Jumaat, 25 Oktober 2019 | 11:01am
- Foto hiasan

Kempen pelancongan jangan hebat atas kertas saja

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya menerima peruntukan RM90 juta dalam Belanjawan 2020. Satu jumlah yang disifatkan tidak besar, tetapi Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi tetap berasakan ia sudah mencukupi.

Pada 2018, sektor ini menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara, menerusi ketibaan kira-kira 25.8 juta pelancong antarabangsa.

Jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini dilapor mencatatkan penurunan 0.4 peratus, berbanding 25.9 juta pada 2017, tetapi jumlah perbelanjaan pelancong menunjukkan peningkatan.

“Perbelanjaan pelancong meningkat 2.4 peratus kepada RM84.1 bilion pada tahun lalu, berbanding 2017, iaitu RM82.2 bilion,” kata Mohamaddin dalam satu sidang media pada Februari lalu.

Penyumbang terbesar perbelanjaan pelancong ialah pasaran jarak dekat ASEAN, iaitu sebanyak RM48.5 bilion, namun ada pengurangan sebanyak 12.8 peratus, berbanding 2017 sebanyak RM55.6 bilion.

Sumbangan pasaran bukan ASEAN secara kumulatif berjumlah RM35.6 bilion seperti dari Asia Timur (RM18.4 bilion); Eropah (RM5.6 bilion); Asia Selatan (RM3.8 bilion); Asia Barat (RM3.1 bilion); Amerika Syarikat (RM1.8 bilion); Australia (RM1.6 bilion); New Zealand (RM224.7 juta); Asia Tengah (RM135.7 juta) dan Afrika Selatan (RM93.7 juta).

Menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong, seterusnya menjana pendapatan sebanyak RM100 bilion.

Sememangnya mencapai sasaran RM100 bilion adalah cabaran amat besar, apabila kerajaan memberi peruntukkan RM90 juta.

Kos membiayai pemasaran dan publisiti pada peringkat dunia semakin mahal, namun jika tidak dilakukan promosi agresif, dikhuatiri Malaysia akan ketinggalan dalam ‘perebutan’ menarik pelancong.

Justeru, dengan perbelanjaan yang sangat ketat itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kena berhati-hati menyusun strategi pemasaran industri pelancongan negara.

Fokus pelancongan tidak seharusnya tertumpu kepada promosi dan pemasaran TMM2020 semata-mata. Kandungan dalam promosi pelancongan itu juga amat penting.

Dalam klip video pemasaran, publisiti dan promosi pelancongan Malaysia antara kandungan yang dipaparkan dan dicanang ialah keunikan seni dan budaya yang beraneka, lantaran penduduk negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.

Ia nampak cantik, namun realitinya di mana dan bagaimana pelancong asing hendak menikmati dan menghayati persembahan seni dan budaya kita? Kempen promosi TMM2020 walaupun penting, tetapi bersifat one-off dan jangka pendek.

Kementerian tidak sepatutnya mengabaikan ‘pelaburan’ jangka panjang terhadap pembangunan seni dan budaya, kerana ia juga boleh menjadi sebahagian daripada produk penting dalam pelancongan.

Selama ini jarang malah tidak pernah melihat, bagaimana kerajaan mengeksploitasi kelebihan seni dan budaya Malaysia.

Sesetengah kerajaan negeri ada yang menganjurkan festival kesenian dan kebudayaan, tetapi ia bersifat sementara, sekali saja diadakan dan corak persembahannya lebih menjurus untuk orang tempatan.

Tidak ada persembahan seni dan budaya secara tetap, yang boleh dimuatkan dalam kalendar pelancongan, seterusnya boleh dijual kepada pelancong asing. Kita tidak ada persembahan budaya dan seni bertaraf dunia, bercirikan antarabangsa, menjadi sebutan dan terkenal.

Apabila sudah dikenali maka kerajaan tidak perlu berbelanja besar untuk mempromosi dan memasarkannya.

Mereka yang datang ke London, ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan pelbagai teater muzikal di West End atau Kabuki di Jepun sudah cukup dikenali pada penggemar seni antarabangsa.

Pakej persembahan kebudayaan di Siam Niramit di Bangkok, Thailand pula 80 peratus penuh, walaupun pelancong kena bayar sehingga RM320 bagi satu persembahan.

Di Malaysia, kita ada makyung, chinggay, tarian klasik India, tarian sumazau, dikir Barat, cak lempong, Baba & Nyonya, tetapi semuanya hanya boleh dilihat di atas kertas kerana sangat sukar untuk menontonnya secara langsung.

Selain dapat memulihara dan memelihara seni, budaya dan warisan negara juga boleh menjadi sumber ekonomi bukan saja kepada penggiatnya tetapi juga kepada negara.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X