh sama menghasilkan pungutan kasar RM1.04 bilion.

Memang jauh beza dari segi kutipan kasar filem tempatan dan luar negara. Namun, ia membuktikan industri filem itu sebenarnya mampu menyumbangkan kepada pendapatan negara biarpun masih dalam skala kecil.

Kutipan menerusi cukai hiburan sebanyak 25 peratus, kerajaan mampu memperoleh sehingga RM260 juta setahun daripada kutipan kasar filem import sepanjang tahun lalu atau kira-kira RM42 juta untuk filem terbitan tempatan.

Bahkan, sudah ada filem tempatan yang mampu mencatat kutipan luar biasa seperti Munafik 2 apabila memperoleh RM37.7 juta, manakala Hantu Kak Limah dengan RM36.2 juta, selain filem Polis Evo 2 (RM15.9 juta) dan KL Special Force (RM12.2 juta).

Langkah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, untuk mengkaji semula Skim Wajib Tayang memang sesuatu yang sangat wajar. Kata Ahmad Idham, isu filem tidak laku ini terjadi kerana kita tidak ada garis panduan filem yang macam mana boleh masuk panggung.

“Di Hollywood, tak semua filem boleh masuk panggung, tetapi di Malaysia, semua filem boleh masuk panggung,” katanya.

Peraturan Skim Wajib Tayang adalah untuk memberi kelebihan kepada penerbit tempatan supaya pemamer ‘wajib’ untuk menayangkan filem terbitan tempatan mengikut waktu dan tarikh, lokasi dan jumlah panggung seperti ditetapkan jawatankuasa Wajib Tayang ini.

Produser atau syarikat penerbitan filem tempatan mengambil kesempatan daripada peraturan skim wajib tayang apabila filem ‘entah apa-apa’ memohon tarikh tayangan.

Lebih banyak filem yang bukan saja tidak balik modal, malahan rugi besar berbanding filem yang mencatatkan kutipan kasar.

Filem ‘sampah’ memang harus dibersihkan oleh FINAS untuk memastikan hanya yang benar-benar bagus dan memenuhi piawaian ditetapkan saja boleh ditayangkan di panggung.

Kita tidak memerlukan filem yang banyak, tetapi mahu melihat filem yang mempunyai cerita dan persembahan menarik serta menghiburkan.

Penulis adalah Pengarang Berita Berita Harian

Berita Harian X