Sabtu, 7 September 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Pastikan doktor penuhi kelayakan, syarat akademik

Pendedahan BH sejak Isnin lalu mengenai ‘salah laku’ sesetengah pelajar kita yang mengikuti pengajian perubatan di universiti asing, khususnya di Russia, bukan untuk memburukkan nama baik Malaysia, jauh sekali mahu mencemar imej perkhidmatan perubatan negara.

Ia sebaliknya bagi membuka mata pihak bertanggungjawab supaya memandang serius isu pelajar perubatan kita di luar negara, terutama mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik tetapi masih boleh bergelar doktor menerusi jalan pintas yang ada pelbagai kaedahnya.

Bukan sahaja dakwaan menggunakan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) palsu yang dibeli pada harga sehingga RM8,500 untuk bergelar doktor, sesetengah pelajar perubatan Malaysia di Russia didakwa membayar RM7,000 hingga RM8,000 kepada pensyarah untuk lulus satu subjek peperiksaan.

Sedar atau tidak, bermula dari peringkat universiti itulah masalah lain akan menyusul, daripada isu lambakan pelatih perubatan sehinggalah masalah disiplin apabila mereka sudah bergelar doktor di hospital swasta mahupun kerajaan.

Dalam hal ini, pihak seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan perlu memastikan mereka yang mahu bergelar doktor memenuhi kelayakan dan syarat akademik sepadan bagi mengelak timbul isu tidak sepatutnya dalam industri kesihatan negara.

Tentunya kita tidak mahu melihat hospital kerajaan menjadi pusat pengumpulan pelatih perubatan lulusan universiti luar negara yang tidak cekap disebabkan ramai di antara mereka gagal mengikuti standard ditetapkan dalam Program Latihan Pegawai Perubatan Siswazah.

Untuk makluman, latihan amali atau housemanship sepatutnya memperuntukkan tempoh dua tahun kepada pelatih sebelum mereka menjadi doktor sebenar, tetapi ada yang gagal menamatkan program dalam tempoh itu.

Difahamkan, dalam tempoh 20 bulan program housemanship, pelatih perlu melalui latihan di lima bahagian, iaitu ortopedik, obstetrik dan ginekologi, penyakit dalaman, pediatrik dan pembedahan. Untuk beralih daripada satu bahagian ke bahagian lain, mereka perlu menjalani peperiksaan dan di situlah, kebanyakan doktor pelatih dilaporkan gagal sehingga memaksa tempoh latihan dipanjangkan.

Difahamkan, kini ada lebih 3,000 graduan perubatan termasuk tajaan biasiswa di negara ini masih menunggu giliran menjalani program housemanship.

Perkara itu diakui Pensyarah Perubatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fahmi Lukman, yang memaklumkan, kebanyakan pelatih yang terpaksa melanjutkan tempoh latihan kerana tidak memenuhi standard ditetapkan, adalah lulusan universiti luar negara.

“Mereka yang gagal peperiksaan ketika latihan amali, tidak boleh dilepaskan ke bahagian lain. Malah ada doktor penyelia yang melihat sesetengah pelatih tidak fit (layak) untuk dilepaskan ke bahagian lain, ada kuasa untuk menangguhkan latihan doktor pelatih.

“Selagi tidak lengkapkan latihan, selagi itulah tiada kekosongan untuk pelatih lain,” katanya yang turut mengakui, ketika ini Malaysia mempunyai terlalu ramai bakal doktor kerana setiap tahun, kemasukan ke program housemanship mencecah ratusan orang dan boleh mencapai 30 pelatih di setiap bahagian.

Pelajar jurusan perubatan lazimnya tiada pilihan kerjaya lain kecuali menjadi doktor, termasuk juga mereka yang gagal menepati syarat kelayakan minimum dalam SPM, tetapi tetap memilih kursus perubatan di universiti luar negara dengan biaya sendiri.

“Di sini, akan berlaku dilema dalam kalangan lulusan universiti luar negara, khususnya dari Russia. Latihan dan teori diajar di sana berbeza dengan amalan di negara kita yang banyak mengambil panduan dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Kesukaran timbul apabila mereka pulang untuk menjalani latihan amali kerana banyak yang mereka belajar di luar negara tidak boleh diadaptasi di sini. Keadaan lebih sukar kepada mereka yang pada asalnya sudah tidak bagus dari segi akademik,” katanya.

Justeru, beliau yang juga pakar bius menegaskan, sudah tiba masa kerajaan memandang serius isu pelajar perubatan Malaysia di universiti luar negara, terutama mereka yang tidak layak dari segi akademik, tetapi mempunyai kemampuan kewangan untuk bergelar graduan perubatan.

“Saya tidak katakan hanya yang bagus akademik layak menjadi doktor atau yang tidak bagus itu tidak layak, tetapi kerajaan perlu cari mekanisme untuk menguruskan isu ini yang dilihat boleh mengancam industri kesihatan di negara kita.

“Doktor yang bertugas di hospital mungkin boleh dipantau, tetapi apabila tiba masanya, mereka akan dilepas untuk berdikari (membuka klinik sendiri) dan ketika itu, apa kesannya kepada masyarakat?” katanya.

Pandangan beliau dikongsi Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhazeli Abdullah, yang bersetuju sesuatu harus dilakukan pihak berkaitan kerana isu itu boleh memberi implikasi besar terhadap perkhidmatan perubatan negara.

“Ketika ini, saya melihat ada kecenderungan penurunan mutu dalam kalangan graduan perubatan kita, mereka seperti tidak bersedia untuk menjadi doktor. Lebih membimbangkan, ada yang dikesan melakukan pelbagai salah laku termasuk tidak hadir bertugas,” katanya.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Berita Harian X