Khamis, 5 September 2019 | 11:00am
Pemain Harimau Malaya, Muhammad Shahrel Fikri berjaya menjaringkan gol ketika menentang pasukan Timor Leste pada playoff kedua Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jun lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Aset masa depan Harimau Malaya perlu dipupuk

SEHINGGA kini, masih kedengaran ‘suara’ yang sibuk bercakap mengenai potensi pemain peringkat bawah umur negara.

Ia susulan prestasi cemerlang skuad bawah 15 tahun (B-15) dan B-18 negara di pentas Kejuaraan AFF, apabila muncul juara dan naib juara dalam peringkat umur masing-masing, baru-baru ini.

Apa yang pasti, ia membuktikan bola sepak Malaysia sememangnya tidak ketandusan pemain pelapis yang menjadi aset penting untuk masa depan skuad senior Harimau Malaya.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sudah menunjukkan hasil, walaupun ia hanya membabitkan jumlah kecil pemain.

Namun apa yang membimbangkan ketika ini, adalah menjaga aset itu supaya potensi atau bakat pemain muda negara tidak hilang begitu saja, khususnya selepas melangkah ke alam pemain senior.

Sejarah membuktikan beberapa pemain muda seperti Irfan Fazail, Rozaimi Abdul Rahman, Syahrul Azwari Ibrahim dan ramai lagi yang dicanang mampu menjadi tonggak penting skuad senior Harimau Malaya, seakan ‘layu sebelum mekar’.

Agak mengecewakan apabila mereka yang cemerlang mencipta nama bersama skuad bawah umur negara, kini seakan tenggelam. Rata-ratanya gagal mengekalkan atau meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik, selain berdepan masalah kecederaan panjang seperti dialami Syahrul dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Perkara itu seharusnya menjadi contoh atau pengajaran paling berguna buat pemain pelapis ketika ini supaya tidak menerima nasib sama. Pastinya ia bukan saja merugikan pemain, tetapi juga industri bola sepak negara.

Pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin, Firdaus Khaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari seharusnya tidak boleh dibiarkan hanyut selepas bergelar graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Usaha beberapa pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar empat pemain itu ke Jepun untuk proses ujian pemilihan bersama kelab Cerezo Osaka, boleh dianggap tindakan positif ke arah menjaga aset masa depan negara.

Malah, dua lagi pemain muda negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili akan menyertai Luqman ke Akademi JFA dan FC Tokyo pada Oktober depan untuk menimba ilmu dan ujian pemilihan.

Pada usia belasan tahun seperti mereka, bimbingan daripada pihak terbabit sememangnya diperlukan dalam memastikan pemain ini memilih landasan tepat, bukan jalan yang bakal menghancurkan masa depan pemain.

Pun begitu, sikap pemain itu sendiri turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan bakat mereka ke dunia bola sepak yang sebenar.

Pemain perlu mengelak daripada segala faktor luaran yang boleh merosakkan karier mereka, sekali gus menunaikan impian rakyat Malaysia untuk melihat pemain negara setaraf Christiano Ronaldo dan Lionel Messi pada masa akan datang.

Semua bukan mustahil jika kena pada perancangan dan mentaliti pemain itu sendiri. Sejarah juga membuktikan Malaysia pernah mencipta nama di persada bola sepak antarabangsa sesuatu ketika dahulu.

Penulis adalah wartawan Meja Sukan Berita Harian

Berita Harian X