Ahad, 8 September 2019 | 11:00am

Ambil tindakan drastik tarik balik AP

Belalang menarik nafas lega apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serius mengekang kegiatan menjual permit import (AP) bahan makanan di bawah penyeliaannya, melalui kaedah pemantauan dalam talian.

Belalang berharap KPDNHEP bertindak secara drastik, termasuk menarik balik AP jika disalahgunakan, kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah pengguna, tetapi pemegang AP mengaut keuntungan berganda.

Pemantauan perlu bagi memastikan pemegang AP wajib memasukkan data pergerakan barangan, sama ada ia sudah sampai ke pelabuhan, seterusnya dijual kepada pihak lain seperti kilang atau pengusaha industri, kerana mengikut undang-undang, peruncit dilarang membeli terus daripada pemegang AP.

Tabik ketegasan JAKIM

Kita menyambut baik ketegasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tidak berkompromi dengan prosedur kelulusan sijil halal, di sebalik wujud rungutan segelintir usahawan dan pemimpin yang mendakwa ia sukar diperoleh.

Jika boleh, kita mahu JAKIM memperketatkan lagi syarat kelulusan sijil halal supaya semua pihak wajib mematuhinya. Kita mahu JAKIM dan Malaysia terkenal serta diiktiraf dunia, sebagai pengeluar sijil halal terbaik hingga menjadi contoh kepada negara lain.

Memang dalam isu ini kita tidak mahu bertolak ansur, kerana amat penting bukan sahaja soal menjual barangan atau daging tidak halal, malah memastikan sumber bekalan makanan itu halal sepenuhnya, selain kesucian di bahagian dapur.

Jangan sokong Harimau Malaya masa menang saja

Jom kita penuhkan Stadium Bukit Jalil Selasa ini, untuk menyaksikan perlawanan kedua Harimau Malaya, kali ini berdepan pasukan Emiriah Arab bersatu (UAE) dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kita berharap penyokong kita terus ‘sporting’ dan tidak mengganggu penyokong lawan, jika keputusan tidak menyebelahi kita. Jangan ikut ‘ala samseng’ seperti segelintir penyokong negara jiran tetangga baru-baru ini.

Satu lagi ingatan untuk penyokong kita ialah, jangan sokong apabila Harimau Malaya menang saja dan lemparkan tuduhan bila kalah. Kita harus konsisten menyokong pasukan sendiri.

Berita Harian X