Jumaat, 1 November 2019 | 10:17am
Mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal sehingga memaksa mereka menetap seperti buruh asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad. - Foto BH

Tangani segera isu penginapan mahasiswa di Lembah Klang

Kehidupan mahasiswa yang menuntut di Lembah Klang terpaksa menginap dalam jumlah yang ramai untuk mengurangkan kos sara hidup bukanlah perkara baharu. Masalah ini disebabkan jumlah pelajar yang ramai tidak mampu untuk ditampung dengan bilangan kolej kediaman disediakan di sesebuah universiti.

Penulis sendiri pernah melalui pengalaman sama ketika melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, apabila terpaksa tinggal di luar kampus selepas setahun menetap di kolej kediaman, lebih 25 tahun lalu.

Pihak universiti terpaksa mengambil langkah itu bagi memberi laluan kepada pelajar baharu yang perlu menyesuaikan diri dengan suasana kampus, selain memberi keutamaan kepada pelajar asasi dan mereka yang aktif berpersatuan dalam kolej kediaman mahupun dalam pasukan berpakaian seragam.

Sungguhpun berasal dari Gombak, kekangan kewangan menyebabkan penulis memilih tinggal bersama rakan di Flat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, untuk memudahkan pergerakan setiap hari ke bilik kuliah.

Melalui cadangan rakan senior, penulis berkongsi dengan rakan satu universiti walaupun berbeza bidang dan tahun pengajian di sebuah unit di Blok 17 flat berkenaan. Malah, ada rakan serumah sudah bekerja tetapi masih melakukan chambering di firma guaman serta ada yang baru bertugas sebagai jurutera.

Tinggal bersesak di sebuah rumah flat tiga bilik dan satu bilik air dengan pelbagai ragam penghuni seramai 12 orang memberi pengalaman unik. Jumlah penghuninya boleh menjadi dua kali ganda apabila cuti semester panjang kerana ada rakan dari kolej kediaman menumpang tinggal di rumah sewa untuk mencari pekerjaan sambilan.

Keadaan sesak dirasakan apabila semua penghuni berkumpul pada waktu malam tetapi biasanya jarang berlaku apabila ada rakan yang bekerja sambilan terpaksa bertugas pada syif malam.

Selain dapat mengurangkan bajet bulanan untuk membayar sewa rumah, kami kadang-kadang berkongsi duit untuk mengurangkan kos makan minum dengan memasak menu mudah seperti nasi putih berlauk ikan sardin, telur dadar, sayur kubis dan kicap.

Hanya mengharapkan duit pinjaman pelajaran dan ditampung dengan bekerja sambilan, kos sewa rumah ketika itu RM600 sebulan, tidak termasuk bil api serta air menyebabkan kami sanggup bersesak dalam satu rumah tanpa memikirkan keselesaan.

Selain terpaksa memperuntukkan wang minyak dan selenggara motosikal yang uzur, penulis juga hanya menikmati menu ala kadar di universiti demi mengurangkan tekanan ekonomi untuk hidup di bandar besar. Bagaimanapun, pada Ramadan digunakan sepenuhnya dengan memilih masjid berdekatan yang menyediakan juadah berbuka puasa lazat.

Pada tahun akhir pengajian, penulis yang menuntut di Fakulti Sains ketika itu, banyak menghabiskan masa tidur di makmal bersama-sama rakan sepengajian bagi menyiapkan kajian dan tesis dengan rumah sewa sekadar menjadi tempat untuk menyimpan barang, selain sekali-sekala untuk menikmati tidur yang selesa.

Membaca laporan muka depan BH Ahad, 20 Oktober lalu, yang mendedahkan kadar sewa rumah kos rendah di Kuala Lumpur yang mencecah hingga RM1,500 sebulan, memaksa penuntut universiti menetap seperti warga asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad, mengingatkan kembali penulis pengalaman di atas.

Lebih membebankan, apabila ada mahasiswa yang terpaksa menyewa rumah atas tanah atau teres dua tingkat mencecah RM3,000 sebulan, selain deposit membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Bagaimanapun, mahasiswa hari ini beruntung kerana kerajaan prihatin dengan nasib mereka. Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sudah mengarahkan pegawainya mendapatkan maklumat lengkap berhubung laporan akhbar BH untuk tindakan susulan.

Lebih menggembirakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, turut memaklumkan mahasiswa yang berdepan masalah kesempitan boleh memohon bantuan zakat bagi mengurangkan beban ketika dalam pengajian mereka.

Selain itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyatakan kesediaan membantu mahasiswa yang berdepan masalah berkenaan dengan bersedia menempatkan mereka di unit pangsapuri MAIM yang kosong.

Antara langkah yang boleh dilakukan bagi pihak universiti pula sekiranya mempunyai peruntukan dan tanah lapang yang mencukupi dengan membangunkan kolej kediaman bertingkat yang tinggi untuk menampung jumlah pelajar.

Apapun, penulis berharap pihak berkaitan tidak bertanam tebu di bibir dan bersikap lepas tangan demi membela nasib mahasiswa yang hidup tersepit berikutan kenaikan kos sara hidup kini kerana merekalah generasi pelapis pemimpin negara.

Penulis adalah Penolong Pengarang Pendidikan di Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP

Berita Harian X