Jumaat, 1 November 2019 | 10:31am
Kesusasteraan, industri buku negara kian suram. - Gambar hiasan

Kesusasteraan, industri buku negara suram

Selari dengan kemerosotan dunia buku tempatan, kesusasteraan di Malaysia turut kelihatan suram walaupun pertalian antara karya sastera dan industri buku itu tidaklah terlalu ‘intim’.

Namun, disebabkan kesusasteraan tempatan banyak bergantung kepada dana kerajaan, sedikit sebanyak tempiasnya turut dirasai.

Peruntukan disalurkan semakin mengecil, sementara mendapatkan tajaan selain daripada agensi kerajaan kelihatan sangat sukar.

Misalnya sebelum ini, hubungan akrab antara Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sejak 2011 menerusi program penerbitan karya asli meletakkan PENA di hadapan berbanding kebanyakan persatuan penulis lain.

Ketika ini tanpa kerjasama kedua-duanya, tidak banyak buku karya asli dapat diterbitkan. Ini bukan hanya merunsingkan penulis, bahkan pembaca yang tercari-cari buku sastera yang baik.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mula bersifat selektif dalam penerbitan judul mereka. Tidak semua genre diluluskan, manakala keutamaan tentu diberikan kepada genre dan penulis yang ‘boleh jual.’

Ini tentulah tidak menghairankan apatah lagi dengan ekonomi buku tempatan yang semakin terdesak dan banyak penerbit gulung tikar. Penulis yang berani mengambil langkah menerbitkan karya sendiri.

Namun dari satu segi, penerbitan sendiri tanpa editor bertauliah tentu saja berisiko melambakkan pasaran dengan karya kurang bermutu.

Mungkin persatuan penulis seperti PENA boleh menghulur bantuan dari segi bimbingan penulisan, pemasaran dan hak cipta yang tentu akan membantu penulis melalui tempoh getir ini.

Bagaimanapun ini tentu saja bukan mudah kerana hampir setiap inci urusan kehidupan akan membabitkan soal kewangan, sedangkan beberapa perancangan PENA misalnya Program Sidang Kemuncak Penulis Ke-2 mungkin tidak dapat dijalankan berikutan soal penajaan.

Mungkinkah persatuan penulis seperti PENA perlu merenung kembali senarai kegiatan mereka? Mungkinkah penaja sebenarnya tidak berminat dengan kegiatan bersifat penataran idealisme, sebaliknya lebih tertarik kepada kegiatan yang mempunyai tarikan komersial?

Sejak dahulu pun, ini kurang mendapat tempat dalam kegiatan kesusasteraan tempatan. Jika seni halus berjaya mendapat dana banyak untuk mengelolakan kegiatan mereka sehingga mampu mendapat tajaan residensi di luar negara, sastera kebangsaan masih lagi bergantung harap sepenuhnya pada kerajaan.

Paling jelas apabila banyak sekali aktiviti sastera Inggeris menyemarakkan kegiatan sastera di negara ini, belum ada program yang serupa dijalankan oleh penggiat sastera kebangsaan.

Jika ada pun program seperti Festival Kuala Lumpur atau Kota Kata anjuran Perbadanan Kota Buku (PKB) tetapi itu pun kini sudah tidak kedengaran lagi.

Bagi Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, banyak faktor yang boleh membawa sesebuah organisasi naik dan turun, namun dalam konteks persatuan penulis yang harus didahulukan ialah penulis itu sendiri.

“Kita tahu penubuhan persatuan penulis ataupun kesusasteraan itu adalah memperjuangkan golongan penulis di negara ini.

“Jika mereka tidak berfungsi ke arah itu, tentu saja persatuan itu tidak ada hala tuju. Apa yang harus dibuat adalah mempromosi karya dalam pelbagai acara selain mungkin melakukan penerbitan kecil-kecilan,” katanya.

Tegas Awang Azman, penerbitan buku kecil-kecilan dalam bentuk antologi ketika ini banyak dilakukan persatuan penulis termasuk PENA. Promosi juga harus digerakkan, selain kegiatan seperti forum atau seminar boleh diusahakan secara bersama rakan strategik.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Unit Sastera & Agama Berita Harian

Berita Harian X