Isnin, 9 September 2019 | 11:01am

Sebar aura kemeriahan Hari Malaysia seluruh negara

“SAYA hanya tahu 16 September cuti umum Hari Malaysia dan tidak tahu perayaan apa diraikan kerana tidak pernah nampak sebarang sambutan peringkat negeri di mana-mana lokasi di Semenanjung”.

Itu antara reaksi masyarakat bukan berasal dari Sabah dan Sarawak apabila ditanya mengenai tarikh penting pembentukan Malaysia yang menjangkau 56 tahun.

Untuk memastikan tarikh keramat itu diingati rakyat negara ini secara keseluruhannya, tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan yang selama ini hanya digilirkan antara Sabah dan Sarawak perlu sekali sekala dibawa keluar dari dua negeri itu. Mungkin ke Kuala Lumpur, Putrajaya, atau negeri lain di Semenanjung.

Kementerian Pendidikan juga perlu menambah baik sukatan mata pelajaran Sejarah dengan memasukkan bab penting yang membawa kepada pembentukan Malaysia seperti pernah dicadangkan Sejarawan Negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 ialah sejarah terpenting negara, namun tidak tercatat secara terperinci dalam silibus Sejarah di sekolah.

Perisytiharan pembentukan Malaysia dibacakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Sambutan sama turut diadakan di Padang Merdeka, Jesselton, iaitu sekarang Kota Kinabalu dan Kuching.

Tanggal 16 September yang diisytiharkan Hari Malaysia ialah kesinambungan sambutan Hari kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos sejak 1957.

Sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Padang Merdeka, Kuching dan seperti Hari Kebangsaan Ke-62 yang bertema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, tema sama turut dipilih sebagai tema Hari Malaysia.

Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Malaysia pada tarikh berkenaan. Bagaimanapun, Singapura mengambil keputusan keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan menubuhkan republik.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Bekas Pengarang ruangan bahasa Melayu, akhbar Sabah Times, Datuk Jamdin Buyong, berkata pembentukan Malaysia masih segar dalam ingatannya kerana beliau terbabit secara langsung membuat liputan dan menyunting berita peristiwa bersejarah itu.

Pengkaji sejarah tempatan itu yang juga bekas Pengarah Jabatan Muzium Sabah, berkata Borneo Utara (sekarang Sabah) turut mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, sekali gus bercanggah dengan pandangan beberapa ahli sejarah kononnya, Sabah merdeka ‘menerusi’ Malaysia.

Katanya, menjelang kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia, rakyat Sabah sedar ancaman keselamatan di sekelilingnya seperti pengaruh komunis di negara jiran dan konfrontasi dilancarkan negara jiran.

“Ini antara punca utama Sabah bersetuju bersama Tanah Melayu dan Sarawak, membentuk Malaysia dan atas bantuan Tanah Melayu, tuntutan negara jiran terhadap Sabah dapat diselesaikan secara bijak,” katanya.

Jamdin turut menyuarakan kesedihannya kerana masyarakat semakin lupa jasa Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang tiada galang gantinya menuntut kemerdekaan Negeri di Bawah Bayu.

“Jasa bakti Tun (Datu Mustapha) membebaskan Sabah daripada penjajah terlalu besar berbanding beberapa kesilapan yang membawa kepada kejatuhannya dalam politik.

“Walaupun ada pihak mencelanya, beliau tetap terpahat dalam sejarah sebagai bapa kemerdekaan Sabah yang meletakkan Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi di Sabah,” katanya.

Pada 16 September 2015, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus, menganjurkan perhimpunan ‘Baju Merah’ di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang dilihat mencemari sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya diisi dengan program bermanfaat dan penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Bagi Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Madya Dr Madeline Berma yang berasal dari Sarawak berkata, Hari Malaysia wajib dirayakan di semua negeri seluruh negara, bukan hanya di Sabah dan Sarawak kerana ia adalah tarikh penting penubuhan Malaysia.

Katanya, selain perincian dalam buku Sejarah mengenai tarikh penting berkenaan, wacana ilmiah mengenai sejarah dan pembangunan Sabah dan Sarawak pada zaman pasca kemerdekaan perlu dipertingkatkan kerana ketika ini sangat sepi dan lesu.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Kecemerlangan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sejarah adalah fakta yang harus diperjelaskan dan tidak perlu disorokkan bagi memastikan generasi muda memahami dan mendalami matlamat pembentukan Malaysia.

“Untuk sekian lama kita hanya berbangga dengan tanggal 31 Ogos dan sudah tiba masanya naratif dan penulisan sejarah di negara kita dicorak oleh perkembangan dan pemikiran politik-ekonomi pasca kemerdekaan tanpa meminggirkan kepentingan 16 September,” katanya.

Justeru, sebelum 16 September 1963 tidak ada negara bernama Malaysia, yang ada cuma Sabah (Borneo Utara), Sarawak, Malaya dan Singapura serta sewajarnya 16 September diterima dan dirayakan setiap rakyat Malaysia.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Berita Harian X