Sabtu, 26 Oktober 2019 | 2:36pm
Sudah tiba masanya kerajaan mengambil berat nasib rakyat, terutama yang mencari rezeki melalui memandu dengan menawarkan skim perlindungan insurans khusus bagi rawatan mata. - Foto hiasan

Sediakan skim insurans khusus rawatan mata

HAMPIR sebulan menguruskan isteri dan dua anak yang mengalami sakit mata ketika musim jerebu, baru-baru ini, nyata memenatkan. Boleh dikatakan setiap hari kami sekeluarga perlu berada di hospital untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan.

Bayangkan setiap kali ke hospital, kami terperuk hampir enam jam untuk proses pendaftaran, rawatan di bilik pakar dan diakhiri pengambilan mengambil ubat di farmasi. Tempoh mendapatkan rawatan sebenar tidaklah lama, iaitu kira-kira 15 minit sahaja, namun waktu menunggu akibat terlalu ramai pesakit ketika itu menyebabkan ia mengambil masa panjang.

Mungkin ia ada kaitan dengan jumlah pesakit bagi kes berkaitan konjunktivitis yang meningkat 20 hingga 30 peratus di 42 hospital kerajaan seluruh negara, kesan jerebu teruk sekitar September lalu.

Yang pasti kami sekeluarga ibarat ‘pelanggan tetap’ di wad berkenaan kerana hampir setiap hari hadir ke hospital. Ditambah anak saya yang kecil dengan paling kecil berusia lima bulan, kami amat dikenali dalam kalangan pesakit lain.

Memandangkan masa menunggu lama, ia terisi dengan berbual, berkongsi cerita dan pengalaman hidup antara satu sama lain. Antara yang menarik perhatian, seorang warga emas yang sudah pencen, namun masih bekerja demi menyara keluarga walaupun semua anaknya sudah bekerja.

“Anak kerja pun masih tidak cukup (duit), saya kena bantu... kalau bantu yang ini, yang lagi seorang terasa (kecil hati) jadi kena bantu semua,” ujar lelaki yang datang ke hospital berseorangan itu.

Dari susuk tubuhnya kelihatan seperti normal, namun apabila menyatakan dia tidak nampak secara jelas wajah saya walaupun duduk bersebelahan, ia menimbulkan pelbagai persoalan. Agak terkedu saya mendengarnya kerana katanya, dia masih memandu teksi walaupun kedua-dua matanya mengalami katarak dan perlu menjalani pembedahan.

Berdasarkan penceritaan, lelaki itu mengakui mengalami masalah berkenaan sejak berbulan lamanya dan tarikh untuk menjalani pembedahan membuang katarak juga mengambil masa hampir setahun. Dalam tempoh mungkin lebih setahun matanya tidak dapat melihat dengan jelas itu, dia bukan sahaja merisikokan nyawa sendiri serta penumpang teksinya, malah pengguna jalan raya lain.

Itu baru cerita seorang pemandu teksi. Bagaimana pula dengan pemandu e-hailing lain serta pemandu bas? Itu pekerjaan mereka dan mereka mengambil risiko demi sesuap nasi.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara purata mencatatkan kes kemalangan maut jalan raya membabitkan antara 7,000 hingga 8,000 mangsa setahun. Maknanya, 20 pengguna dianggar maut setiap hari di jalan raya negara ini. Daripada jumlah ini berapa ramai sebenarnya yang maut kerana masalah mata?

Sukar sebenarnya untuk membendung masalah ini, malah mustahil untuk meminta mereka yang menghadapi masalah mata seperti katarak untuk tidak menggunakan jalan raya sehingga penglihatan mereka sembuh.

Langkah terbaik, selain penjagaan kesihatan, kita berharap jumlah pakar mata di hospital kerajaan dapat ditambah selain tempoh masa menunggu dapat dikurangkan. Mungkin ada pandangan yang meminta ke hospital swasta agar lebih cepat mendapat rawatan, namun bukan semuanya mampu.

Saya yang menguruskan isteri dan dua anak dalam tempoh sebulan kerana konjunktivitis pun menanggung kos lebih RM300 dengan purata setiap orang lebih RM100. Bayangkan mereka yang menghadapi masalah mata yang lebih serius.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengambil berat nasib rakyat, terutama yang mencari rezeki melalui memandu dengan menawarkan skim perlindungan insurans khusus bagi rawatan mata. Nilai perlindungannya tidak perlu setinggi insurans kesihatan biasa, namun cukup sekadar bagi membolehkan mereka mendapat rawatan mata di hospital swasta.

Langkah ini, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan dan membolehkan doktor serta jururawat memberi tumpuan kepada pesakit daripada golongan berpendapatan rendah.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Kedah

Berita Harian X