Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:01am
Isu kesihatan mental membabitkan masalah kemurungan, tekanan dan keresahan dikatakan semakin serius. - Foto hiasan

Ringan mulut, tanya khabar bantu pesakit mental

ISU kesihatan mental membabitkan masalah kemurungan, tekanan dan keresahan dikatakan semakin serius sehingga pada peringkat remaja sudah membawa mereka untuk memikirkan perkara negatif seperti membunuh diri, malah ada yang dilaporkan sudah melakukan perbuatan itu.

Kejadian remaja 16 tahun membunuh diri gara-gara akur dengan undian di akaun media sosial untuk membantunya membuat pilihan antara ‘hidup’ dan ‘mati’ menunjukkan betapa seriusnya masalah kesihatan mental yang semakin tidak mengenal batasan usia ini.

Dalam kejadian di Kuching, Sarawak pada Mei lalu, remaja perempuan itu merealisasikan pilihan netizen yang mengundinya untuk ‘mati’ dengan terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai membuktikan remaja juga semakin tidak terkecuali daripada menghadapi tekanan akibat masalah kesihatan mental.

Ini menguatkan lagi satu kajian yang menunjukkan bahawa menjelang tahun depan, kesihatan mental bakal menjadi penyakit kedua paling berbahaya di negara ini selepas serangan jantung. Malah diramalkan satu daripada tiga rakyat kita akan menderita dengan pelbagai masalah berkenaan.

Stigma atau tanggapan negatif masyarakat terhadap penyakit ini dilihat masih menebal walaupun setiap tahun negara turut meraikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober, bertujuan meningkatkan kesedaran umum terhadap perkara berkenaan.

Namun, berapa ramai pula antara kita yang benar-benar prihatin mengenainya dan mahu menghulurkan bantuan terhadap mereka yang memerlukan sedangkan masalah ini mampu diatasi jika disedari atau mendapat rawatan awal.

Jika diimbas tahun lalu, ‘Golongan Muda dan Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia' dipilih sebagai tema Hari Kesihatan Mental, menunjukkan betapa seriusnya usaha mempromosi isu kesihatan mental daripada peringkat lebih awal lagi, terutama dalam kalangan remaja.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), separuh daripada hampir semua jenis penyakit mental dikatakan bermula seawal usia 14 tahun akibat masalah ini tidak dikesan atau mendapat rawatan pada peringkat awal.

Di negara kita pula Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menunjukkan 4.2 juta rakyat atau 29.2 peratus penduduk berusia 16 tahun ke atas mengalami pelbagai masalah kesihatan mental.

Sejauh mana pula masyarakat kita cakna atau mengambil peduli bahawa orang di sekeliling mereka mungkin menghadapi masalah kesihatan mental dan memerlukan bantuan untuk mengatasinya?

Sokongan semua pihak, termasuk syarikat korporat misalnya amat diperlukan dalam mendidik masyarakat menangani masalah ini kerana tidak ramai dalam kalangan kita sedar peranan masing-masing dalam membantu pesakit, terutama mengesannya dan mendapatkan rawatan awal.

Setakat ini, Sime Darby Property menerusi Yayasan Sime Darby (YSD) dilihat mengambil tanggungjawab sosial korporat itu menerusi kempen Great Minds 2019 yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu yang semakin mendapat perhatian ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri, mengakui masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja mendorong syarikat itu tampil memenuhi tanggungjawab membantu masyarakat memecahkan stigma terhadap penyakit mental.

Program yang mensasarkan kanak-kanak sekolah, pelajar universiti dan orang awam itu diharapkan mampu mendidik masyarakat untuk mengenal pasti tanda awal masalah mental, cara mengatasi serta bagaimana memberi bantuan awal kepada pesakit yang memerlukan.

Jika diperhatikan dalam masyarakat kita tidak ramai yang sedar peranan masing-masing membantu golongan terbabit, terutama bagi mendapatkan rawatan awal. Lebih mengecewakan kebiasaannya mereka yang memiliki simptom berhadapan dengan kesihatan mental sering kali cenderung untuk dilabel atau dicop sebagai ‘gila’, ‘mental’ atau mungkin terkena buatan orang.

Sokongan masyarakat amat diperlukan untuk sekurang-kurangnya membuatkan mereka yang memiliki masalah kesihatan mental ini berasa cukup dihargai rakan sekeliling seterusnya mendorong mereka mendapatkan bantuan perubatan.

Mungkin dengan pandangan kasar kita tidak tahu yang rakan terdekat kita sedang berhadapan dengan masalah. Tetapi sepatah pertanyaan seperti ‘apa khabar?’ sebenarnya mampu menyelamatkan mereka daripada terus-terusan dilanda masalah kesihatan mental lebih kronik.

Penulis adalah wartawan Meja Rencana Berita Harian

Berita Harian X